Month: April 2026

KUALA LUMPUR, 20 April 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap satu skim pelaburan melibatkan sebuah koperasi di Pahang susulan dakwaan kerugian besar yang dialami mangsa.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada seramai 154 mangsa yang mendakwa kerugian dianggarkan mencecah RM9 juta selepas menyertai skim pelaburan yang ditawarkan melalui wakil dan ejen koperasi berkenaan.

Menurut beliau, mangsa-mangsa mendakwa mereka telah diyakinkan untuk melabur melalui janji pulangan dividen bulanan yang tinggi, selain representasi bahawa pelaburan itu disandarkan kepada aktiviti perniagaan sebenar yang sah dan telus.

Katanya, bagi menyertai skim berkenaan, pelabur perlu menjadi ahli koperasi serta membuat bayaran modal pelaburan secara terus kepada pihak koperasi dengan kepercayaan dana tersebut akan diuruskan secara bertanggungjawab.

Beliau berkata, selain skim utama, mangsa juga didakwa ditawarkan satu program pelaburan tambahan melibatkan emas menerusi entiti berkaitan, kononnya membabitkan tempahan emas 916 dengan tempoh kitaran tertentu serta jangkaan keuntungan antara satu hingga tiga peratus.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa pulangan dividen yang dijanjikan tidak dibayar seperti sepatutnya. Bayaran hanya dibuat pada peringkat awal sebelum dihentikan sepenuhnya tanpa penjelasan memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MHO, pelbagai usaha telah dilakukan oleh mangsa bagi mendapatkan penjelasan dan pemulangan modal, termasuk berhubung dengan wakil koperasi serta mengemukakan notis berkaitan penebusan semula pelaburan, namun semuanya didakwa gagal walaupun tempoh dijanjikan telah tamat.

Tambah beliau, mangsa turut membangkitkan kebimbangan bahawa aktiviti pelaburan yang didakwa dijalankan mungkin tidak wujud atau tidak dilaksanakan secara sebenar, selain wujud kemungkinan penggunaan dokumen, penyata kewangan dan rekod transaksi yang tidak tepat, tidak lengkap atau mengelirukan.

Antara perkara yang menimbulkan keraguan serius, katanya, termasuk kemungkinan manipulasi rekod kewangan apabila transaksi yang direkodkan sebagai urus niaga emas didakwa tidak berlaku secara sebenar.

Sehubungan itu, MHO memaklumkan mangsa-mangsa telah mengambil keputusan untuk merujuk perkara tersebut kepada SPRM selepas mendakwa aduan terdahulu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) masih belum menunjukkan perkembangan yang jelas.

MHO menggesa agar siasatan dibuat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang melibatkan kesalahan menggunakan dokumen atau representasi mengandungi maklumat palsu, silap atau tidak lengkap dengan niat untuk memperdaya prinsipal.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan fakta yang dibangkitkan, terdapat asas untuk menilai bahawa pihak yang menguruskan pelaburan berperanan sebagai ejen kepada pelabur, manakala pelabur pula merupakan prinsipal yang mempunyai kepentingan langsung terhadap dana dilaburkan.

MHO turut menegaskan pihaknya bersama mangsa-mangsa akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM, termasuk menyerahkan dokumen, rekod transaksi dan maklumat berkaitan bagi membantu siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.

Dalam masa sama, MHO menyeru mana-mana individu lain yang turut terkesan atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil ke hadapan bagi membantu pihak berkuasa menyiasat isu tersebut demi kepentingan awam.

#MHO #SPRM #SkimPelaburan #MangsaPelaburan #AACNews

KUALA LUMPUR, 20 April 2026 – Ulang tahun ke-80 UMNO tidak seharusnya sekadar dijadikan medan mengimbau sejarah dan nostalgia semata-mata, sebaliknya perlu menjadi titik penting untuk parti itu melakukan transformasi besar demi memastikan ia kembali kukuh sebagai teras kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, berkata sambutan bersejarah itu wajar dimanfaatkan untuk menilai secara serius arah tuju parti, termasuk keperluan melakukan revolusi mental dan budaya politik dalam kalangan kepimpinan serta ahli UMNO.

