Month: April 2026

KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Satu langkah signifikan ke arah memperkasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pembangunan kemahiran dan peluang ekonomi dimeterai hari ini menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Program Latihan Jahitan untuk Pemerkasaan Ekonomi OKU.

MoU tersebut melibatkan kerjasama strategik antara Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare), AFSM Sewtech Technology Academy (AfSM) dan Persatuan Kebajikan Insan Istimewa Jati Diri (PERJATI).

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Pejabat PERJATI, Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur.

Kerjasama ini bertujuan membangunkan program latihan kemahiran jahitan khusus untuk ahli OKU di bawah PERJATI, dengan matlamat meningkatkan keupayaan mereka menjana pendapatan, berdikari dari segi ekonomi serta memperbaiki taraf sosioekonomi peserta yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan asnaf.

Menerusi program tersebut, peserta akan mengikuti latihan teori dan praktikal dalam bidang jahitan, selain dibekalkan dengan peralatan, bahan latihan serta bimbingan dalam menghasilkan produk yang berpotensi dipasarkan secara komersial.

Lebih menarik, program ini turut membuka ruang kepada peserta untuk menerima elaun atau upah berdasarkan jumlah jam latihan atau hasil pengeluaran produk. Pendekatan itu bukan sahaja memberi pendedahan sebenar dalam dunia pekerjaan, malah memperkenalkan peserta kepada pengalaman keusahawanan sosial berasaskan kemahiran.

Dalam kerjasama berkenaan, AfSM Sewtech Technology Academy berperanan menyediakan modul latihan, tenaga pengajar, mesin serta peralatan jahitan, di samping membimbing peserta dalam aspek pengkomersialan produk.

Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) pula bertindak sebagai penyelaras utama program meliputi perancangan, pemantauan serta usaha mendapatkan sumber dana bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar dan mampan.

Sementara itu, Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare) memainkan peranan sebagai koordinator bersama dengan menyalurkan sokongan kebajikan kepada peserta serta membantu mempromosikan dan memasarkan produk yang dihasilkan.

PERJATI pula bertanggungjawab mengenal pasti peserta OKU yang sesuai serta memastikan komitmen mereka sepanjang mengikuti latihan yang dijalankan.

Program latihan ini akan dilaksanakan di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur, dengan harapan ia dapat menjadi model latihan kemahiran inklusif yang mampan untuk komuniti OKU, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif pembangunan ekonomi berasaskan kemahiran pada masa hadapan.

Melalui inisiatif ini, semua pihak yang terlibat berharap kerjasama antara organisasi kebajikan, institusi latihan dan komuniti dapat terus diperkukuh dalam usaha menyediakan peluang ekonomi yang lebih inklusif kepada golongan OKU, selaras dengan aspirasi membina masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya saing dan tidak meminggirkan mana-mana golongan.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan golongan OKU tidak hanya dibantu dari sudut kebajikan, tetapi turut diberi kemahiran, keyakinan dan peluang untuk membina masa depan yang lebih stabil, produktif dan bermaruah.

#BeritaAAC #PemerkasaanOKU #LatihanJahitan #EkonomiInklusif #DesaRejang

KAJANG, 10 April 2026 – Persatuan Penduduk Taman Koperasi Cuepacs Fasa 2 menyuarakan rasa terkilan dan tidak bersetuju terhadap keputusan terkini berhubung isu melibatkan kuil di kawasan berkenaan, selepas mendakwa mereka tidak dipanggil menyertai perbincangan rasmi yang berlangsung di tapak kuil.

Pengerusinya, Encik Shapawi, berkata lawatan tersebut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Selangor, Papparaidu Veraman, bersama beberapa pihak lain termasuk ADUN Kajang, wakil pegawai daerah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) serta pengurusan kuil.

Menurut beliau, persatuan penduduk kesal kerana tidak diberi ruang untuk hadir dalam perbincangan yang menyentuh kepentingan penduduk setempat.

“Kami agak terkilan kerana Persatuan Penduduk Taman Koperasi Cuepacs Fasa 2 tidak dipanggil. Sepatutnya perbincangan melibatkan kedua-dua belah pihak, bukan hanya sebelah pihak sahaja,” katanya.

