Day: May 29, 2026

​KUALA LUMPUR , 29 Mei 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan berterusan yang menimpa umat Islam di Gaza, selatan Lubnan, dan beberapa wilayah lain akibat serangan berterusan rejim Zionis Israel.

​Beliau menyifatkan suasana sambutan Aidilfitri tahun ini dipalit kesedihan yang amat sangat apabila umat Islam di rantau berkenaan terus berdepan kezaliman, kemusnahan, serta kehilangan nyawa tanpa noktah.

​Malah, Anwar turut membidas sikap membisu kuasa besar Barat yang disifatkannya sebagai ‘munafik’ dalam mempertahankan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

​“Bila orang Palestin dizalimi, apabila Gaza dihancurkan dan selatan Lubnan diserang, dunia seolah-olah tidak lagi mempunyai maruah dan prinsip yang dipertahankan.

​“Inilah yang saya maksudkan sebagai kemunafikan demokrasi dunia Barat. Mereka bercakap soal hak asasi dan keadilan, tetapi membiarkan kezaliman berlaku secara terbuka,” katanya.

​Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, di sini, hari ini.

​Malaysia Tolak Penindasan, Bukan Cetus Kebencian Agama

​Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa pendirian lantang Malaysia bukanlah bersifat ekstrem atau didorong oleh kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama. Sebaliknya, ia adalah atas prinsip kemanusiaan sejagat dan penolakan total terhadap penindasan.

​Jelas beliau, kemarahan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa terhadap Israel adalah tindak balas semula jadi terhadap tindakan zalim yang terus berulang tanpa sebarang penyelesaian tuntas.

​Bagi mencari jalan keluar, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan strategik bersama beberapa pimpinan utama negara Islam.

​“Ia (perbincangan) melibatkan Presiden Iran, Presiden Pakistan, Presiden Turkiye serta Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman bagi membincangkan usaha memperkukuh perpaduan dunia Islam dalam menghentikan keganasan dan konflik yang berlarutan di Asia Barat,” katanya.

​Kesan Geopolitik Terhadap Ekonomi Domestik

​Dalam perkembangan sama, Anwar mengingatkan bahawa konflik di Asia Barat bukan sekadar isu keselamatan serantau, malah berupaya memberi impak besar kepada kestabilan ekonomi dunia, termasuk rantau Asia Tenggara.

​Meskipun Malaysia ketika ini berada dalam keadaan aman dengan asas ekonomi yang baik, beliau tidak menolak bahawa ketidaktentuan geopolitik global sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

​Teguran Buat Ahli Politik Tempatan

​Mengulas mengenai situasi politik dalam negara, Anwar mengambil kesempatan menyeru masyarakat dan pimpinan politik tempatan agar sentiasa mengekalkan pendekatan yang sederhana, tenang, dan rasional.

​Beliau mengingatkan agar fokus utama kepimpinan perlulah diberikan kepada usaha membela nasib rakyat, bukannya melayan sentimen ekstrem.

​“Politik tidak boleh dibawa dengan sentimen melampau. Kita mesti kekal waras dan mengutamakan kepentingan rakyat, bukannya mengulangi budaya kebencian serta kegilaan politik seperti yang berlaku di beberapa negara Barat,” tegas beliau mengakhiri bicara.

#AnwarIbrahim #MalaysiaStandWithPalestine #SolidaritiGazaLubnan #DuniaIslamBersatu #KemunafikanBarat

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, sebarang keputusan berkaitan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah di bawah kuasa dan wewenang Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin yang tular berhubung kemungkinan Datuk Seri Najib atau lebih dikenali sebagai “Bossku” dibebaskan atau menerima pengampunan.

Menurut Gulam, beliau sendiri tidak menerima sebarang maklumat rasmi berhubung perkara itu, namun menegaskan isu tersebut tidak wajar dijadikan bahan pertikaian politik kerana ia melibatkan bidang kuasa Seri Paduka Baginda.

“Saya terus terang dan jujur, saya tak dapat berita tentang Bossku nak keluar ke atau apa pun. Mungkin ini dari segi propaganda, kita tak tahu.

“Sebab saya bukan orang yang boleh komen. Ini adalah wewenang Yang di-Pertuan Agong, jadi kita tak boleh nak pertikaikan,” katanya.

Bagaimanapun, Gulam berkata sekiranya khabar angin tersebut benar berlaku, ia merupakan perkembangan yang baik kepada penyokong UMNO dan mereka yang selama ini menantikan pembelaan terhadap Najib.

“Kalau sekiranya betul apa yang diserkap jarang ini, Alhamdulillah, it’s good for us. Dengan kehadiran dan mungkin kalau Bossku diberi pengampunan, itu adalah tanda yang baik untuk kita,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Gulam menyindir pihak tertentu dalam PKR yang didakwanya mungkin tidak berpuas hati sekiranya pengampunan terhadap Najib menjadi kenyataan.

