Day: May 28, 2026

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2026 – UMNO Bahagian Batu berjaya melaksanakan program ibadah korban Aidiladha dengan penyembelihan sebanyak enam ekor lembu, sekali gus membolehkan lebih 600 paket daging korban diagihkan kepada penduduk sekitar Parlimen Batu.

Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, jumlah korban pada tahun ini meningkat berbanding empat ekor lembu pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, pertambahan itu merupakan rezeki yang membolehkan lebih ramai penduduk kurang berkemampuan menerima manfaat daripada agihan daging korban tersebut.

“Alhamdulillah tahun ini kita korbankan enam ekor lembu. Tahun lepas hanya empat ekor dan tahun ini rezeki bertambah. Lebih kurang 600 lebih paket daging korban dapat diagihkan kepada warga Parlimen Batu yang kurang berkemampuan,” katanya.

Gulam berkata, kaedah pengagihan pada tahun ini turut dilaksanakan dengan pendekatan berbeza apabila UMNO Bahagian Batu membuka pendaftaran kepada semua penduduk Parlimen Batu melalui sistem kod QR.

Jelas beliau, agihan tersebut tidak dilakukan melalui cawangan semata-mata, sebaliknya dibuka kepada mana-mana penduduk dalam Parlimen Batu yang ingin mendapatkan daging korban.

“Kaedah pengagihan kali ini agak berbeza sedikit. Kami tidak melalui cawangan-cawangan, tetapi buka kepada semua penduduk dalam Parlimen Batu melalui pendaftaran QR Code.

“Alhamdulillah, respon begitu baik,” katanya.
Program itu turut digerakkan oleh kira-kira 200 urus setia daripada pelbagai peringkat UMNO Bahagian Batu termasuk cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri.

Dalam masa sama, pihak penganjur turut menyediakan juadah makan malam sebagai penghargaan kepada semua petugas yang menjayakan program tersebut.

Gulam turut melahirkan rasa terharu apabila sambutan penduduk melebihi jangkaan, dengan orang ramai mula beratur lebih awal sebelum waktu edaran yang dijadualkan.

Katanya, edaran pada asalnya dijangka bermula sekitar jam 5 petang, namun penduduk sudah mula beratur panjang sejak selepas jam 4 petang bagi mendapatkan sumbangan daging korban.

“Saya begitu terharu kerana sambutan kali ini sangat baik. Saya jangkakan pukul 5 petang baru buat edaran, rupanya pukul 4 lebih sudah beratur panjang untuk ambil sumbangan daging korban ini,” katanya.

Beliau berkata, agihan dilakukan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat, memandangkan jumlah paket daging korban adalah terhad.

Menurutnya, daripada lebih 600 paket yang disediakan, sebahagian besar telah selesai diagihkan dan hanya sekitar 100 hingga 150 paket masih berbaki ketika program sedang berlangsung.

Gulam dalam pada itu memohon maaf kepada mana-mana penduduk yang tidak berkesempatan menerima agihan pada kali ini.

Beliau memberi jaminan UMNO Bahagian Batu akan menambah baik pelaksanaan program korban pada tahun hadapan, termasuk usaha menambah jumlah sumbangan daging korban untuk manfaat lebih ramai penduduk Parlimen Batu.

“Kalau ada yang tidak dapat selepas ini, saya mohon maaf. Insya-Allah tahun depan kita akan memperbaiki dan menambah sumbangan daging korban kepada penduduk-penduduk dalam Parlimen Batu,” katanya.

Program korban tersebut mencerminkan komitmen UMNO Bahagian Batu dalam memperkukuh hubungan bersama komuniti setempat, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sempena sambutan Aidiladha.

#BeritaAAC #UMNOBatu #Aidiladha2026 #KorbanParlimenBatu #GulamMuszaffar

​KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu memilih untuk bersikap husnudzon (berprasangka baik) meskipun tidak menerima sebarang sumbangan lembu korban daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

​Hal ini dibangkitkan susulan laporan mengenai sumbangan sebanyak 260 ekor lembu oleh Perdana Menteri (PMX) ke Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, setakat ini tiada sebarang sumbangan seumpama itu diterima oleh pihaknya, meskipun terdapat desas-desus sebelum ini yang mengaitkan hasrat Anwar untuk bertanding di Parlimen berkenaan.

​”Walaupun PMX berhajat nak bertanding dekat Batu, tapi tak ada sumbanganlah kepada UMNO Bahagian Batu. Tapi saya tak tahulah kepada yang lain-lain tu… saya mengambil sikap husnudzon lah.

​”Mungkin bukan orang kata dalam radar PMX untuk bagi UMNO Bahagian Batu lembu lah. Tapi kalau dia tak bagi pun, kita tak kecil hati,” katanya ketika ditemui media.