Setiausaha persatuan, Encik Faizal, memaklumkan bahawa hasil keputusan sementara yang diperoleh ialah pihak kuil dibenarkan menggunakan laluan sementara selama enam bulan, sementara laluan baharu dari Sungai Long sepanjang kira-kira 3.3 kilometer disiapkan dalam tempoh sama.

Beliau berkata, penggunaan laluan itu hanya dibenarkan bagi tujuan pembinaan dan bukan untuk sebarang aktiviti keagamaan atau upacara sembahyang di premis berkenaan.

“Pihak kuil tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti atau upacara sembahyang. Ia hanya untuk tujuan pembinaan sahaja, dan laluan keluar masuk itu juga hanya bagi membawa barang pembinaan,” jelasnya.

Bagaimanapun, pihak persatuan mendakwa keputusan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk Taman Koperasi Cuepacs Fasa 2 serta penduduk Jalan Desa Baru kerana dilihat berubah daripada tindakan terdahulu yang dikatakan telah dibuat mengikut saluran undang-undang.

Mereka turut mempersoalkan campur tangan politik dalam keputusan berkenaan dan berpendapat perkara itu sepatutnya diputuskan sepenuhnya berdasarkan perundangan.

Sementara itu, wakil persatuan, Ustaz Shafie, menegaskan bahawa pihaknya secara rasmi tidak bersetuju dengan hasil perbincangan yang dibuat pada hari tersebut kerana menganggap ia tidak seimbang dan tidak adil.

“Bila satu pihak tidak dipanggil, maka keputusan itu nampak berat sebelah, prejudis dan lebih memihak kepada kepentingan sesuatu pihak sahaja,” katanya.

Beliau berkata, persatuan akan mengambil tindakan lanjut termasuk memfailkan kes ke mahkamah dalam masa terdekat sebagai jalan terbaik untuk menyelesaikan pertikaian yang telah berlarutan.

Menurut beliau, tindakan perundangan itu penting bagi memastikan keputusan muktamad dibuat secara adil tanpa campur tangan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Encik Faizal turut memaklumkan bahawa berdasarkan nasihat peguam persatuan, kes tersebut dijangka akan difailkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Dalam perkembangan sama, persatuan berkenaan kini giat mengumpul dana bagi menampung kos guaman dan memberi jaminan bahawa segala sumbangan akan diurus secara telus serta diaudit.

Pihak persatuan turut berharap masyarakat dapat membantu bagi memastikan proses perundangan dapat dijalankan dengan lancar demi menjaga keharmonian, kesejahteraan dan hak komuniti setempat.

Selain itu, Shapawi berkata pihak persatuan juga telah membuat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) kepada MPKJ berhubung pembinaan dua pintu yang didakwa melanggar perjanjian asal.

Katanya, walaupun tindakan awal telah diambil dengan meletakkan tali kuning pada dua pintu berkenaan, mereka berpandangan langkah itu masih tidak mencukupi dan isu tersebut tetap perlu dibawa ke mahkamah.

“Sekarang ini kami nampak penyelesaian terbaik hanyalah melalui perundangan. Biar undang-undang yang tentukan,” katanya.

Persatuan Penduduk Taman Koperasi Cuepacs Fasa 2 turut memaklumkan bahawa sebarang sumbangan bagi kos guaman boleh disalurkan ke akaun rasmi persatuan, manakala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

#IsuKuilCuepacs #BeritaAAC #PendudukBersuara #HakKomuniti #MahkamahTentukan

KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali menegaskan bahawa penukaran individu semata-mata di jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan menyelesaikan masalah sebenar yang membelenggu institusi berkenaan.

Menurut beliau, desakan supaya Tan Sri Azam Baki ditamatkan perkhidmatan perlu dilihat dalam konteks lebih besar, khususnya membabitkan struktur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang masih berada di bawah kuasa Perdana Menteri.

Ibrahim berkata, selagi sistem pelantikan itu tidak diubah, isu berkaitan kebebasan, integriti dan ketelusan institusi tersebut akan terus dipersoalkan, walaupun individu yang memegang jawatan berkenaan silih berganti.

“Ia tidak menyelesaikan masalah jika individu baharu dilantik dengan kecenderungan sama kerana sistemnya masih kekal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau sehubungan itu menggesa agar kuasa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dipindahkan kepada Parlimen bagi memastikan badan berkenaan benar-benar bebas daripada pengaruh eksekutif.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi utama yang bertanggungjawab membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam masa sama, Ibrahim turut menekankan keperluan supaya kuasa pendakwa raya dipisahkan daripada pejabat Peguam Negara sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang lebih menyeluruh.

