Month: April 2026

KUALA LUMPUR, 3 April 2026 – Naib Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Irwan Fahmi Idris, menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas dan serius dalam menangani isu pemandu mabuk yang menurutnya semakin membimbangkan serta mengancam nyawa orang awam.

Menurut beliau, kejadian melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol bukan lagi isu terpencil, malah telah berulang kali berlaku sehingga meragut nyawa mangsa yang tidak berdosa.

Katanya, keadaan itu juga menjadi antara sebab utama mengapa Islam mengharamkan arak, kerana perbuatan tersebut bukan sahaja memudaratkan diri sendiri, malah boleh membawa kemusnahan kepada orang lain.

“Bila perkara seperti ini berlaku, kita tengok seolah-olah tiada suara tegas daripada kerajaan. Lawatan kepada keluarga mangsa itu kita hargai, tetapi itu sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Irwan berkata, kerajaan khususnya pihak kementerian perlu mewujudkan satu mekanisme dan garis panduan yang lebih jelas bagi membendung insiden pemanduan mabuk daripada terus berulang.

Menurut beliau, banyak kes seumpama itu mungkin tidak mendapat perhatian umum kerana tidak tular di media sosial, sedangkan kesannya tetap besar kepada keluarga mangsa dan masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun Islam melarang penganutnya meminum arak, namun masyarakat bukan Islam tidak dilarang daripada berbuat demikian. Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa tindakan tegas mesti dikenakan sekiranya perbuatan itu membawa kepada kemalangan, kecederaan atau kematian.

Dalam masa sama, beliau menggesa kerajaan supaya tidak lagi berdiam diri dalam isu tersebut dan segera mengambil pendekatan lebih keras terhadap individu yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Irwan turut meluahkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang terkesan, termasuk isteri yang kehilangan suami serta anak-anak yang kehilangan bapa akibat insiden sebegitu.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan mengenakan pertuduhan berat dalam kes berkaitan, yang menurutnya mencerminkan kepekaan pihak berkuasa terhadap keseriusan isu tersebut.

Pada masa sama, beliau mengkritik beberapa pihak dalam kerajaan yang menurutnya perlu lebih fokus kepada amanah dan tanggungjawab terhadap rakyat, berbanding terlibat dalam percaturan politik.

Tegasnya, isu pemandu mabuk perlu ditangani segera dengan dasar yang lebih tegas, penguatkuasaan lebih agresif dan komitmen nyata daripada pihak kerajaan agar lebih banyak nyawa tidak terus terkorban.

#PemanduMabuk #TindakanTegas #NyawaRakyat #BeritaAAC #MalaysiaPrihatin

KUALA LUMPUR, 31 Mac 2026 – Pengerusi Malaysia Community Crime Care (MCCC), Tan Sri Musa Hassan, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah berikutan peningkatan kes kematian melibatkan golongan itu sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, trend semasa amat membimbangkan apabila semakin banyak insiden kemalangan maut berlaku akibat perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang memandu selepas minum minuman keras atau menghisap dadah.

Katanya, tindakan pencegahan perlu diperkukuh termasuk pemeriksaan berterusan oleh pihak berkuasa terhadap pemandu yang disyaki memandu dalam keadaan berbahaya, khususnya mereka yang pulang dari kelab malam atau disyaki berada di bawah pengaruh bahan terlarang.

“Pihak berkuasa perlu membuat tindakan yang tegas terhadap perkara ini dan sentiasa memeriksa mereka ini apabila mereka memandu. Supaya mereka ini tidak membahayakan nyawa orang lain,” katanya.

Mengulas dakwaan segelintir pihak bahawa ada pemandu mabuk yang seolah-olah “terlepas” daripada tindakan, Musa menjelaskan perkara sedemikian bergantung kepada hasil siasatan polis dan proses perundangan yang sedang berjalan.

Beliau bagaimanapun berpandangan bahawa pihak polis wajar memaklumkan kepada masyarakat status siasatan, pertuduhan yang dikenakan serta hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah supaya orang ramai mendapat gambaran jelas bahawa tindakan undang-undang tetap diambil.