Menurut beliau, selepas lapan dekad penubuhannya, UMNO tidak lagi boleh terus bergantung kepada kaedah lama, khususnya dalam soal pemilihan calon, strategi politik dan pendekatan untuk memenangi hati pengundi. Katanya, parti itu perlu lebih terbuka, bijak dan fleksibel dalam membuat keputusan, dengan keutamaan diberikan kepada kemenangan serta kekuatan angka.

Dr Azam berkata, UMNO tidak boleh terus terikat kepada hierarki tradisional parti semata-mata dalam memilih calon, kerana apa yang lebih penting ialah kebolehupayaan calon untuk menang dan diterima pengundi. Tegasnya, jika pendekatan lama masih digunakan tanpa penyesuaian, parti itu akan terus berdepan risiko kegagalan dalam pilihan raya.

Beliau turut menekankan bahawa media sosial kini perlu dijadikan antara faktor penting dalam menilai kelayakan seseorang calon. Menurutnya, dalam landskap politik semasa, calon yang mahu diketengahkan mesti dikenali ramai, mempunyai pengaruh digital, serta mampu menarik sokongan bukan sahaja daripada ahli parti, malah pengundi muda dan masyarakat umum.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa budaya tikam belakang dalam parti perlu dihentikan segera jika UMNO benar-benar mahu bangkit semula. Katanya, sikap sabotaj dalaman kerana kecewa tidak dipilih sebagai calon merupakan antara “penyakit lama” yang masih membelenggu parti dan menjadi punca kelemahan dalam beberapa kawasan sebelum ini.

Dr Azam menegaskan bahawa beliau bukan bercakap atas kepentingan peribadi, sebaliknya mahu melihat UMNO kembali menjadi parti teras kerajaan pada masa depan. Beliau berharap ulang tahun ke-80 ini menjadi permulaan kepada pembaharuan sebenar dalam UMNO agar parti itu lebih bersedia, lebih strategik dan lebih relevan dalam menghadapi cabaran politik semasa.

#UMNO80Tahun #DrAzamRauzan #TransformasiUMNO #PRU16 #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abd Razak, mengakui bahawa tiada unsur nepotisme membabitkan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berhubung pelantikan anak perempuannya ke dua entiti berkaitan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Dalam satu kenyataan bertarikh 9 April 2026, Najib merujuk kepada hantaran Facebook beliau pada 24 Ogos 2020 serta saman sivil yang difailkan oleh Dzulkefly Ahmad susulan kenyataan tersebut.

Menurut Najib, beliau mengambil maklum bahawa aduan yang dibawa ke mahkamah adalah berhubung dakwaan bahawa hantaran berkenaan memberi gambaran seolah-olah Dzulkefly mengamalkan nepotisme dalam pelantikan anak perempuannya, Puan Nurul Iman, ke Lembaga Pengarah AIM Solutions Group Bhd pada 30 April 2018 serta ke Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia pada 1 Oktober 2018.

Bagaimanapun, Najib menerima bahawa Dzulkefly tidak terlibat dalam pelantikan-pelantikan tersebut dan menegaskan bahawa tiada unsur nepotisme di pihak Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Beliau turut menjelaskan bahawa hantaran yang dibuat sebelum ini bukan bertujuan untuk memfitnah, malah tidak dimaksudkan untuk membayangkan bahawa Dzulkefly bersifat korup atau terlibat dalam nepotisme serta kronisme.

Sebaliknya, Najib berkata hantaran itu dibuat dalam konteks ulasan politik umum bagi menonjolkan persepsi mengenai standard berganda dalam kalangan parti-parti politik.

Menurut beliau lagi, kenyataan tersebut diterbitkan pada waktu berkenaan dalam kapasiti dan tanggungjawabnya sebagai seorang Ahli Parlimen, serta bertujuan menyentuh isu tadbir urus, pentadbiran dan pelantikan ke entiti berkaitan kerajaan yang ketika itu menjadi perdebatan awam dan politik.