Katanya, pemisahan itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan sistem keadilan negara lebih telus, bebas dan tidak tertakluk kepada campur tangan mana-mana pihak berkepentingan.

Beliau turut mendakwa kerajaan sehingga kini masih dilihat menangguhkan pelaksanaan reformasi terbabit walaupun isu tersebut telah lama dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

Justeru, beliau mencabar kerajaan untuk membuktikan komitmen sebenar terhadap reformasi institusi dengan membawa perubahan berkenaan dalam sidang Parlimen akan datang.

Kenyataan itu dilihat menambah tekanan terhadap kerajaan supaya tidak sekadar menukar individu di tampuk kepimpinan, sebaliknya melaksanakan perubahan menyeluruh terhadap sistem dan struktur institusi penguatkuasaan negara.

#BeritaAAC #IbrahimAli #SPRM #ReformasiInstitusi #ParlimenMalaysia

KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali hari ini mengumumkan penubuhan Sekretariat Rakyat Bertindak (DESAK) sebagai satu platform gerakan rakyat yang memberi fokus kepada isu kos sara hidup, khususnya kenaikan harga minyak yang semakin menekan kehidupan rakyat.

Menurut beliau, pengumuman itu dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat pertama sekretariat berkenaan yang menghimpunkan seramai 40 anggota daripada pelbagai latar belakang, dengan kehadiran penuh semua ahli yang terlibat.

Ibrahim berkata, DESAK merupakan satu gabungan tidak berdaftar yang mengumpulkan individu-individu berpengalaman, berilmu serta berani menyuarakan pandangan demi kepentingan rakyat, tanpa mewakili mana-mana parti politik atau pertubuhan tertentu.

Katanya, fokus utama gerakan itu ketika ini adalah isu kenaikan harga minyak yang dilihat memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat, namun sekretariat tersebut juga bersedia untuk memberi perhatian terhadap isu-isu besar lain yang menyentuh kepentingan awam.

“Fokus utama kita adalah isu kenaikan harga minyak yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat. Namun, sekretariat ini juga akan memberi perhatian kepada isu-isu penting lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan siri himpunan bantah kenaikan harga minyak yang akan diteruskan di beberapa lokasi di seluruh negara sepanjang April hingga awal Mei ini.

Menurut beliau, himpunan kedua dijadualkan berlangsung pada 16 April di hadapan UTC Melaka, diikuti siri ketiga pada 26 April di Amanjaya Central, Ipoh. Siri keempat pula akan diadakan di Temerloh, Pahang pada 1 Mei, sebelum himpunan kemuncak kembali diadakan di Sogo, Kuala Lumpur pada 2 Mei.

Beliau berkata, setiap himpunan itu akan menampilkan tokoh-tokoh yang mempunyai kredibiliti, integriti serta keupayaan untuk menjelaskan isu-isu rakyat dengan lebih jelas dan berkesan kepada masyarakat.

Tegas beliau, DESAK bukan sekadar satu gerakan biasa, sebaliknya merupakan suara rakyat yang bangkit menuntut keadilan dalam suasana ekonomi semasa yang semakin mencabar, khususnya apabila rakyat terus dihimpit tekanan kos sara hidup.

Penubuhan sekretariat itu dijangka menjadi satu lagi medan mobilisasi rakyat dalam menyuarakan bantahan terhadap isu harga minyak, di samping memperkukuh solidariti masyarakat dalam mendesak penyelesaian yang lebih adil dan menyeluruh.

#DESAK #BantahHargaMinyak #KosSaraHidup #SuaraRakyat #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 6 April 2026 – Parti GERAKAN Rakyat Malaysia menegaskan bahawa mana-mana parti politik yang mahu menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah dialu-alukan, selagi mempunyai ideologi yang sehaluan serta komited untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Presidennya, YB Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pendirian GERAKAN sebagai salah satu parti komponen dalam PN adalah jelas, iaitu terbuka menerima penyertaan parti-parti lain yang berkongsi matlamat untuk membantu rakyat, mewakili suara rakyat dan memperkukuh peranan pembangkang.