Menurutnya, pendedahan maklumat sedemikian penting agar ia menjadi pengajaran kepada pemandu lain dan memberi kesedaran bahawa kesalahan memandu secara melulu di bawah pengaruh alkohol atau dadah bukan isu kecil.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas laporan mengenai pemandu mabuk yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Musa menjelaskan bahawa kes seperti itu memerlukan siasatan mendalam kerana terdapat perbezaan antara pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan.

Katanya, bagi pertuduhan membunuh, pihak pendakwaan perlu membuktikan unsur niat untuk membunuh, dan perkara itu bukan mudah kerana ia bergantung kepada hasil siasatan lanjut pihak polis.

“Kalau kes membunuh, kena buktikan niat bahawa dia ingin membunuh orang itu. Jadi ini perlu siasatan lebih lanjut oleh pihak polis untuk mendapatkan sama ada benar-benar wujud niat tersebut,” katanya.

Beliau menegaskan, apa yang paling utama ketika ini ialah memastikan setiap kes melibatkan pemanduan mabuk atau dadah disiasat secara teliti dan dikenakan tindakan sewajarnya supaya keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.

#PemanduMabuk #KeselamatanJalanRaya #MusaHassan #JenayahJalanan #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 2 April 2026 – Aktivis, Rahimuddin Mat Harun mendakwa institusi tahfiz di negara ini melalui perubahan besar ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya daripada sudut bantuan kewangan, pengurusan dan pembangunan sekolah-sekolah tahfiz.

Menurut beliau, sebelum pentadbiran Najib, kebanyakan sekolah tahfiz berada dalam keadaan daif dan berdepan kekangan kewangan yang serius sehingga ada pelajar terpaksa berusaha mendapatkan dana sendiri demi meneruskan pengajian.

“Kalau kita lihat sebelum pemerintahan Datuk Seri Najib, sekolah-sekolah tahfiz ini kebanyakannya amat daif. Anak-anak tahfiz ketika itu terpaksa membawa tong-tong Milo dan tin-tin Milo untuk mendapatkan dana bagi membiayai pelajaran mereka,” katanya.

Rahimuddin berkata, situasi itu mula berubah susulan isu yang menimpa Darul Quran Ittifaqiyah apabila sekolah berkenaan didakwa hampir dilelong pihak bank, sebelum perkara itu mendapat perhatian Datuk Seri Najib.

Menurutnya, pertemuan antara pihak pengurusan sekolah dan Najib menjadi titik tolak kepada usaha lebih besar untuk menyatukan sekolah-sekolah tahfiz di seluruh negara di bawah satu gerakan tersusun.

“Daripada situlah tertubuhnya PINTAR. Datuk Seri Najib minta supaya semua pelajar dan sekolah tahfiz di seluruh negara digabungkan,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa bahawa dalam salah satu pembentangan belanjawan, sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan bagi membantu sekolah-sekolah tahfiz dari segi pengurusan, pentadbiran serta pembangunan.

Katanya, bantuan itu menjadi antara faktor utama yang membezakan keadaan institusi tahfiz sebelum dan selepas era pentadbiran Najib.
Dalam masa sama, Rahimuddin turut menyentuh isu fitnah yang didakwa terus dilemparkan terhadap seorang ustaz serta isterinya berhubung dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM10 juta.

Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut telah melalui proses mahkamah dan semua pihak sepatutnya menghormati keputusan yang telah dibuat serta memberi ruang kepada proses rayuan berlangsung.

“Cukuplah. Ini satu kemalangan yang saya rasa semua orang tak mahu berlaku. Pesalah pun telah dihukum. Apa yang ada hari ini ialah keputusan mahkamah,” katanya.

Rahimuddin turut menggesa pihak tertentu supaya menghentikan sebarang tuduhan liar atau cubaan memburukkan keadaan, sambil memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah.