Walau bagaimanapun, Najib mengakui bahawa hantaran tersebut telah menimbulkan kesusahan kepada Dzulkefly Ahmad dan keluarganya, sesuatu yang menurut beliau sama sekali bukan niat asalnya.

Dalam nada berdamai, beliau turut menyatakan hasrat untuk bergerak ke hadapan secara konstruktif, selain mengucapkan yang terbaik kepada Dzulkefly dalam meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara.

Najib juga menghulurkan ucapan ikhlas kepada Dzulkefly Ahmad serta keluarganya susulan perkembangan tersebut.

#BeritaAAC #NajibRazak #DzulkeflyAhmad #IsuNepotisme #PolitikMalaysia

KUALA LUMPUR, 18 April 2026 – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sekali lagi menzahirkan hasrat agar diberi pengiktirafan lebih jelas dalam kerajaan dan diserap secara rasmi sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), selepas mendakwa telah menunggu hampir lima dekad untuk mendapat tempat sewajarnya dalam gabungan itu.

Presiden KIMMA, Datuk Seri Hj Syed Ibrahim Kader, berkata perjuangan parti itu tidak pernah terhenti walaupun berdepan pelbagai cabaran politik, malah kesetiaan KIMMA terhadap BN dan UMNO kekal utuh sejak penubuhannya pada 26 Oktober 1976.

Menurut beliau, Perhimpunan Agung KIMMA Kali Ke-46 bagi tahun 2025 yang berlangsung sempena ulang tahun ke-50 penubuhan parti itu menjadi medan penting untuk membawa suara akar umbi masyarakat India Muslim ke peringkat lebih tinggi.

“Selama 50 tahun kami menunggu, 50 tahun kami setia, 50 tahun kami berdiri di belakang perjuangan ini tanpa sekelumit keraguan. Namun sehingga hari ini, KIMMA masih belum diberi ruang untuk menjadi sebahagian daripada komponen rasmi BN walaupun tujuh kali permohonan telah dibuat,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung KIMMA.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa KIMMA mahu terus kekal bersama UMNO dan BN, namun berharap satu keputusan yang lebih jelas dan tuntas dapat dibuat berhubung kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Selain isu penyertaan ke dalam BN, Syed Ibrahim turut membangkitkan tuntutan masyarakat India Muslim yang menurutnya masih berdepan kekangan dari segi status, bantuan pendidikan, peluang ekonomi dan pengiktirafan dalam dasar kerajaan.

Beliau berkata, walaupun masyarakat India Muslim merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang telah lama menyumbang kepada pembangunan negara, termasuk dalam sektor perniagaan, restoran, peruncitan, emas, pengurup wang dan pelbagai lagi, namun mereka didakwa masih tidak menerima peruntukan khusus dalam bajet tahunan negara.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat India Muslim, khususnya golongan B40 dan M40, berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan sewajarnya, termasuk akses pendidikan dan sokongan ekonomi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu mekanisme rasmi melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menilai dan mengesahkan status masyarakat India Muslim berdasarkan dokumen yang sah, khususnya bagi mereka yang layak dipertimbangkan di bawah kerangka tertentu menurut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa sama, beliau turut meminta kerajaan mengiktiraf KIMMA sebagai suara rasmi masyarakat India Muslim dalam kerajaan agar setiap isu berkaitan komuniti itu dapat dibawa terus ke peringkat pembuat dasar.

Beliau juga membangkitkan isu kekurangan tenaga kerja yang menurutnya semakin menekan sektor perkhidmatan, terutama perniagaan restoran India Muslim, pasar mini, kedai emas, pengurup wang dan kedai runcit.

Menurutnya, terdapat kira-kira 15,000 restoran India Muslim di seluruh negara dengan anggaran hasil tahunan mencecah antara RM12 bilion hingga RM14 bilion, namun ramai pengusaha berdepan kesukaran mendapatkan pekerja asing secara sah dan mencukupi.

Katanya, proses permohonan pekerja yang rumit dan kuota yang terhad menyebabkan banyak premis terpaksa mengurangkan operasi, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan, hasil perniagaan dan kutipan kepada negara.