​Pelawa PMX Tinjau Kawasan ‘Putih’ PKR

​Dalam perkembangan sama, Datuk Gulam yang juga Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan mengesahkan bahawa Perdana Menteri dijadualkan hadir ke Parlimen Batu esok bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Sayyidina Hamzah.

​Sambil menzahirkan ucapan selamat datang, beliau secara berseloroh pelawa Anwar untuk mengambil peluang tersebut bagi meninjau sendiri kawasan yang sering dianggap sebagai kubu kuat atau ‘kawasan putih’ PKR itu.

​”Kita peringkat UMNO Bahagian mengucapkan selamat datang. Dan bolehlah tinjau-tinjau kawasan putih PKR ni, yang dikatakan kawasan putih PKR ni, untuk sekiranya beliau ingin bertanding di dalam Parlimen Batu lah, insya-Allah,” ujarnya lagi.

​Sebelum ini, spekulasi mengenai kehadiran PMX bertanding di kerusi Parlimen Batu sering menjadi bualan hangat penganalisis politik, memandangkan kawasan parlimen bandar tersebut mempunyai dinamika politik yang unik.

#UMNOBatu #PMX #ParlimenBatu #PolitikMalaysia #BeritaAAC

HULU SELANGOR, 28 Mei 2026 – Cadangan pembinaan hospital kerajaan baharu di Petaling Jaya disifatkan sebagai satu langkah positif, namun keperluan untuk mewujudkan sebuah hospital pakar kerajaan di Hulu Selangor juga perlu diberi perhatian serius.

Doktor Perubatan, Dr. Sathia Prakash Nadarajan berkata, beliau menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor dalam mencari penyelesaian serta meluluskan tapak bagi pembinaan hospital kerajaan di Petaling Jaya.

Menurut beliau, Petaling Jaya sebagai antara pusat bandar utama di Selangor sememangnya mempunyai jumlah penduduk yang besar serta keperluan kesihatan yang semakin meningkat.

Namun katanya, perancangan pembangunan kemudahan kesihatan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kawasan bandar atau kawasan prime area semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan kawasan semi urban dan luar bandar seperti Hulu Selangor.
“Hospital Petaling Jaya penting. Tetapi Hospital Hulu Selangor juga sama penting,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Sathia berkata, Petaling Jaya masih dikelilingi pelbagai kemudahan kesihatan termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), beberapa hospital swasta serta kemudahan kesihatan lain yang lebih mudah diakses penduduk bandar.

Sebaliknya, keadaan di Hulu Selangor amat berbeza kerana daerah itu meliputi hampir 20 peratus keluasan negeri Selangor dengan populasi sekitar 300,000 penduduk, selain mengalami pertumbuhan pesat akibat pembangunan perumahan, kawasan industri baharu dan pertambahan jumlah penduduk.

Katanya, sehingga kini Hulu Selangor masih belum mempunyai sebuah hospital pakar kerajaan yang besar untuk menampung keperluan rakyat setempat.

“Hulu Selangor bukan sekadar kawasan perumahan baharu, tetapi turut merangkumi banyak kawasan kampung, 16 Kampung Orang Asal, empat kawasan Felda, pekan-pekan kecil, kawasan pedalaman dan komuniti luar bandar yang memerlukan akses kesihatan lebih dekat dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, ramai penduduk Hulu Selangor ketika ini masih terpaksa bergantung kepada hospital di luar daerah seperti Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Slim River di Perak.

Menurutnya, jarak perjalanan yang jauh, antara 40 hingga 60 kilometer bergantung kepada lokasi penduduk, memberi beban besar terutama ketika berlaku kecemasan seperti strok, serangan jantung, trauma, kemalangan jalan raya atau kehamilan berisiko tinggi.

“Dalam bidang kesihatan, kita memahami bahawa masa adalah nyawa. Setiap minit amat berharga ketika berlaku kecemasan,” katanya.

Dr. Sathia turut memberi amaran bahawa jika tiada hospital besar diwujudkan di Hulu Selangor, penduduk daerah itu akan terus mendapatkan rawatan di hospital-hospital utama di Lembah Klang, sekali gus menambah kesesakan dan tekanan kepada sistem kesihatan sedia ada.

Katanya, hospital bandar bukan sahaja perlu menampung penduduk kawasan mereka sendiri, tetapi turut menerima pesakit dari kawasan luar seperti Hulu Selangor.

Sehubungan itu, beliau berkata sudah tiba masanya keperluan sebuah hospital pakar kerajaan di Hulu Selangor dibincangkan dengan lebih serius demi memastikan pembangunan kesihatan yang lebih adil dan seimbang.