Beliau berkata, proses mahkamah perlu dihormati dan sebarang pertikaian wajar diselesaikan menerusi saluran undang-undang, bukannya melalui tohmahan berterusan di ruang awam.

#BeritaAAC #SekolahTahfiz!#NajibRazak.#IsuTahfiz #MahkamahDanFitnah

KUALA LUMPUR, 3 April 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar mempersoalkan hala tuju seterusnya pentadbiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, selepas pembentangan 13 inisiatif serta pencapaian beliau dalam tempoh 100 hari pertama menerajui Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, naratif reformasi DBKL, tatakelola, ketelusan, urus tadbir dan akauntabiliti yang dibawa Hannah mencerminkan imej kepimpinan yang mahu dilihat progresif, namun rakyat Wilayah Persekutuan kini mahu mengetahui pula apakah tindakan konkrit dalam tempoh 100 hari akan datang.

Gulam berkata, antara isu utama yang masih menuntut perhatian segera ialah masalah di Pasar Borong Selayang yang menurutnya terus menjadi “duri dalam daging” kepada penduduk serta kejiranan sekitar kawasan berkenaan.

Beliau mendakwa sehingga kini masih belum melihat kehadiran Hannah Yeoh turun padang bagi meninjau sendiri masalah di kawasan itu, termasuk isu lambakan warga asing yang menurutnya masih belum diselesaikan.

Selain itu, beliau turut membangkitkan beberapa isu lain yang disifatkan semakin membebankan warga kota, antaranya kejadian banjir kilat yang masih berulang, masalah trafik serta kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur yang semakin buruk, selain persoalan mengenai pembinaan perumahan mampu milik yang didakwanya seolah-olah tidak mempunyai perancangan jelas.

Menurut Gulam, rakyat bukan sekadar mahu mendengar pengumuman inisiatif, sebaliknya ingin melihat pelan mitigasi, tindakan lapangan dan penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka.

Beliau turut menyentuh isu rumah panjang Bukit Kiara di Parlimen Segambut yang menurutnya masih belum mempunyai jalan penyelesaian, walaupun sebelum ini terdapat cadangan untuk membina “townhouse” bagi menggantikan projek 350 unit RumahWIP demi menjaga kelestarian kawasan hijau di TTDI.

Katanya, cadangan yang pernah dibawa ketika kempen pilihan raya itu kini dilihat masih tinggal sebagai janji, sedangkan penghuni rumah panjang yang telah menetap sejak 1982 terus berdepan keadaan kediaman yang semakin uzur dan daif.

Pada masa sama, Gulam melahirkan kebimbangan sama ada agenda “what next 100 days” itu benar-benar mampu dilaksanakan, sambil merujuk kepada dakwaan serta ura-ura politik bahawa menteri-menteri DAP mungkin mengambil keputusan tertentu menjelang konvensyen parti pada Julai ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih di peringkat cakap-cakap politik dan memilih untuk mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”.

Kenyataan itu dilihat sebagai cabaran terbuka kepada Hannah Yeoh supaya bukan sahaja menampilkan naratif reformasi pentadbiran, tetapi membuktikan keberkesanan kepimpinan melalui tindakan segera terhadap isu-isu rakyat di Wilayah Persekutuan.

#HannahYeoh #WilayahPersekutuan #PasarBorongSelayang #BukitKiara #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 3 April 2026 – Cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad terus mengundang perhatian apabila Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman, menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi urus niaga itu ke atas kepentingan rakyat dan aset strategik negara.

Menurut beliau, isu berkenaan tidak boleh dilihat sebagai transaksi korporat biasa semata-mata, sebaliknya perlu dinilai dari sudut amanah institusi besar negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji.

Katanya, institusi-institusi tersebut bukan pelabur biasa kerana mereka mengurus simpanan persaraan rakyat, pencen penjawat awam serta pelaburan Bumiputera, dengan hampir 49 peratus saham IJM berada di tangan mereka secara keseluruhan.