Menurut beliau, pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan perlu menerima hakikat bahawa kuasa pengampunan bukan terletak pada mana-mana parti politik, sebaliknya di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau PKR tak berpuas hati tentang dasar ataupun bila pengampunan dibuat kepada Bossku, itu bukan masalah kita, itu masalah dia.

“Penerimaan dia untuk menerima, sebagaimana kita dulu menerima Anwar Ibrahim menerima pengampunan, dia kena reda dan berdamai dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Gulam turut menegaskan, isu pembebasan atau pengampunan Najib tidak seharusnya dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak, khususnya jika ia hanya digunakan sebagai alasan untuk mewujudkan perpecahan dalaman atau membina naratif tertentu.

Menurutnya, sekiranya ada pihak dalam PKR menjadikan isu tersebut sebagai alasan untuk mengambil pendirian politik tertentu, perkara itu lebih mencerminkan masalah dalaman parti berkenaan.

“Kalau dia rasa dia nak main politik dengan isu pembebasan Datuk Seri Najib Tun Razak, apa yang kita boleh buat?

“Tapi yang saya nampak, kalau dia mengatakan itu adalah isunya, sebenarnya itu hanya satu exit clause untuk dia keluar bersama Rafizi,” katanya.

Beliau berkata, UMNO sebelum ini tidak mempertikaikan pengampunan yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, justeru pihak lain juga sewajarnya mengambil sikap sama sekiranya berlaku keputusan melibatkan Najib.

“Bila PKR mendapat khabar berita Anwar Ibrahim diberi pengampunan, adakah kita dispute? Kita tak dispute.

“Mereka pun kena bersikap sedemikian sebab ini adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Gulam sekali lagi menegaskan bahawa kuasa pengampunan adalah mutlak dalam kerangka Perlembagaan dan tidak sepatutnya dipolitikkan secara berlebihan.

“Mandat dan wewenang itu kita bagi kepada Yang di-Pertuan Agong. Kuasa itu mutlak kepada Baginda,” katanya.

#BeritaAAC #Bossku #DatukSeriNajib #PolitikMalaysia #GulamMuszaffar

​KUALA LUMPUR , 28 Mei 2026 – Pentas politik PKR kini dilihat sedang mengalami dinamika dalaman yang menarik apabila Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilabel sebagai ‘Blue-Eyed Boy’ (anak emas) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar mendakwa, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu kini dilihat menerima lebih banyak keistimewaan berbanding “darah daging” atau barisan kepimpinan utama PKR sendiri.

​Malah, beliau secara berseloroh mempersoalkan ‘kehilangan’ Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang disifatkannya seperti sedang bekerja dari rumah (work from home).

​”Saya suka panggil Zafrul ini ‘Blue-Eyed Boy’ PMX. Kalau kita tengok, dia lebih dapat keistimewaan daripada Timbalan Presiden PKR itu sendiri. Sementara Nurul Izzah pula masih lagi mencari-cari tempat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

​Pertembungan Kerusi Lahad dan Isu ‘Work From Home’

​Mengulas lanjut mengenai kedudukan politik Tengku Zafrul, Gulam mendedahkan bahawa bekas Menteri Kewangan itu sudah mempunyai kedudukan selesa untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, dengan sasaran sama ada di Parlimen Ampang atau Pandan.

​”Dah ada dua tempat dah dia boleh ‘cop’, antara Ampang ataupun Pandan. Kononnya, dia adalah satu figura yang mungkin diletakkan untuk melawan Rafizi di Pandan.”

​Dalam pada itu, Gulam turut melahirkan rasa terkejut dengan kelibat Rafizi Ramli yang dahulunya diwar-warkan sebagai calon Perdana Menteri masa depan untuk Pakatan Harapan (PH), namun kini seolah-olah ‘hilang dari radar’.

​”Sama ada hilang daripada radar ataupun mungkin work from home, saya tak tahulah. Mungkin sebabkan polisi kerajaan hari ini, kita banyak kerja work from home. Sebab itu tidak nampak,” sindir beliau.

​Perubahan Struktur PKR Cetus Tanda Tanya

​Dakwaan itu diperkuatkan lagi dengan perubahan mengejut dalam struktur parti, di mana jawatan Pengarah Pilihan Raya PKR kini telah diserahkan kepada Datuk Seri Amirudin Shari dengan dibantu oleh Fuziah Salleh.

​Menutup bicaranya, Gulam menyatakan situasi politik semasa ini sebagai satu persaingan proksi yang menarik untuk diperhatikan oleh rakyat.

​”Kita tengoklah, ini antara ‘Blue-Eyed Boy’ PMX ataupun ‘Flesh and Blood’ (darah daging) PMX. Siapa pilihan ‘daddy’ itu, kita tunggu dan lihat,” katanya.

#TengkuZafrul #RafiziRamli #PolitikMalaysia #PMX #BeritaAAC