Dalam sektor peruncitan pula, beliau mendakwa kedai-kedai kecil milik masyarakat India Muslim semakin terhimpit akibat persaingan dengan rangkaian peruncitan besar, selain tidak diberi peluang menyertai program bantuan seperti MyKasih yang menurutnya lebih banyak tertumpu kepada premis besar.

Atas dasar itu, KIMMA mengemukakan lapan usul utama untuk dipertimbangkan kerajaan, antaranya menuntut pengiktirafan rasmi KIMMA dalam kerajaan, penyertaan segera sebagai parti komponen BN, peluang bertanding lebih banyak kerusi pada PRU-16, penyelesaian isu status Bumiputera, kelulusan 10,000 pekerja asing untuk sektor perkhidmatan, kuota 1,000 belia India Muslim dalam program TVET, serta pewujudan dana khas pembangunan masyarakat India Muslim.

Syed Ibrahim berkata, semua tuntutan itu bukanlah untuk meminta keistimewaan berlebihan, sebaliknya bagi memastikan masyarakat India Muslim mendapat peluang yang adil dan saksama sebagai sebahagian daripada warga Malaysia.

Beliau turut menzahirkan harapan agar Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dapat memberi jawapan yang jelas terhadap aspirasi KIMMA dalam ucapannya, khususnya berhubung kedudukan parti itu dalam BN.

“Kami tidak menuntut lebih, hanya keadilan dan pengiktirafan yang sewajarnya atas kesetiaan yang telah kami buktikan sekian lama,” katanya.

#KIMMA #BeritaAAC #IndiaMuslim #BarisanNasional #PolitikMalaysia

KUALA LUMPUR, 18 April 2026 – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa permohonan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) untuk diterima sebagai parti teras dalam BN masih belum dapat dimuktamadkan selagi pindaan terhadap Perlembagaan BN tidak dipersetujui sepenuhnya oleh kepimpinan parti-parti teras gabungan itu.

Menurut beliau, UMNO mengucapkan tahniah sempena ulang tahun ke-50 penubuhan KIMMA dan Perhimpunan Agung KIMMA kali ke-46, sambil mengiktiraf peranan serta kesetiaan parti itu dalam mendukung perjuangan BN sejak sekian lama.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan Perlembagaan BN sedia ada, sebarang kemasukan parti baharu sebagai parti teras perlu melalui proses pindaan yang memerlukan persetujuan penuh daripada kepimpinan parti-parti teras BN.

“Setakat ini belum ada persetujuan untuk pindaan itu, namun jika benar ada parti yang tidak menghalang kemasukan KIMMA ke dalam Barisan Nasional, maka saya berharap parti berkenaan dapat membuat kenyataan rasmi dan pendirian rasmi bagi membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung KIMMA.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kepimpinan parti komponen BN yang terus mendukung usaha dan perjuangan gabungan itu, khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan bahawa gerak kerja pilihan raya perlu dimulakan dari sekarang, tanpa menunggu tarikh sebenar pembubaran atau hari pengundian diumumkan.

Katanya, sokongan daripada ahli parti-parti komponen sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan calon-calon BN, justeru jentera parti perlu digerakkan untuk menarik sokongan pengundi luar yang bukan terdiri daripada ahli parti.

“Gerak kerja mesti berjalan daripada sekarang. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada ahli parti komponen semata-mata, sebaliknya perlu menggamit dukungan pengundi atas pagar dan kelompok bukan ahli untuk bersama-sama mendukung calon-calon BN,” ujarnya.

Menyentuh lapan resolusi yang dibawa KIMMA dalam perhimpunan tersebut, beliau berkata beberapa perkara boleh diberi pertimbangan segera, manakala isu-isu yang melibatkan kementerian, jabatan dan agensi lain akan dibawa untuk perhatian Kabinet serta menteri-menteri berkaitan dalam Kerajaan Madani.

Beliau berkata, pihaknya bersedia memohon supaya mana-mana peraturan yang menjadi penghalang kepada tuntutan KIMMA dapat dipinda atau disesuaikan, khususnya yang melibatkan kepentingan masyarakat India Muslim di negara ini.