Abdul Razak berkata, penolakan tawaran oleh EPF dan PNB tidak seharusnya dianggap sebagai sentimen atau “noise”, sebaliknya mencerminkan penilaian profesional terhadap nilai sebenar IJM yang didakwa jauh lebih tinggi daripada tawaran RM3.15 sesaham.

“Penasihat bebas seperti M&A Securities meletakkan nilai IJM antara RM5.84 hingga RM6.48 sesaham, manakala Rothschild & Co menilai antara RM4.80 hingga RM5.63 sesaham. Jika dibandingkan dengan tawaran RM3.15, jelas ia terlalu rendah dan dilihat sebagai undervalue terhadap aset negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa GLICs mempunyai tanggungjawab besar untuk mempertahankan nilai aset yang diamanahkan kepada mereka, dan bukan sekadar menerima sesuatu tawaran bagi mempercepatkan urusan korporat.

Menurutnya, IJM bukanlah syarikat biasa kerana memiliki beberapa aset strategik negara termasuk Pelabuhan Kuantan serta lebuh raya utama seperti West Coast Expressway, NPE, LEKAS dan BESRAYA yang menjadi tulang belakang ekonomi serta logistik negara.

“Aset seperti ini bukan mudah diganti. Sekali terlepas, generasi akan datang mungkin tidak berpeluang memilikinya semula,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan bahawa sekiranya pengambilalihan itu diteruskan, pegangan EPF dalam IJM akan menyusut dengan ketara, sekali gus berpotensi menjejaskan dividen tahunan yang memberi pulangan konsisten kepada pencarum KWSP.

Tambahnya, apabila tiga institusi besar iaitu EPF, PNB dan KWAP yang memegang hampir 44 peratus saham menyatakan pendirian tidak bersetuju, maka keputusan itu perlu dihormati sebagai hasil analisis mendalam dan tanggungjawab menjaga wang rakyat.

Abdul Razak berkata, mesej daripada pasaran, pakar bebas dan institusi pemegang amanah rakyat sudah cukup jelas bahawa pengambilalihan tersebut menimbulkan persoalan besar dari segi nilai, masa depan aset strategik serta kepentingan jangka panjang negara.

Beliau pada masa sama berkata, walaupun menghormati sumbangan besar Tan Sri Jeffrey Cheah dalam dunia korporat Malaysia, prinsip dan kepentingan nasional perlu didahulukan dalam isu melibatkan aset penting negara.

“Tidak semua aset wajar berpindah tangan. Ini bukan soal sentimen, tetapi soal nilai, amanah dan kepentingan jangka panjang rakyat serta negara,” tegasnya.

Abdul Razak turut menyuarakan harapan agar IJM kekal menjadi tonggak pembinaan dan infrastruktur negara di bawah pemilikan institusi yang beramanah kepada rakyat.

#IJM #Sunway #AsetNegara #KWSP #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Norman Sapar berpandangan bahawa perbincangan mengenai tarikh sesuai untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya menjadi fokus utama ketika ini, sebaliknya perhatian perlu diberikan kepada persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, soal tarikh PRN Johor merupakan bidang kuasa mutlak Sultan Johor, justeru semua pihak tidak perlu terlalu ghairah membuat spekulasi sama ada ia akan diadakan sebelum, selepas atau serentak dengan pilihan raya lain.

Katanya, apa yang lebih penting ketika ini ialah tempoh pentadbiran kerajaan negeri sedia ada yang masih belum sampai setahun, selain usaha berterusan kerajaan Johor dalam memperkukuh ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

Dr Norman berkata, kerajaan Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilihat agresif, tegas dan prihatin dalam memenuhi keperluan rakyat.

Beliau mendakwa kejayaan Johor merekodkan pelaburan berjumlah RM101 bilion pada tahun 2025 membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan hala tuju pentadbiran negeri ketika ini.

“Bila pelaburan masuk dengan banyak, sudah tentu peluang pekerjaan juga akan bertambah. Ini memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat termasuk golongan muda profesional,” katanya.

