Day: May 20, 2026

SUBANG JAYA — Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang malam tadi secara rasmi membuat laporan polis terhadap mantan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, berikutan kenyataan beliau yang didakwa tidak menghormati serta mempertikaikan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

​Laporan tersebut dibuat sendiri oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang merangkap Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Sri Fariz Hazurin Ismail di Balai Polis USJ 8, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

​Menurut Datuk Sri Fariz, tindakan tegas ini diambil sebagai tanggungjawab mutlak pimpinan tempatan demi mempertahankan kedaulatan institusi diraja, memandangkan Parlimen Damansara dan Subang terletak di bawah tanah jajahan serta naungan Sultan Selangor.

​Beliau turut mempersoalkan sama ada pemimpin-pemimpin terbabit, khususnya daripada parti DAP, sengaja melupakan kontrak sosial negara yang telah termaktub secara jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

​”Saya nak tanya dengan Tony Pua ni, kamu faham atau tidak kedaulatan Raja-Raja Melayu? Inilah maksudnya daulatnya Raja Melayu. Kalau hari ini titah Duli Yang Maha Mulia pun kamu pertikaikan, itu bermakna kamu tidak mengiktiraf Sultan Selangor. Jika berani, nyatakan ‘when and where’ (bila dan di mana),” tegas beliau kepada pengamal media sejurus selesai membuat laporan.

​Datuk Sri Fariz menyelar kenyataan Tony Pua sebelum ini yang mendakwa beliau hanya akan mematuhi undang-undang berasaskan perlembagaan dan bukannya berdasarkan titah, serta kenyataan bahawa kuasa Raja mempunyai had dalam sistem demokrasi negara.

​Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan semula prinsip pertama dan kedua Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan serta Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang sepatutnya dihayati, difahami, dan dihadam oleh setiap warganegara Malaysia tanpa berbelah bahagi.

​Sambil menyifatkan tindakan kelompok pemimpin berkenaan seperti ‘kaduk naik junjung’, Datuk Sri Fariz menjelaskan rentetan isu ini sebenarnya bermula daripada kenyataan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siu Kee berhubung isu penternakan babi, yang kemudian disusuli oleh kenyataan veteran DAP, Ronnie Liu.

​”Teguran saya ini mungkin bunyinya agak keras, tetapi saya tidak marah kepada bangsa atau kaum-kaum lain. Teguran saya ini khusus kepada individu-individu yang berani mempertikaikan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor—iaitu pertama Wong Siu Kee, kedua Ronnie Liu, dan ketiga hari ini, Tony Pua,” tambah beliau lagi.

​Di akhir kenyataannya, beliau menasihatkan agar Ronnie Liu dan Tony Pua hadir ke Dataran Selangor untuk membaca, menghayati, serta benar-benar memahami intipati Rukun Negara agar polemik seumpama ini tidak berulang kembali demi menjaga keharmonian negara.

​#SultanSelangor #PemudaUMNOSubang #TonyPua #KontrakSosial #PortalBeritaAAC

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2026 – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Sri Fariz Hazurin Ismail mengecam kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berhubung kuasa Raja-Raja Melayu yang disifatkannya sebagai tidak sensitif terhadap asas kenegaraan dan institusi Raja Berperlembagaan.

Fariz berkata, rakyat kini semakin muak dengan sikap segelintir pemimpin DAP yang didakwa terus memainkan isu sensitif melibatkan institusi Raja-Raja Melayu serta asas Perlembagaan negara.

Menurut beliau, politik seperti itu tidak lagi boleh dianggap sebagai keterbukaan demokrasi, sebaliknya dilihat lebih menjurus kepada politik provokasi yang berpotensi mencetuskan polemik demi kepentingan politik sempit.

“Institusi Raja-Raja Melayu bukan bahan eksperimen politik mana-mana parti. Ia adalah lambang kedaulatan negara, pelindung agama Islam serta tonggak keseimbangan dalam sistem Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tony Pua yang dilaporkan menyebut bahawa kuasa Raja-Raja Melayu adalah terhad kepada aspek tertentu dalam sistem Raja Berperlembagaan.

Fariz menegaskan, sebarang kenyataan yang dilihat mempertikaikan atau memperlekeh peranan institusi tersebut boleh menimbulkan kemarahan rakyat kerana ia menyentuh sensitiviti majoriti masyarakat Malaysia.

Dalam masa sama, beliau turut membidas Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki susulan isu perbahasan berkaitan cadangan penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor, yang sebelum ini dilaporkan mencetuskan bantahan beberapa pihak.

Fariz mendesak Wong supaya tidak terus berselindung di sebalik alasan politik, sebaliknya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor serta seluruh rakyat Malaysia.

“Jangan hanya pandai bercakap soal demokrasi dan kebebasan bersuara apabila mahu mencetuskan kontroversi, tetapi gagal menunjukkan rasa hormat apabila menyentuh institusi yang menjadi lambang kedaulatan negara,” tegasnya.

Beliau berkata, jika benar wujud rasa tanggungjawab dan hormat terhadap Sultan Selangor, Wong wajar tampil secara terbuka memohon maaf tanpa berselindung di sebalik alasan politik.

Fariz turut menyifatkan politik DAP hari ini sebagai terlalu ghairah bermain persepsi dan provokasi sehingga gagal memahami batas adab terhadap institusi negara.

Katanya, Malaysia tidak memerlukan politik yang bongkak dan suka mencabar asas negara semata-mata untuk meraih sokongan kelompok tertentu atau mencipta populariti sementara.

Sebaliknya, beliau menegaskan negara memerlukan kepimpinan matang yang menghormati Perlembagaan, memahami sejarah pembentukan negara serta tidak mempermainkan kestabilan nasional.

“Rakyat semakin bijak menilai siapa yang benar-benar mempertahankan keharmonian negara dan siapa yang sekadar mahu mengheret negara ke dalam politik konflik yang tidak berkesudahan,” katanya.

Fariz turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak memperlekeh kebijaksanaan rakyat Malaysia yang masih menjunjung nilai hormat terhadap institusi Raja-Raja Melayu serta asas pembentukan negara ini.

#DaulatTuanku #RajaBerperlembagaan #PemudaUMNO #PolitikMalaysia #AACNews