Antara tuntutan utama yang dibangkitkan KIMMA menerusi ucapan dasar Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, termasuklah pengiktirafan KIMMA sebagai suara rasmi masyarakat India Muslim dalam kerajaan, kemasukan sebagai parti komponen BN, penyelesaian isu status Bumiputera bagi masyarakat India Muslim yang layak, penambahan kuota pekerja asing untuk sektor perkhidmatan, peluang TVET kepada belia India Muslim, serta pewujudan dana khas untuk pembangunan komuniti itu.

KIMMA juga memohon agar diberikan peluang bertanding lebih banyak kerusi pada PRU akan datang selepas mendakwa telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam PRU ke-15, termasuk di Parlimen Puchong.

Mengulas isu pembahagian kerusi, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa KIMMA dan rakan-rakan dalam kelompok “Friends of BN” sebelum ini pernah diberi peluang bertanding, dan formula sama dijangka akan digunakan semula pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, perkara itu akan diperhalusi oleh Setiausaha Agung BN bagi menyesuaikan atau menambah jumlah kerusi yang wajar diperuntukkan kepada rakan-rakan parti dalam gabungan berkenaan.

Dalam sesi soal jawab bersama media, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa MIC masih kekal sebagai parti teras BN setakat ini.

Katanya, walaupun sebelum ini timbul dakwaan berhubung surat kepada Perikatan Nasional (PN), MIC tidak pernah menyatakan secara rasmi hasrat untuk keluar daripada BN.

“Setakat ini mereka adalah anggota atau parti teras dalam Barisan Nasional. Mereka tidak menyatakan untuk keluar secara rasmi daripada BN,” katanya.

Perhimpunan Agung KIMMA kali ke-46 itu turut menyaksikan desakan berterusan parti berkenaan agar kesetiaan hampir lima dekad mereka kepada BN diterjemahkan dalam bentuk pengiktirafan rasmi, seiring usia emas penubuhan KIMMA yang kini mencecah 50 tahun.

#KIMMA #BarisanNasional #ZahidHamidi #PolitikMalaysia #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 18 April 2026 – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman berpandangan kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat menghadapi cabaran semasa, bukannya dilihat mengambil pendekatan berbentuk tekanan terhadap suara-suara yang mengkritik kepimpinan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular melibatkan kemunculan semula video-video lama di media sosial susulan kenaikan tertentu yang sedang hangat diperkatakan, termasuk insiden membabitkan seorang individu yang direman selepas didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin kerajaan.

Menurut Razak, budaya kritikan politik bukanlah sesuatu yang baharu dalam negara ini, malah menurutnya pembangkang pada zaman pentadbiran lalu juga lebih agresif dan berani dalam mengemukakan pandangan mereka secara terbuka.

Namun katanya, beliau tidak melihat situasi sebelum ini sampai ke tahap yang menimbulkan persoalan seperti apa yang berlaku sekarang.

“Sejak daripada zaman Datuk Seri Najib, malah sebelum itu lagi, pembangkang lebih galak sebenarnya, lebih ke depan untuk bercakap. Tapi tidak pernah pula saya mendengar ada kes-kes umpamanya sebagaimana yang berlaku sekarang,” katanya.

Razak menegaskan, dalam keadaan dunia sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi dan pelbagai cabaran global, kerajaan wajar lebih memfokuskan kepada pemulihan keupayaan rakyat agar mampu bangkit semula, bersaing dan bergerak ke hadapan.

Beliau berkata, rakyat pada waktu ini memerlukan sokongan dasar dan penyelesaian berkesan, bukannya pendekatan yang boleh ditafsirkan sebagai intimidasi atau tekanan terhadap pihak yang bersuara.

“Kerajaan perlu fokus untuk memastikan rakyat negara kita mampu comeback, untuk bersaing, untuk ke depan dalam mengharungi isu global ini berbanding dengan tindakan-tindakan yang dilakukan lebih kepada intimidasi, tekanan, menekan dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan keselarasan antara laungan kebebasan bersuara dengan tindakan yang didakwa berlaku ketika ini.