Menurut beliau, kemakmuran ekonomi yang dicapai itu turut disalurkan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan termasuk bantuan Kasih Johor, yang menurutnya memberi manfaat kepada golongan memerlukan di negeri berkenaan.

Tambah Dr Norman, kemasukan pelaburan berimpak tinggi dan berteknologi juga membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada anak muda, termasuk mereka yang berkelulusan tinggi dan profesional.

Mengulas peluang Barisan Nasional (BN) untuk kembali mengekalkan kuasa di Johor, beliau berkata rakyat akan menilai berdasarkan prestasi semasa kerajaan negeri dan kesan gerak kerja yang dilaksanakan.

“Rakyat melihat apa yang dibuat kerajaan Johor sekarang ini sebagai sesuatu yang positif dan memberi kesan yang signifikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui keputusan pilihan raya tetap bergantung kepada kebijaksanaan rakyat, selain faktor kerjasama dan kesepakatan politik antara UMNO, BN dan parti-parti lain yang boleh mempengaruhi keputusan akhir.

Dr Norman turut melahirkan keyakinan bahawa rakyat Johor akan terus memilih BN untuk mentadbir negeri itu, namun menegaskan bahawa segala kemungkinan tetap boleh berlaku dalam politik.

Ketika ditanya sama ada Johor akan mendapat Menteri Besar baharu, beliau enggan mengulas lanjut dan menyifatkan perkara itu belum sesuai dibincangkan sebelum pilihan raya berlangsung.

Jelasnya, kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika ini memberi impak positif yang ketara, khususnya kepada golongan muda dan belia, namun soal siapa yang akan menerajui negeri hanya boleh ditentukan selepas pilihan raya.

Beliau menegaskan, fokus utama ketika ini bukanlah pada spekulasi tarikh pilihan raya atau jawatan Menteri Besar, sebaliknya memastikan Johor benar-benar bersedia berdepan pilihan raya pada bila-bila masa.

#ohor #PRNJohor #OnnHafizGhazi!#BarisanNasional #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 1 April 2026 – Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia hari ini melakar satu lagi detik bersejarah apabila menganjurkan Majlis Pelancaran Buku “Jasamu Dikenang” sempena sambutan 70 tahun penubuhannya sejak tahun 1955.

Majlis penuh bermakna itu dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Sri Musa bin Tan Sri Hassan sebagai simbol penghormatan kepada jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang telah berkhidmat mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara.

Pemangku Presiden Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia, Ahmad Zaki Ibrahim, berkata pelancaran buku berkenaan amat bersejarah buat persatuan dan seluruh anggotanya yang kini dianggarkan berjumlah sekitar 60,000 orang di seluruh negara.

Menurut beliau, penerbitan buku “Jasamu Dikenang” adalah satu usaha penting untuk merakam sejarah ringkas penubuhan persatuan selain mendokumentasikan kisah perjuangan anggota keselamatan terdahulu yang pernah berdepan pelbagai cabaran ketika zaman darurat dan ancaman komunis.

“Buku ini menghimpunkan sebahagian kisah perjuangan anggota keselamatan yang pernah berdepan detik sukar termasuk serangan hendap, jerangkap samar dan operasi di kawasan hutan seperti di Hulu Perak serta Gerik. Ini penting supaya generasi hari ini dapat memahami pengorbanan mereka,” katanya.

Beliau berkata, persatuan itu menghimpunkan pelbagai bekas pasukan keselamatan yang pernah memainkan peranan besar dalam sejarah negara seperti Special Constable (SC), Home Guard, Pasukan Polis, Polis Khas, British Armour, Senoi Praaq, Pasukan Kawalan Kampung serta beberapa lagi unit keselamatan lain di bawah naungan persatuan.

Tambah beliau, asas penubuhan persatuan sejak 1955 adalah bagi menjaga kebajikan bekas anggota keselamatan termasuk balu dan anak-anak mereka, di samping mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli.