Menurut beliau, PN sentiasa mengalu-alukan mana-mana parti yang berkongsi perjuangan sama, namun setiap permohonan perlu melalui proses dan prosedur tertentu seperti yang termaktub dalam perlembagaan gabungan tersebut.

“Mana-mana parti yang berkongsi ideologi dengan Perikatan Nasional, kita memang alu-alukan. Tetapi ia mesti melalui proses tertentu dan perlu dibincangkan terlebih dahulu,” katanya.

Dominic turut menjelaskan bahawa hubungan antara parti-parti komponen dalam PN seperti PAS, BERSATU, MIPP dan GERAKAN berada dalam keadaan erat hasil kerjasama yang telah lama terjalin menerusi pelbagai pilihan raya termasuk PRU, PRN dan PRK.

Beliau berkata, kerjasama yang terjalin dalam gabungan itu bukan sesuatu yang baharu, malah telah dibina melalui pengalaman politik dan gerak kerja bersama dalam tempoh yang panjang.

Mengulas kemungkinan penyertaan parti-parti baharu ke dalam PN, beliau berkata perkara itu tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa kerana kepimpinan gabungan perlu mendapatkan maklumat terperinci sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada permohonan Parti Pejuang Tanah Air untuk menyertai PN sebelum ini, yang menurutnya tidak terus diterima atau ditolak, sebaliknya perlu diteliti secara lebih mendalam terlebih dahulu.

Dalam masa sama, Dominic menekankan bahawa keutamaan utama dalam PN ketika ini ialah memastikan perpaduan dalaman semua parti komponen terus diperkukuh, memandangkan cabaran sebenar datang dari luar gabungan, bukannya sesama sendiri.

Beliau berpandangan bahawa rakyat ketika ini semakin tidak berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Madani berikutan tekanan kos sara hidup dan janji-janji yang didakwa masih belum ditunaikan.

Sehubungan itu, katanya, PN perlu dilihat sebagai sebuah “government in waiting” yang bersedia menawarkan alternatif kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kalau Perikatan Nasional mahu menjadi government in waiting, perpaduan dalam kalangan semua komponen parti adalah sangat penting,” katanya lagi.

Menyentuh soal kedudukan Ketua Pembangkang bagi PN, Dominic berkata GERAKAN mengambil pendirian berkecuali dan tidak mahu campur tangan dalam urusan politik dalaman parti-parti komponen lain.

Beliau mengakui GERAKAN ketika ini tidak mempunyai Ahli Parlimen, sekali gus menghadkan ruang untuk menyuarakan pandangan secara langsung di Parlimen.

Namun begitu, beliau menyerahkan kepada pimpinan tertinggi PN untuk mengumumkan siapa yang layak memegang peranan berkenaan, sambil menegaskan bahawa fokus utama GERAKAN ialah memastikan kekuatan dan perpaduan PN terus dipertahankan demi menghadapi pilihan raya akan datang.

Katanya, semua parti komponen perlu terus memperkukuh hubungan sesama sendiri dan bergerak sebagai satu pasukan sekiranya mahu mencapai kemenangan.

#BeritaAAC #PerikatanNasional #DominicLau #PolitikMalaysia #PRU16

KUALA LUMPUR, 7 April 2026 – Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa prosiding saman yang difailkannya terhadap seorang penceramah bebas, Ustaz Dusuki, telah bermula hari ini di mahkamah.

Menurut beliau, kes berkenaan berkait dengan satu hantaran di Facebook dan proses perbicaraan hari ini menyaksikan beliau selesai memberikan keterangan sebagai saksi pertama.

Fahmi berkata, proses evidence in chief, pemeriksaan balas serta keseluruhan keterangannya telah selesai, dan seterusnya beliau menyerahkan kepada pasukan peguam untuk meneruskan tindakan lanjut dalam prosiding tersebut.

Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan untuk memberi maklum balas berhubung perkembangan dua lagi kes saman yang berkait dengan isu sama, yang menurutnya melibatkan dakwaan bahawa beliau berkempen di sebuah masjid di Rawang pada tahun 2023.

Beliau menjelaskan bahawa daripada tiga kes yang difailkan, dua daripadanya telah diselesaikan setakat ini. Namun begitu, beliau mendakwa telah dihubungi oleh pelbagai pihak sejak petang semalam hingga lewat malam susulan beberapa tangkap layar dan komen yang dimuat naik oleh salah seorang pihak terlibat, iaitu Wan Azri, di Facebook dan TikTok.