“Jadi saya rasa tidak sesuai dalam keadaan waktu mereka melaungkan kebebasan bersuara, tapi tindakan yang dilakukan adalah sebaliknya,” katanya lagi.

Kenyataan Razak itu dijangka terus menambah perbahasan awam berhubung isu kebebasan bersuara, layanan terhadap pengkritik kerajaan, serta keutamaan sebenar pentadbiran dalam mendepani keresahan rakyat ketika ini.

#BeritaAAC #AbdulRazak #KebebasanBersuara #SuaraRakyat #PolitikMalaysia

KUALA LUMPUR, 15 April 2026 – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman berpandangan industri pembinaan antara sektor yang paling terkesan dalam keadaan ekonomi global semasa, susulan kenaikan mendadak harga bahan mentah dan material pembinaan.

Menurut beliau, berdasarkan data yang dirujuk daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), harga barang mentah serta bahan binaan didakwa telah meningkat sehingga 40 peratus, sekali gus memberi tekanan besar kepada keseluruhan ekosistem sektor pembangunan negara.

Katanya, kesan tersebut bukan sahaja dirasai oleh kontraktor atau syarikat pembinaan, malah turut melibatkan pelbagai rantaian industri lain seperti perunding, pembekal, institusi kewangan dan pembeli.

“Apabila sesuatu pembangunan itu dilakukan, bukan sahaja sektor pembinaan yang terlibat, tetapi ada konsultan, supplier, banker, pembeli dan sebagainya yang turut berada dalam ekosistem construction ini. Jadi, semua akan terkesan,” katanya ketika menjawab soalan wartawan berhubung kesan situasi semasa terhadap industri serta perancangan bagi mengatasi cabaran global.

Razak berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas dan menyeluruh bagi mengawal keadaan agar kenaikan harga tidak terus menjejaskan sektor-sektor penting negara.

Beliau menegaskan perlu ada campur tangan kerajaan untuk memastikan pembekal tidak menaikkan harga sesuka hati walaupun dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.
Menurutnya, sekurang-kurangnya perlu ada satu petunjuk kawalan atau ketetapan tertentu bagi mengawal margin keuntungan supaya tidak merudum dan akhirnya memberi kesan berantai kepada sektor lain.

“Kerajaan perlu tuntas untuk segera counter balik tentang apakah perkara-perkara yang kerajaan perlu interfere. Kena ada interference daripada kerajaan,” tegas beliau.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan merangka satu pelan induk yang lebih jelas melibatkan langkah jangka pendek dan jangka panjang, bukan sahaja untuk industri pembinaan, malah untuk sektor ekonomi secara keseluruhannya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu meneliti bentuk pakej rangsangan atau suntikan sokongan yang sesuai untuk membantu industri-industri yang sedang terkesan agar dapat terus bertahan dalam situasi global yang tidak menentu.

Razak berpandangan, tindakan segera amat penting bagi memastikan kesan tekanan kos tidak menjadi lebih parah sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan pemain industri dan rakyat secara keseluruhannya.

#BeritaAAC #IndustriPembinaan #KosBahanNaik!#EkonomiMalaysia #AbdulRazakRahman

KUALA LUMPUR, 15 April 2026 – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman, berpandangan konflik berterusan di Timur Tengah melibatkan Iran dan Israel berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi negara sekiranya tiada langkah lebih tersusun dilaksanakan segera oleh kerajaan.

Beliau berkata, peperangan yang kini berlanjutan hampir dua bulan itu bukan sahaja mencetuskan ketidaktentuan geopolitik global, malah turut memberi tekanan kepada negara-negara yang bergantung kepada kestabilan harga tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa, termasuk Malaysia.

Menurut beliau, antara kesan yang paling dirasai ketika ini ialah peningkatan harga diesel, yang didakwa telah melonjak sehingga RM6.72 berbanding sekitar RM2 lebih sebelum krisis bermula.

“Sebagai sebuah negara, kita pasti tidak dapat lari daripada menerima tempias krisis geopolitik ini. Sebab itu saya berharap kerajaan dapat segera melaksanakan satu dasar yang lebih sistematik dan menyeluruh untuk membantu rakyat mengharungi tekanan yang semakin menghimpit,” katanya ketika menjawab soalan wartawan.

