KUALA LUMPUR, 12Januari 2026 — Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGig) menegaskan keperluan campur tangan kerajaan yang lebih tegas bagi melindungi kebajikan lebih 1.7 juta penggiat ekonomi gig, khususnya dalam isu harga lantai, sistem bidaan serta kawal selia keseluruhan ekosistem industri berkenaan.
Pengerusinya, YB Datuk Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata perkara itu antara keputusan utama Mesyuarat Pertama MyGig bagi tahun 2026 yang baru selesai diadakan, selain penubuhan sebuah Jawatankuasa Kerja bagi mempercepatkan proses membuat keputusan berkaitan isu-isu mendesak industri gig.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut diberi kuasa membuat keputusan segera tanpa perlu memanggil keseluruhan ahli majlis, sekali gus membolehkan tindakan pantas diambil sebelum keputusan itu diedarkan untuk persetujuan bersama.
“Ekonomi gig ini bergerak terlalu pantas. Kalau kita lambat bertindak, kebajikan rakyat yang terlibat akan terjejas,” katanya kepada media.
Dalam mesyuarat sama, MyGig turut mengalu-alukan pelantikan Dato’ Sri Ramanan sebagai Menteri di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), dan berharap pelaksanaan Akta Pekerja Gig yang telah diluluskan, ditandatangani dan diwartakan dapat menunjukkan impak sebenar kepada rakyat.
Namun, Sharkar menegaskan bahawa rakyat kini mahu melihat hasil nyata, bukan sekadar kelulusan akta di atas kertas.
“Lebih 1.7 juta rakyat terlibat dalam industri ini. Mereka mahu tahu apa kesan sebenar undang-undang ini kepada kehidupan dan periuk nasi mereka,” katanya.
Antara isu paling kritikal yang dibangkitkan ialah masalah harga lantai dan sistem bidaan terbuka oleh syarikat e-hailing dan p-hailing, termasuk syarikat asing yang didakwa menekan kadar bayaran sehingga terlalu rendah.
Beliau memberi contoh kadar serendah RM2.50 yang disifatkan tidak munasabah dan tidak mampu menampung kos sara hidup, sekali gus berpotensi mencetuskan masalah sosial jika dibiarkan berlarutan.
“Kerajaan tidak boleh hanya melihat pelaburan semata-mata. Kebajikan rakyat juga mesti dijaga. Jika gagal, akhirnya ahli politik sendiri yang akan dihukum rakyat dalam pilihan raya,” tegasnya.
MyGig turut membangkitkan isu pelaksanaan Budi Madani, khususnya syarat jarak dan kuota yang didakwa tidak realistik bagi kawasan kecil seperti Langkawi, selain isu perubatan alternatif yang didakwa wujud ketidaksamaan dasar antara kementerian.
Dalam masa sama, rungutan penggiat seni turut dibawa apabila akta baharu hanya menetapkan 30 peratus tenaga kerja tempatan, sedangkan MyGig berpendapat kru produksi wajar diisi sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.
Mengulas jalan penyelesaian jangka panjang, Sharkar menegaskan hanya penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia mampu menyelaras keseluruhan ekosistem industri gig secara menyeluruh dan berkesan.
“Kita harap kerajaan menyegerakan penubuhan suruhanjaya ini supaya semua isu ekonomi gig dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya.
Beliau turut memaklumkan MyGig kini telah melantik pengerusi negeri di beberapa negeri termasuk Pahang, Terengganu, Johor dan Selangor, manakala pelantikan di negeri lain akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
#EkonomiGig #MyGigMalaysia #PekerjaGig #EHalilingPHailing #HargaLantai #KebajikanRakyat #AktaPekerjaGig #IsuRakyat #BeritaAAC #GigEconomyMalaysia