Menurut Fahmi, kenyataan-kenyataan yang dimuat naik itu menimbulkan kebimbangan dan mengejutkannya, justeru beliau telah mengumpulkan kandungan berkenaan dengan bantuan rakan-rakan sebelum menyerahkannya kepada pasukan peguam untuk diteliti.

Katanya, penelitian itu penting bagi menentukan sama ada wujud sebarang perkara yang berkemungkinan melanggar keputusan atau penyelesaian yang telah dicapai semalam.
“Saya akan minta pasukan peguam saya untuk nasihatkan apakah langkah-langkah yang perlu dan boleh diambil selepas ini,” katanya.

Fahmi turut memaklumkan bahawa bagi kes ketiga, beberapa saksi lain dijangka akan dipanggil dalam tempoh sehari dua lagi.

Beliau bagaimanapun menegaskan fokus utama ketika ini adalah terhadap prosiding kes ketiga, manakala sebarang keputusan lanjut berhubung tindakan susulan terhadap kandungan baharu itu akan diputuskan dalam masa terdekat selepas mendapat nasihat perundangan.

Kenyataan itu dibuat Fahmi ketika memberi penjelasan kepada rakan-rakan media mengenai perkembangan terkini tiga kes saman yang dikaitkan dengan isu sama.

#BeritaAAC #FahmiFadzil #IsuSaman #Mahkamah #PolitikSemasa

1000269620

KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abd Razak, mengakui bahawa tiada unsur nepotisme membabitkan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berhubung pelantikan anak perempuannya ke dua entiti berkaitan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Dalam satu kenyataan bertarikh 9 April 2026, Najib merujuk kepada hantaran Facebook beliau pada 24 Ogos 2020 serta saman sivil yang difailkan oleh Dzulkefly Ahmad susulan kenyataan tersebut.

Menurut Najib, beliau mengambil maklum bahawa aduan yang dibawa ke mahkamah adalah berhubung dakwaan bahawa hantaran berkenaan memberi gambaran seolah-olah Dzulkefly mengamalkan nepotisme dalam pelantikan anak perempuannya, Puan Nurul Iman, ke Lembaga Pengarah AIM Solutions Group Bhd pada 30 April 2018 serta ke Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia pada 1 Oktober 2018.

Bagaimanapun, Najib menerima bahawa Dzulkefly tidak terlibat dalam pelantikan-pelantikan tersebut dan menegaskan bahawa tiada unsur nepotisme di pihak Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Beliau turut menjelaskan bahawa hantaran yang dibuat sebelum ini bukan bertujuan untuk memfitnah, malah tidak dimaksudkan untuk membayangkan bahawa Dzulkefly bersifat korup atau terlibat dalam nepotisme serta kronisme.

Sebaliknya, Najib berkata hantaran itu dibuat dalam konteks ulasan politik umum bagi menonjolkan persepsi mengenai standard berganda dalam kalangan parti-parti politik.

Menurut beliau lagi, kenyataan tersebut diterbitkan pada waktu berkenaan dalam kapasiti dan tanggungjawabnya sebagai seorang Ahli Parlimen, serta bertujuan menyentuh isu tadbir urus, pentadbiran dan pelantikan ke entiti berkaitan kerajaan yang ketika itu menjadi perdebatan awam dan politik.

Walau bagaimanapun, Najib mengakui bahawa hantaran tersebut telah menimbulkan kesusahan kepada Dzulkefly Ahmad dan keluarganya, sesuatu yang menurut beliau sama sekali bukan niat asalnya.

Dalam nada berdamai, beliau turut menyatakan hasrat untuk bergerak ke hadapan secara konstruktif, selain mengucapkan yang terbaik kepada Dzulkefly dalam meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara.

Najib juga menghulurkan ucapan ikhlas kepada Dzulkefly Ahmad serta keluarganya susulan perkembangan tersebut.

#BeritaAAC #NajibRazak #DzulkeflyAhmad #IsuNepotisme #PolitikMalaysia

KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) menggesa pihak kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya meneliti semula satu permohonan pengeluaran simpanan persaraan melibatkan seorang pencarum yang didakwa telah disahkan mengalami hilang upaya kekal oleh pengamal perubatan.

