Day: January 9, 2026

KUALA LUMPUR, 9 Januari 2026 – Isu lawatan dan ziarah ke makam Mustafa Kamal Atatürk yang kembali diperdebatkan di media sosial tidak wajar dipolemikkan sehingga dikaitkan secara melampau dengan hukum agama, tegas Ketua Penerangan Veteran UMNO, Dato’ Zainal Abidin Sakom.

Menurut beliau, istilah ziarah tidak boleh ditafsir secara sempit sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila melibatkan lawatan rasmi ke negara luar atas dasar diplomatik.

“Bila kita sebut ziarah, ia bukan semestinya berkait dengan amalan ibadah. Orang Islam sendiri pernah menziarahi makam pahlawan-pahlawan negara lain yang bukan Islam, sebagai satu bentuk penghormatan,” katanya ketika mengulas soalan wartawan berhubung kontroversi lawatan pemimpin negara ke makam Mustafa Kamal Atatürk.

Beliau menjelaskan bahawa dalam konteks lawatan rasmi, ziarah ke makam tokoh negara berkenaan adalah satu amalan diplomatik yang lazim dan tidak boleh disamakan dengan amalan keagamaan seperti membaca doa atau surah al-Fatihah.

“Kalau ziarah pun, kita tidak membaca al-Fatihah. Pandailah kita membawa diri. Itu bukan ibadah, tetapi penghormatan kepada sejarah dan negara yang kita lawati,” jelasnya.

Tambah Dato’ Zainal, status keislaman Mustafa Kamal Atatürk sendiri tidak pernah diputuskan secara muktamad oleh mana-mana pihak berautoriti, justeru tiada siapa berhak menjatuhkan hukum secara semberono.

“Tak jelas sama ada beliau Islam atau bukan Islam, dan tiada siapa berani membuat hukum. Itu urusan beliau dengan Allah SWT,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa lawatan tersebut perlu dilihat dalam kerangka diplomasi antarabangsa, bukan dijadikan senjata politik atau modal kecaman berunsur agama.

“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Bila kita berada di negara orang, kita ikut adat mereka. Yang penting amal kita, niat kita dan hati kita,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif kecaman yang cuba mengaitkan isu tersebut dengan hukum qat’ie agama tanpa asas yang kukuh.

“Ini urusan tuan rumah. Kita hadir sebagai tetamu, kita ikutlah. Jangan diputar sehingga menimbulkan perpecahan dan salah faham dalam kalangan umat,” katanya lagi.

#BeritaAAC #ZiarahAtaturk #IsuSemasa #PolitikMalaysia #DiplomasiAntarabangsa #VeteranUMNO #FaktaBukanEmosi #NaratifSebenar #PMX #WacanaPolitik

KUALA LUMPUR, 8 Januari 2026 – Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh, yang sebelum ini mencetuskan pelbagai tafsiran termasuk dakwaan kononnya memberi isyarat mahu “berundur”, tidak seharusnya ditafsir secara terburu-buru atau dijadikan bahan spekulasi, kata Ketua UMNO Bahagian Bangi merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Dato’ Dr Mohd Zaidi Md Zain.

Beliau menegaskan bahawa pendirian yang disuarakan oleh Dr Akmal semasa Konvensyen Pemuda UMNO baru-baru ini adalah hak individu dan tidak boleh dianggap mewakili keseluruhan suara akar umbi UMNO.

“Memang benar yang hadir ke konvensyen itu ada pendirian tersendiri, tetapi kita juga perlu sedar bahawa ramai lagi akar umbi di luar sana yang tidak hadir. Pandangan mereka juga perlu dihormati,” katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan.

Menurut Dato’ Dr Mohd Zaidi, reaksi pelbagai pihak di media sosial yang menyokong dan menentang kenyataan Dr Akmal membuktikan isu tersebut mempunyai pelbagai sudut pandang dan tidak wajar ditafsir secara satu dimensi.

Mengulas kenyataan “Alhamdulillah” yang ditulis Dr Akmal selepas Mesyuarat Biro Politik UMNO pada 5 haribulan, beliau menegaskan perkataan itu tidak boleh dijadikan asas untuk membuat kesimpulan tertentu.

“Kita ucap Alhamdulillah dalam apa jua keadaan – sama ada berita baik atau tidak baik, nikmat atau ujian. Jadi kita tidak perlu membuat spekulasi terhadap satu perkataan yang tidak dihuraikan maksudnya,” jelas beliau.

Tambahnya, kenyataan Dr Akmal yang mengajak Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, yang dipecat daripada BERSATU supaya menyertai UMNO juga bercanggah dengan dakwaan bahawa beliau mahu berundur.

“Takkanlah seseorang itu nak berundur tetapi dalam masa sama mengajak orang lain menyertai UMNO. Itu terbalik dari logiknya,” katanya.

Dato’ Dr Mohd Zaidi turut mengingatkan bahawa istilah “berundur” yang digunakan tanpa penjelasan jelas boleh membawa pelbagai tafsiran dan dalam kaedah fekah, perkara seperti ini tergolong dalam perkara syubhah yang perlu dirujuk kepada tuan empunya diri, bukan ditafsir sesuka hati.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pendirian Presiden UMNO bahawa UMNO dan Barisan Nasional akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal perlu dihormati semua pihak.

“Kita perlu bertenang dan tidak membuat sebarang tindakan yang mendahului keputusan pimpinan. Apa-apa kemungkinan selepas ini kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru semua ahli parti agar tidak terpengaruh dengan spekulasi dan terus menjaga disiplin serta kesetiaan kepada keputusan pimpinan tertinggi parti.

#BeritaAAC #UMNO #PemudaUMNO #DrAkmal #PolitikMalaysia #KerajaanPerpaduan #AkarUmbiUMNO #IsuSemasa #UMNOSelangor #PolitikTerkini