Dalam majlis sama, kira-kira 40 hingga 50 peserta yang hadir turut menerima Watikah Penghargaan “Setia Berjasa” sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa mereka kepada agama, bangsa dan negara.

Ahmad Zaki turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, walaupun tidak dapat hadir pada saat akhir atas komitmen yang tidak dapat dielakkan. Penghargaan sama turut dizahirkan kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Malaysian Community Crime Care (MCCC) yang bersama-sama menjayakan program tersebut.

Menurut beliau, buat masa ini buku berkenaan dicetak sekitar 120 naskhah sebagai edaran cenderamata kepada bekas anggota keselamatan dan para penaja program, namun tidak menolak kemungkinan ia akan dijual pada masa akan datang berikutan kos penerbitan yang tinggi.

Selain itu, beliau memaklumkan persatuan juga merancang untuk menerbitkan lebih banyak kisah perjuangan individu daripada 14 unit pasukan di bawah naungan persatuan dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai kesinambungan usaha mendokumentasikan sejarah perjuangan wira negara.

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi usaha pendigitalan persatuan meliputi aspek penceritaan sejarah, komuniti dan kebajikan supaya pengurusan persatuan menjadi lebih telus serta tersusun.

Sementara itu, Tan Sri Musa Hassan berkata program berkenaan amat penting kerana buku tersebut bukan sahaja menjadi lambang penghargaan kepada bekas anggota tentera dan polis, malah menjadi bahan sejarah yang boleh membuka mata generasi muda mengenai bagaimana pasukan keselamatan terdahulu berkorban demi menjaga keamanan negara.

“Buku ini penting untuk rakyat, khususnya golongan muda, mengetahui cara dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan negara sehingga Malaysia dapat menikmati keamanan seperti hari ini,” katanya.

Majlis pelancaran itu bukan sahaja menjadi platform memperingati sejarah perjuangan wira keselamatan, malah turut menyuntik semangat kebersamaan dalam kalangan ahli persatuan serta generasi baharu agar terus menghargai jasa mereka yang telah berbakti tanpa mengharapkan balasan.

#JasamuDikenang #WiraNegara!#BekasPasukanKeselamatan!#SejarahMalaysia #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 2 April 2026 – Pengetua Darul Quran Ittifaqiyah, Ustaz Mohd Zahid Mahmood menegaskan dakwaan kononnya beliau dan isterinya “menyalah guna” atau “menyapu” dana sekolah sehingga mencecah RM10 juta adalah satu fitnah besar yang bukan sahaja mencemarkan nama baik beliau sekeluarga, malah turut memperlekeh integriti institusi mahkamah.

Menurut beliau, akaun Darul Quran Ittifaqiyah telah dibekukan oleh mahkamah sejak Jun 2018 dan sehingga kini, pada 2 April 2026, dana berkenaan masih kekal di bawah kawalan mahkamah.

Beliau berkata, sebarang pengeluaran wang daripada akaun tersebut tidak boleh dibuat sesuka hati, sebaliknya perlu melalui kebenaran serta perintah mahkamah.

“Yang kata kami suami isteri sakau itu adalah satu fitnah yang besar. Duit itu masih ada di mahkamah dengan jumlah yang cukup. Kalau ada pengeluaran pun, semuanya mesti melalui kebenaran mahkamah,” katanya.

Ustaz Zahid turut menjelaskan bahawa pada 10 Februari lalu, mahkamah telah membuat keputusan dalam kes kebakaran berkenaan, namun dua hari selepas itu pihak ibu bapa waris bersama peguam mereka telah membawa semula perkara tersebut ke mahkamah, menyebabkan status pembekuan dana itu masih berterusan sementara menunggu proses seterusnya.

Sementara itu, peguam yang mewakili pihak sekolah, Najib Zakaria berkata, tuduhan bahawa sejumlah RM10 juta telah “disakau” adalah tidak masuk akal kerana wang yang disimpan dalam akaun berkenaan sejak bertahun-tahun lalu sepatutnya bertambah, bukannya susut tanpa rekod.