Aktivis sosial SBKN, Dato’ Dr Kalaivanar, berkata pihaknya memandang serius kes yang menimpa seorang pencarum wanita, Pn. Muthammal a/p Vadiapan, yang menurutnya berdepan kesukaran untuk mengeluarkan wang caruman KWSP walaupun telah mengemukakan laporan perubatan berkaitan status hilang upaya kekal.

Menurut beliau, pencarum terbabit telah membuat permohonan pengeluaran pada Januari lalu, namun permohonan tersebut didakwa ditolak oleh pihak KWSP pada Februari atas alasan lembaga perubatan tidak menyokong laporan yang dikemukakan.

Beliau mempersoalkan bagaimana laporan daripada doktor pakar yang mengesahkan keadaan hilang upaya kekal itu boleh menimbulkan keraguan sehingga permohonan berkenaan tidak diluluskan.

Dalam masa sama, katanya, laporan perubatan yang sama telah digunakan bagi membuat tuntutan insurans dengan sebuah syarikat insurans, AIA, dan tuntutan tersebut didakwa telah diluluskan serta dibayar pada 12 Februari 2026 di bawah kategori tuntutan hilang upaya kekal.

Sehubungan itu, SBKN mendakwa wujud percanggahan yang menimbulkan persoalan terhadap proses penilaian yang digunakan, apabila tuntutan insurans diluluskan tetapi permohonan pengeluaran caruman KWSP pula ditolak.

Dato’ Dr Kalaivanar berkata, keadaan itu bukan sahaja membebankan pencarum terbabit, malah menambahkan lagi penderitaan harian yang sedang ditanggung akibat ketidakupayaan kekal yang dialami.

Justeru, beliau merayu agar Perdana Menteri, pihak pengurusan tertinggi KWSP serta pihak berkaitan dapat meneliti semula semua dokumen yang dikemukakan supaya pencarum tersebut diberi keadilan dan dapat mengakses simpanan persaraannya dengan kadar segera.

SBKN turut menegaskan bahawa hak pencarum yang disahkan hilang upaya kekal tidak seharusnya dipersulitkan, apatah lagi apabila simpanan itu amat diperlukan untuk meneruskan kehidupan harian.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan balas rasmi daripada pihak KWSP berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh SBKN itu.

#BeritaAAC #KWSP #HilangUpayaKekal #HakPencarum #Kalaivanar

KUALA LUMPUR, 8 April 2026 – Setiausaha Agung SEKPUR, Mej B. Razali bin Hj Zakaria, tampil membuat laporan polis susulan pendedahan satu portal berita yang menyiarkan dakwaan serius berkaitan projek Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bernilai lebih RM21 juta.

Menurut beliau, laporan itu dibaca sekitar jam 10.00 pagi ketika berada di Hotel Lazdana menerusi portal The Malaysian Corporates yang menyiarkan artikel bertajuk berkaitan dakwaan transaksi RM500,000 serta gesaan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat skandal projek vending machine.

Beliau berkata, kandungan laporan berkenaan membangkitkan kebimbangan serius mengenai kemungkinan berlakunya salah laku, penyalahgunaan kuasa serta ketirisan dana awam di peringkat tertinggi pentadbiran negara.

Antara dakwaan utama yang disebut dalam laporan itu termasuk dakwaan pembayaran rasuah berjumlah RM500,000 kepada pihak tertentu melalui seorang perantara yang dinamakan sebagai Mohd Harizan Haris daripada syarikat GFIS (M) Sdn Bhd.

Selain itu, laporan tersebut turut menyebut mengenai penganugerahan projek melibatkan sewaan 818 unit mesin layan diri dengan nilai keseluruhan RM21,163,296.00, yang didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti lobi serta unsur sogokan.

Razali berkata, beliau juga memandang serius dakwaan penglibatan pegawai tinggi di sebuah kementerian yang dikatakan membantu dalam urusan transaksi serta proses kelulusan kontrak berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM menjalankan siasatan terperinci terhadap beberapa perkara utama, termasuk kesahihan transaksi bank yang dinyatakan dalam laporan tersebut, latar belakang individu serta syarikat yang dinamakan, dan juga proses penganugerahan tender projek IPR sama ada mematuhi tatacara kewangan kerajaan yang sah.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat demi kepentingan awam, bagi memastikan integriti pentadbiran negara terus terpelihara serta sebarang unsur penyelewengan yang melibatkan wang rakyat dapat dibongkar sekiranya benar-benar berlaku.

