Day: January 3, 2026

KUALA LUMPUR — Ketidakpuasan hati akar umbi UMNO, khususnya dalam kalangan Pergerakan Pemuda, semakin memuncak susulan kerjasama politik UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang dilihat gagal memenuhi prinsip ‘menang-menang’ seperti diharapkan.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Armand Azha Abu Hanifah, berkata Konvensyen Pemuda UMNO yang berlangsung di PWTC petang tadi jelas memperlihatkan gelombang kebangkitan Pemuda daripada pelbagai peringkat, termasuk perwakilan Pemuda negeri-negeri, yang secara terbuka menyuarakan rasa kecewa terhadap hala tuju politik parti ketika ini.

Menurut beliau, selepas hampir tiga tahun UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, banyak janji serta harapan akar umbi dilihat tidak dipedulikan oleh rakan politik lain.

“Apa yang lebih mendukacitakan, apabila bekas pemimpin kita dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman, rakan politik yang sepatutnya bersolidariti dilihat seolah-olah meraikan keputusan tersebut,” katanya.

Situasi itu, jelas beliau, menjadi antara faktor utama kebangkitan Pemuda UMNO yang tampil menyatakan ketidakpuasan hati secara terbuka, termasuk menyuarakan hasrat untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan.

Dalam masa sama, Dato’ Armand Azha menzahirkan sokongan terhadap pendirian Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh, yang secara terbuka mendapatkan pandangan akar umbi mengenai hala tuju parti dan keperluan penyatuan Melayu.

“Saya percaya penyatuan Melayu adalah asas kekuatan UMNO dan juga kestabilan negara. Apabila sokongan Melayu berpecah, kita lihat kepentingan Melayu, agama dan institusi raja-raja Melayu mula dicabar oleh pihak tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan muktamad, termasuk sama ada UMNO kekal atau menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan, terletak di tangan pucuk pimpinan tertinggi dan akan dibawa ke Persidangan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 17 Januari ini.

Menjawab persoalan bagaimana suara hampir 3.8 juta ahli UMNO diterjemahkan, beliau menjelaskan bahawa setiap keputusan parti dibuat secara berperwakilan melalui Majlis Tertinggi dan PAU.

“Perwakilan yang hadir di PAU mewakili jutaan ahli UMNO di seluruh negara. Sebab itu persidangan ini amat penting dalam menentukan dasar dan hala tuju parti,” katanya.

Tambah beliau, keputusan yang bakal dibuat pada PAU kali ini akan menjadi penentu sama ada UMNO terus bersama Kerajaan Perpaduan atau mengambil pendirian tegas demi mempertahankan prinsip perjuangan parti dan kepentingan rakyat.

#PemudaUMNOBangkit #UMNODalamDilema #KerajaanPerpaduan #PAU2026 #SuaraAkarUmbi #PenyatuanMelayu #UMNOTegas #PolitikMalaysia #AACBerita #AgendaRakyat

KUALA LUMPUR, 3 Januari 2026 — Kehadiran dan suara akar umbi UMNO perlu terus diangkat serta disalurkan melalui platform yang betul demi memastikan hala tuju parti kekal berteraskan prinsip perjuangan sebenar, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, YB Syed Hussein.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC), hari ini, yang disifatkannya sebagai satu medan penting untuk memperkukuh suara dan aspirasi generasi muda dalam parti.

Menurut YB Syed Hussein, ucapan dan hala tuju yang dibentangkan oleh Datuk Ketua Pemuda UMNO adalah selari dengan aspirasi akar umbi, khususnya dalam menegaskan bahawa UMNO perlu terus meletakkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air sebagai teras utama perjuangan parti.

“Ini bukan soal individu, tetapi soal prinsip parti. Pemuda UMNO sentiasa konsisten mengangkat dasar-dasar yang mampu menaikkan martabat UMNO sebagai sebuah parti keramat orang Melayu,” katanya.

Tambah beliau, segala keputusan strategik berkaitan masa depan parti wajar diserahkan kepada pucuk pimpinan dengan penuh kepercayaan, demi memastikan hala tuju yang terbaik buat UMNO dan negara.

Mengulas isu penyatuan, Syed Hussein menegaskan bahawa mesej yang disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO amat bertepatan dengan kehendak semasa, khususnya dalam landskap politik yang semakin mencabar.

“Penyatuan bukan hanya tuntutan politik, tetapi juga tuntutan agama. Kita perlu bersatu padu untuk membina ekosistem yang lebih baik demi kesejahteraan umat dan kestabilan negara,” ujarnya.

Beliau yakin bahawa melalui penyatuan yang kukuh dalam parti dan masyarakat, kestabilan politik dapat dicapai sekali gus memastikan negara terus bergerak ke hadapan dengan lebih teratur dan sejahtera.

#PemudaUMNO
#SuaraAkarUmbi
#KonvensyenPWTC
#UMNOBersatu
#AgamaBangsaTanahAir