Menurut beliau, jika jumlah asal sekitar RM6 juta hingga RM7 juta pada peringkat awal, maka selepas hampir sedekad, jumlah itu secara logiknya meningkat, bukan hilang seperti yang didakwa.

“Duit itu memang ada. Malah duit itu bertambah lagi kerana proses mahkamah berjalan bertahun-tahun. Tuduhan mengatakan Ustaz ini ambil sampai RM10 juta memang tak masuk akal,” katanya.

Beliau menambah, segala pengeluaran yang pernah dibuat adalah berdasarkan kebenaran mahkamah dan juga perintah mahkamah, termasuk pengeluaran oleh pihak plaintif.

Menurut penjelasan pihak sekolah, antara pengeluaran yang diluluskan ialah kira-kira RM360,000 untuk kegunaan pengurusan Darul Quran Ittifaqiyah, manakala sekitar RM641,000 pula diluluskan kepada pihak plaintif sebagai bayaran pendahuluan bagi kegunaan mangsa dan waris.

Ustaz Zahid berkata, jumlah dana yang ada ketika tempoh kebakaran dahulu adalah sekitar RM7 juta lebih, manakala kini dianggarkan meningkat kepada sekitar RM8.8 juta, sekali gus menolak dakwaan kononnya terdapat kehilangan dana sehingga RM10 juta.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan dana yang dikeluarkan untuk pihak sekolah adalah wang yang memang telah sedia ada sebelum insiden kebakaran berlaku, dan digunakan semata-mata untuk keperluan operasi sekolah yang menampung hampir 40 pelajar serta kira-kira 20 kakitangan.

Beliau turut mengimbau sejarah penubuhan Darul Quran Ittifaqiyah yang bermula sekitar tahun 2000 dengan misi membantu golongan asnaf, fakir miskin dan keluarga yang mahu anak mereka menghafaz al-Quran secara percuma.

Menurutnya, sekolah tersebut beroperasi tanpa mengenakan bayaran kepada pelajar dan banyak bergantung kepada bantuan NGO serta sumbangan pihak luar sebelum menerima bantuan bulanan daripada MAIWP sekitar tahun 2015.

Ustaz Zahid juga menjelaskan bahawa bangunan yang digunakan oleh Darul Quran Ittifaqiyah ketika itu beroperasi dengan kebenaran pihak berkuasa agama, bukannya diduduki secara haram seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Bagaimanapun, beliau mendakwa pelbagai tohmahan yang dilemparkan selepas insiden kebakaran telah memberi kesan amat besar kepada imej sekolah, termasuk menyebabkan nama Darul Quran Ittifaqiyah terpaksa dibuang daripada van sekolah kerana bimbang dengan persepsi negatif masyarakat.

Katanya, sumbangan kepada sekolah semakin merosot, malah pelajar yang mahu mendaftar juga semakin berkurangan akibat stigma dan fitnah berterusan yang menghantui institusi itu.

Najib Zakaria turut mendakwa keadaan semasa sekolah amat daif, termasuk bekalan elektrik yang pernah dipotong dan kekurangan makanan, sekali gus menggambarkan bahawa sekolah tersebut tidak pernah hidup dalam kemewahan seperti yang digambarkan oleh pihak tertentu.

Beliau menegaskan, pihak MAIWP juga telah menjalankan proses audit terhadap sekolah dan setakat ini tiada sebarang penemuan rasmi yang menunjukkan berlaku salah laku atau penyelewengan dana.

“Kalau ada salah laku, sudah tentu pihak berkuasa atau pihak majlis akan ambil tindakan. Tetapi setakat ini tidak ada apa-apa yang mengatakan berlaku salah guna,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang menuduh supaya segera menarik balik kenyataan, memohon maaf dan membetulkan semula persepsi awam, sambil memaklumkan bahawa tindakan undang-undang juga sedang dipertimbangkan.

#DarulQuranIttifaqiyah #FitnahAtauFakta #DanaTahfiz #IsuTahfiz #BeritaAAC