Beliau turut memaklumkan bahawa salinan cetak artikel berita tersebut telah dilampirkan bersama laporan polis untuk rujukan pihak berkuasa.
Setakat ini, dakwaan-dakwaan yang dibangkitkan itu masih belum disahkan oleh pihak berkuasa, dan siasatan rasmi perlu dijalankan bagi menentukan kesahihannya.

#BeritaAAC #IsuRasuah #SPRMSiasat #KetirisanDanaAwam #IntegritiNegara

KUALA LUMPUR, 8 April 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak polis supaya mempercepatkan siasatan berhubung dakwaan kewujudan elemen meragukan dalam pengendalian kes ahlong, termasuk isu melibatkan status laporan “covering report” dan kes yang diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA).

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata pendedahan yang dibuat oleh aktivis MHO, Joshua, berhubung dakwaan 52 anggota penguat kuasa menerima habuan bulanan RM998 adalah berdasarkan maklumat yang ditemui dalam sebuah telefon bimbit yang didakwa diperoleh daripada salah seorang ketua kumpulan ahlong.

Menurut beliau, segala maklumat yang terkandung dalam telefon berkenaan masih perlu disahkan melalui siasatan rasmi pihak polis.

“Apa yang dinyatakan oleh Joshua adalah berdasarkan dapatan daripada telefon yang diperoleh daripada salah seorang team leader ahlong. Perkara itu perlu disahkan oleh pihak polis,” katanya ketika menjawab pertanyaan wartawan.

Beliau menegaskan, Joshua hanya mendedahkan kandungan yang terdapat dalam telefon tersebut dan tidak membuat kesimpulan muktamad sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.

Sehubungan itu, MHO menuntut agar kes tersebut tidak disenyapkan, sebaliknya satu kertas siasatan dibuka dan status siasatan dimaklumkan secara telus kepada pengadu.

“Joshua selaku pengadu yang mewakili MHO berhak untuk mengetahui status siasatan. Bila seseorang membuat aduan, sudah tentu dia mahu tahu apa hasil daripada aduan itu, bukan sekadar disimpan atau disenyapkan,” katanya.

Hishamuddin berkata, pihak polis perlu segera menyiasat keseluruhan dakwaan dan mendedahkan kebenaran sebenar hasil siasatan, termasuk mengambil tindakan pendakwaan sekiranya benar wujud pelanggaran undang-undang.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan tahap ketelusan pihak berkuasa dalam mengendalikan kes-kes berkaitan ahlong, terutama melibatkan jumlah kes yang berakhir dengan status “covering report” dan NFA.

Menurut beliau, walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini ada menyatakan bahawa kira-kira 1,000 individu telah ditangkap dan sebahagian kes telah diselesaikan, persoalan lebih besar yang perlu dijawab ialah berapa banyak kes ahlong yang sebenarnya berstatus “covering report” dan berapa pula yang diklasifikasikan sebagai NFA.

“Ini yang perlu ada pendedahan. Sebab dalam telefon yang ditemui itu, timbul persoalan mengenai isu kes NFA dan covering report. Ini yang kita mahu tahu,” katanya.

Beliau mendakwa, berdasarkan aduan yang diterima MHO, kebanyakan mangsa yang tampil mendapatkan bantuan telah terlebih dahulu membuat laporan polis, namun mendakwa kes mereka berakhir dengan status “covering report”.

“Majoriti pengadu yang datang berjumpa MHO ini, mereka datang selepas membuat laporan polis dan kes mereka dikatakan covering report. Jarang sekali orang datang kepada kami dan cakap mereka belum buat laporan polis,” ujarnya.

Tambah beliau, keadaan itu menimbulkan tanda tanya apabila wujud pula penemuan telefon yang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan isu “covering report” dan NFA, sekali gus menimbulkan syak wasangka bahawa mungkin ada sesuatu yang tidak kena dalam pengendalian sesetengah kes.

Justeru, MHO berharap pihak polis dapat membantu para pengadu dengan menjalankan siasatan menyeluruh, mendapatkan bukti-bukti yang relevan, dan mendakwa mana-mana individu yang terlibat jika terdapat asas kukuh untuk tindakan undang-undang.

#MHO #IsuAhlong #CoveringReport #SiasatanPolis #BeritaAAC