Day: May 31, 2026

Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR), Shahbudin Embun menunjukkan laporan polis dibuat pihaknya di Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR , 31 Mei 2026 – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat segera penyebaran sebuah video tular di platform TikTok yang mengandungi dakwaan serius melibatkan Institusi Diraja serta kepimpinan negara.

​Satu laporan polis telah dibuat susulan penularan kandungan oleh akaun bernama “SHAFIQ Inspirasi” yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah, provokasi, dan berpotensi menggugat ketenteraman awam.

​Dakwaan Terima Bayaran Serang Institusi Diraja

​Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun mendedahkan bahawa video berkenaan mendakwa seorang individu bernama Raja Azman Raja Petra akan membuat Akuan Berkanun (SD). SD tersebut dikatakan berkaitan dengan dakwaan menerima bayaran daripada pihak tertentu yang dikaitkan dengan kepimpinan negara bagi tujuan menyerang institusi diraja.

​”Dakwaan seperti ini amat serius kerana bukan sahaja melibatkan reputasi kepimpinan negara, malah turut menyentuh sensitiviti institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

​Agenda Politik Terselindung Sabotaj Kerajaan MADANI

​Shahbudin menegaskan, pihaknya memandang serius naratif tersebut yang dipercayai mempunyai agenda politik terselindung demi membentuk persepsi negatif terhadap Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau turut mempersoalkan kredibiliti pemilik akaun TikTok tersebut serta kesahihan maklumat yang disebarkan tanpa pengesahan.

​Naratif yang mendakwa Raja Azman kini berada di London dan bersedia memberikan keterangan secara dalam talian melalui peguamnya juga digesa untuk disemak secara terperinci bagi mengelakkan manipulasi maklumat oleh pihak ketiga.

​”Sekiranya dakwaan yang dibangkitkan itu didapati palsu atau tidak berasas, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai fitnah jenayah dan hasutan yang berpotensi mengancam keharmonian masyarakat,” tegas beliau.

​Desak Tindakan Tegas Di Bawah Akta Hasutan

​Sehubungan itu, SEKPUR memohon Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM bersama MCMC untuk:

​Mengenal pasti identiti sebenar pemilik akaun TikTok terbabit.

​Menyiasat motif sebenar penyebaran kandungan tersebut.

​Mengesahkan kesahihan sumber maklumat yang digunakan.


​SEKPUR turut menuntut agar tindakan tegas diambil di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta peruntukan berkaitan dalam Kanun Keseksaan terhadap mana-mana individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu.

​”Institusi diraja tidak seharusnya dijadikan bahan manipulasi politik atau dieksploitasi bagi mencapai agenda tertentu. Kedaulatan institusi ini perlu dipelihara demi menjamin keharmonian, kestabilan politik dan keluhuran undang-undang negara,” katanya lagi.

#InstitusiDiraja #SiasatTikTok #FitnahPolitik
#KerajaanMADANI #BeritaSemasaAAC

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2026 – Kenyataan Pemuda DAP (DAPSY) yang melabel UMNO sebagai ‘kacang lupakan kulit’ hebat ditempelak oleh Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar.

​Menurut Gulam, DAPSY seharusnya tidak melupakan sejarah pasca-PRU15 di mana negara berada dalam situasi parlimen tergantung (hung parliament). Tegas beliau, Pakatan Harapan (PH) yang sebenarnya bertindak ibarat “perigi mencari timba” apabila sanggup datang ke World Trade Centre (WTC) untuk meminang UMNO bagi membentuk kerajaan.

​”UMNO berada dalam dilema yang amat sangat antara prinsip perjuangan parti atau demi negara. Akhirnya UMNO memilih demi negara, walaupun keputusan itu amat memeritkan survival politik parti ekoran penolakan kuat di peringkat dalaman dan ahli akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

​Cabar PMX Bubar Parlimen

​Mengulas mengenai amaran DAPSY agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) membubarkan Parlimen jika BN Johor berkeras mahu bertanding solo di kesemua 56 kerusi DUN, Gulam menyifatkan DAPSY hanya ‘gertak sambal’ dan cuba menunjuk bagus.

​Beliau turut mempersoalkan keberanian PMX memandangkan retorik berapi-api di atas pentas Konvensyen PH Johor berbeza sama sekali dengan kenyataan lunak di luar dewan yang mahu kembali berbincang dengan UMNO.

​”Saya jangkakan YAB PMX sendiri tidak berani untuk membubarkan Parlimen jika YAB Menteri Besar Johor membubarkan DUN dalam masa terdekat.

​”Tiada satu pun naratif politik yang cuba dibawa memberi imej baik kepada PMX, segalanya tidak menjadi, ‘not a single one turn to gold’. Cengkaman politik beliau bukan bertambah kuat, sebaliknya mula longgar dan kehilangan kepercayaan,” ulas beliau lagi.

​DAP Aset Atau Liabiliti?

​Tambah Gulam, kesilapan terbesar PMX ketika ini adalah kerana terlalu bergantung kepada DAP, sekali gus menjauhkan pengundi Melayu yang disifatkannya masih ‘taboo’ dengan parti tersebut. Beliau mendakwa, kini hanya sekitar 10 peratus sahaja orang Melayu yang menyokong PMX.

​Sehubungan itu, beliau menasihatkan DAPSY agar tidak sibuk melabel parti lain, sebaliknya ‘mencerminkan’ kedudukan mereka sendiri dalam landskap politik semasa.

​”Daripada sibuk melabelkan UMNO sebagai kacang lupakan kulit, adalah lebih baik (DAPSY) cermin diri sendiri; adakah DAP itu sebenarnya liabiliti atau aset kepada YAB PMX dalam kerangka politik PH,” katanya.

#PolitikMalaysia #UMNOvsDAP #PrkJohor #GulamMuszaffar #KerajaanPerpaduan #MesejPanasAAC