“Penduduk Hulu Selangor juga membayar cukai, menyumbang kepada pembangunan negeri dan berhak mendapat akses penjagaan kesihatan yang lebih dekat, cepat dan berkualiti.

“Pembangunan kesihatan yang adil bukan hanya melihat di mana penduduk paling ramai, tetapi juga melihat siapa yang paling jauh daripada akses rawatan ketika mereka benar-benar memerlukannya,” katanya.

#KesihatanRakyat #HuluSelangorPerluHospital #HospitalPJPentingHuluSelangorPunPenting #AksesKesihatanAdil

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2026 – Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Dato’ Dr Armand Azha Haji Abu Hanifah menegaskan sokongan penuh beliau terhadap misi Global Sumud Flotilla yang disifatkan sebagai sebahagian daripada perjuangan kemanusiaan penting untuk rakyat Gaza, Palestin.

Beliau berkata, isu berkaitan Gaza dan Palestin merupakan perjuangan yang sentiasa dekat di hatinya, apatah lagi selepas beliau sendiri pernah menjejakkan kaki ke bumi Gaza sebanyak tiga kali.

Menurutnya, pengalaman melihat sendiri penderitaan rakyat Palestin memberikan kekuatan dan semangat kepadanya untuk terus bersuara tanpa rasa kecewa atau putus asa.

“Saya konsisten dalam isu Gaza Palestin dan setiap perkara yang mempunyai kepentingan dalam perjuangan buat Gaza Palestin akan saya berikan sokongan 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas perbezaan pandangan yang timbul di media sosial berhubung Global Sumud Flotilla, Armand Azha berpandangan ia berlaku kerana penjelasan dan penerangan yang kurang jelas kepada rakyat Malaysia.

Katanya, keadaan itu menyebabkan wujud pelbagai pertikaian dalam masyarakat, sedangkan misi tersebut membawa tujuan besar dalam perjuangan kemanusiaan di peringkat global.

Beliau berkata, sebelum menilai isu berkenaan, masyarakat perlu mengetepikan perbezaan politik, agama, bangsa dan rasa kebencian.

Jelasnya, sekiranya sesuatu isu dilihat melalui emosi dan kebencian, masyarakat akan hilang pertimbangan rasional sehingga memandang negatif terhadap misi yang sebenarnya penting buat Gaza dan Palestin.

Armand Azha menjelaskan, Global Sumud Flotilla dilihat penting kerana ia mewakili usaha kemanusiaan dan gerakan antarabangsa untuk mencabar sekatan terhadap Gaza, meningkatkan kesedaran dunia serta menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin.

Menurut beliau, misi flotilla berperanan memecahkan kesunyian antarabangsa dengan membawa perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, termasuk isu makanan, ubat-ubatan, elektrik dan penderitaan rakyat awam akibat konflik serta sekatan.

Selain itu, katanya, misi seumpama itu juga sering dikaitkan dengan usaha menghantar bantuan kemanusiaan seperti bekalan perubatan, makanan dan keperluan asas kepada penduduk Gaza.

Beliau berkata, penyertaan aktivis, doktor, ahli parlimen, wartawan dan pertubuhan kemanusiaan dari pelbagai negara membuktikan isu Palestin bukan hanya isu serantau, sebaliknya mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

Tambahnya, gerakan tersebut turut memberi tekanan diplomatik terhadap kerajaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta institusi antarabangsa lain supaya lebih tegas membela hak rakyat Palestin, mendesak gencatan senjata dan membuka laluan bantuan kemanusiaan.

“Bagi ramai penyokong, flotilla ini melambangkan penentangan aman terhadap pendudukan dan sekatan yang dikenakan ke atas Gaza,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata perkataan “Sumud” yang berasal daripada bahasa Arab membawa maksud ketabahan atau kecekalan, sekali gus mencerminkan semangat rakyat Palestin dalam menghadapi pelbagai kesukaran.

Armand Azha turut menyentuh kedudukan Palestin di peringkat antarabangsa apabila sebahagian besar negara anggota PBB telah mengiktiraf Negara Palestin, manakala Palestin terus mengekalkan status sebagai negara pemerhati bukan anggota di Perhimpunan Agung PBB.

Katanya, penjelasan mengenai isu ini perlu diperluaskan kerana masih ramai rakyat Malaysia belum memahami sepenuhnya mengapa misi Global Sumud Flotilla penting dalam konteks perjuangan Palestin.

“Semoga penjelasan ringkas ini dapat memberikan pemahaman buat rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap perjuangan saudara-saudara kita di bumi Gaza Palestin.

“Free Palestine,” katanya.

#FreePalestine #GlobalSumudFlotilla #PrayForGaza #SolidaritiPalestin #AACNews