Abdul Razak berkata, walaupun kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Budi 95, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana kesannya bukan hanya tertumpu kepada pengguna diesel semata-mata, tetapi melibatkan keseluruhan struktur ekonomi negara.

Katanya, sektor logistik merupakan antara yang paling awal terkesan, sebelum impaknya merebak kepada sektor perladangan, pertanian, perusahaan dan pembinaan.

Beliau mendakwa sektor pembinaan antara yang menerima kesan paling ketara apabila kos meningkat sehingga 40 peratus sejak krisis berkenaan tercetus, sekali gus memberi tekanan besar kepada syarikat dan pemain industri.

Dalam masa sama, beliau turut mendakwa bahawa di Selangor sahaja, seramai 15,000 pekerja telah terkesan menerusi tindakan pemberhentian kerja, pemotongan gaji dan langkah penjimatan lain oleh majikan susulan peningkatan kos operasi.

“Sudah pastilah ini memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhan. Maka inilah medan terbaik untuk kerajaan membuktikan bahawa formula, langkah proaktif dan janji yang pernah mereka laungkan sebelum ini benar-benar boleh dilaksanakan,” katanya lagi.

Abdul Razak turut menegaskan rakyat kini mahu melihat penyelesaian yang nyata, bukannya kenyataan berunsur retorik atau jawapan yang dianggap tidak membantu dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.

Beliau berkata, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, beliau sendiri menerima pelbagai persoalan daripada rakyat mengenai sama ada kerajaan benar-benar mempunyai pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk mendepani tekanan ekonomi semasa.

Katanya, kerajaan perlu tampil dengan pelan rasionalisasi yang jelas serta pendekatan yang lebih matang dalam berkomunikasi dengan rakyat, terutama ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Sekarang ini masa paling sesuai untuk mereka buktikan kemampuan sebenar. Rakyat tidak mahu lagi mendengar retorik atau bahasa yang mengguris hati. Apa yang rakyat mahu ialah penyelesaian,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan wajar menggunakan ruang yang ada untuk membuktikan kredibiliti kepimpinan mereka selaras dengan janji-janji yang pernah dibuat sebelum mengambil alih pentadbiran negara.

#BeritaAAC #HargaDiesel #KosSaraHidup #EkonomiMalaysia #KrisisTimurTengah

KUALA LUMPUR, 12 April 2026 – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, mempersoalkan kehilangan suara gerakan BERSIH yang sebelum ini lantang turun ke jalanan membantah pelbagai isu rakyat, termasuk kenaikan harga bahan api.

Dalam satu sesi soal jawab bersama wartawan, beliau menyindir kelompok yang pernah dikaitkan dengan himpunan berbaju kuning itu kerana didakwa tidak lagi menunjukkan bantahan seperti suatu ketika dahulu, walaupun rakyat kini berdepan kenaikan kos sara hidup yang menurutnya jauh lebih ketara.

Menurut Dr Azam, tindakan berdiam diri golongan berkenaan menimbulkan persoalan, khususnya apabila kenaikan harga yang berlaku ketika ini didakwa lebih besar berbanding isu-isu yang pernah mencetuskan demonstrasi besar pada masa lalu.

Beliau turut mendakwa budaya protes jalanan, tidur di atas jalan serta maki hamun bukanlah pendekatan yang sinonim dengan UMNO dan Barisan Nasional, sambil membandingkannya dengan parti-parti lawan yang menurutnya lahir daripada budaya politik jalanan.

Dalam kenyataan sama, Dr Azam turut menyentuh kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menurut pandangannya sudah hilang tujuan asal selepas Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjaya menjadi Perdana Menteri. Beliau secara sinis mencadangkan agar PKR dibubarkan dan ahlinya menyertai Barisan Nasional.

Mengulas soal kepimpinan negara, Dr Azam mengingatkan rakyat supaya bijak menilai parti yang memiliki rekod pentadbiran, sambil menyeru khususnya orang Melayu agar membuat pertimbangan politik dengan lebih teliti demi masa depan negara.

Pada masa sama, beliau turut menegur Perdana Menteri supaya menjaga imej, moraliti dan kebijaksanaan dalam berucap, termasuk mengelakkan penggunaan kata-kata kasar yang menurutnya boleh mencerminkan imej institusi kerajaan secara keseluruhan.

Menyentuh isu subsidi bahan api, Dr Azam mengakui harga RM1.99 seliter masih memberi sedikit kelegaan, namun mempersoalkan had penggunaan 200 liter yang menurutnya tidak mencukupi bagi ramai rakyat, termasuk mereka yang berulang-alik menghantar anak ke sekolah dan mengurus keperluan harian.

Beliau mendakwa kenyataan bahawa majoriti rakyat tidak terkesan dengan perubahan itu hanya akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan semasa, sekiranya realiti sebenar di lapangan tidak diambil kira.

Di akhir kenyataannya, Dr Azam berkata beliau mendoakan yang terbaik untuk negara dan berharap Barisan Nasional kembali menjadi tunjang utama kerajaan pada masa hadapan.

#BeritaAAC #DrAzamRauzan #BERSIH #PMX #KosSaraHidup

SHAH ALAM, 16 April 2026 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan institusi itu dengan kegagalan pembayaran kepada subkontraktor dalam projek pembinaan Masjid Al-Madaniah, Jalan USJ 18/7, Subang.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Setiausaha MAIS, Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini, berkata pihaknya memandang serius penyebaran kandungan di aplikasi TikTok IPK.TV oleh pengguna Ridzuan Ikhlas bertarikh 13 April 2026 yang didakwa mengandungi tuduhan tidak benar serta berunsur fitnah terhadap MAIS.

Screenshot
Screenshot

Menurut beliau, projek pembinaan masjid tersebut sebenarnya merupakan projek pembangunan infrastruktur keagamaan yang diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, pelantikan kontraktor utama dibuat oleh ICU, manakala pelantikan subkontraktor pula dibuat oleh kontraktor utama dan bukannya oleh MAIS.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak ICU, semua pembayaran telah diselesaikan oleh ICU kepada kontraktor utama pada 31 Oktober 2023 selaras dengan syarat-syarat kontrak yang telah ditandatangani,” jelas beliau.

Tambah beliau, walaupun urusan pelantikan kontraktor bukan di bawah MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetap mengambil langkah proaktif dengan mempertemukan pihak kontraktor dan subkontraktor yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian.

Bagaimanapun, usaha tersebut dilaporkan tidak mencapai sebarang persetujuan antara pihak-pihak yang terbabit. MAIS turut memaklumkan bahawa isu berkenaan juga pernah dijawab oleh JAIS menerusi kenyataan media bertarikh 13 Disember 2025.

Dalam kenyataan sama, MAIS menegaskan bahawa dakwaan kononnya institusi itu menggunakan imuniti istana serta terlibat dalam unsur rasuah sehingga menyebabkan bayaran tidak dijelaskan kepada pengadu adalah tidak benar.

MAIS menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang bukan sahaja mencemarkan imej MAIS, JAIS dan pengurusan masjid, malah berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni antara kaum dan agama.

Sehubungan itu, MAIS memberi amaran supaya semua pihak tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan tanpa asas terhadap institusi agama dan pengurusan masjid berkaitan isu tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, MAIS kini sedang meneliti peruntukan undang-undang sedia ada bagi memfailkan saman fitnah secara sivil terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah.

Dalam masa sama, MAIS juga memaklumkan bahawa laporan polis akan dibuat bagi membolehkan tindakan diambil berhubung unsur fitnah jenayah di bawah Kanun Keseksaan terhadap pihak yang didakwa memfitnah MAIS dan JAIS.

Perkembangan ini dijangka terus menjadi perhatian memandangkan isu melibatkan institusi agama, pembinaan rumah ibadah dan pembayaran projek awam sering mengundang reaksi besar dalam kalangan masyarakat.

#BeritaAAC #MAIS #MasjidUSJ18 #IsuSubkontraktor #FitnahDanFakta