Day: January 12, 2026

KUALA LUMPUR, 11 Januari 2026 – Alumni 4B Malaysia terus menunjukkan kebangkitan luar jangkaan apabila kehadiran ahli dan peserta dalam siri mesyuarat wilayah mencatatkan angka memberangsangkan, sekali gus membuktikan pertubuhan itu kembali relevan dalam landskap NGO negara.

Presidennya, Datuk Syed Azmi Syed Nazir, berkata mesyuarat yang dianjurkan adalah selaras dengan perlembagaan Alumni 4B Malaysia yang menetapkan persidangan tahunan dan dwi-tahunan sebagai asas tadbir urus organisasi.

“Hari ini merupakan wilayah negeri yang ke-6 mengadakan mesyuarat. Seperti biasa, kita juga akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di Kuantan pada tahun ini dengan penglibatan wakil dari setiap negeri,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Tahunan Alumni 4B Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menurut beliau, jumlah perwakilan negeri ditentukan berdasarkan kapasiti keahlian, di mana negeri yang mempunyai lebih 5,000 ahli layak menghantar sehingga 30 orang perwakilan.

Mengulas mengenai kehadiran, Syed Azmi berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dan melepasi jangkaan penganjur.

“Petang ini sahaja lebih 100 orang hadir. Pagi tadi di Selangor lebih 80 orang, manakala semalam di Perak juga lebih 100 orang,” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan fenomena tersebut sebagai petanda positif bahawa Alumni 4B semakin diterima, bukan sahaja oleh bekas ahli 4B, malah golongan luar yang berminat untuk menyertai pertubuhan itu.

“Saya lihat ramai yang bukan ahli 4B sebelum ini, tetapi kini berminat untuk menjadi ahli. Mungkin mereka melihat Alumni 4B sebagai platform untuk berkecimpung secara aktif dalam NGO,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Alumni 4B Wilayah Persekutuan, Datuk Hj Bahtiar Adnan, turut menyatakan rasa syukur atas kehadiran luar biasa pada persidangan kali ini.

“Kehadiran hari ini sangat menggalakkan. Saya bagi pihak semua merakamkan jutaan terima kasih kepada semua perwakilan dan ahli yang hadir,” katanya.
Walaupun ketiadaan menteri dalam persidangan tersebut, Bahtiar menegaskan semangat dan komitmen ahli tetap utuh.

“Walaupun menteri tidak hadir, semangat kehadiran itu tetap wujud dalam kalangan ahli Alumni 4B Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mempromosikan Alumni 4B Wilayah Persekutuan sehingga berjaya menarik kehadiran yang memberangsangkan.

#Alumni4B #4BBangkit #NGOMalaysia #SuaraBelia #GerakanAnakMuda #Alumni4BWayah #4BRelevan #BeritaAAC #NGOPilihanRakyat #BeliaBersatu

BANGI – UMNO Bahagian Bangi mengesahkan kesiapsiagaan penuh menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025), dengan pemilihan perwakilan telah dibuat lebih awal hasil musyawarah yang dilaksanakan pada tahun lalu.

Ketua UMNO Bahagian Bangi merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Dato’ Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, UMNO Bangi kali ini memberi peluang kepada wakil lain untuk berucap selepas beliau sebelum ini tampil sebagai wakil UMNO Selangor.

“Untuk PAU kali ini, kita bergilir. Wakil UMNO Bangi yang akan berucap ialah Dato’ Hasnal Merican, seorang peguam, dan sudah tentu isu Bossku akan disentuh dalam ucapan beliau nanti,” katanya ketika ditemui media.

Menurut beliau, isu melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk pelaksanaan Titah Addendum yang didakwa gagal memperoleh kebenaran, dijangka menjadi antara perbahasan penting dan menarik untuk dihuraikan kepada perwakilan.

“Sepatutnya Bossku telah mendapat pengampunan dan pelaksanaan perintah Titah Addendum itu, namun nampaknya usaha tersebut tidak berjaya. Ini wajar dijelaskan supaya semua ahli UMNO memahami kedudukan sebenar isu ini,” jelasnya.

Beliau turut menyentuh mengenai kes 1MDB yang menyaksikan Datuk Seri Najib telah disabitkan kesalahan serta dijatuhkan hukuman, sambil menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO bersimpati dan mengikuti perkembangan proses rayuan yang telah difailkan.

“Kita maklum keputusan mahkamah itu dan kita amat bersimpati. Difahamkan rayuan telah dibuat dan perkara ini juga akan dihuraikan oleh para pembahas,” katanya lagi.

Walaupun Datuk Seri Najib tidak dapat bersama dalam PAU2025 kali ini, Dato’ Dr Mohd Zaidi menegaskan bahawa semangat perjuangan tokoh tersebut tetap hidup dalam kalangan ahli UMNO.

“Walaupun Bossku belum berkesempatan bersama kita, saya percaya roh dan semangat perjuangan beliau tetap bersama UMNO. Ia akan diterjemahkan melalui laungan, doa serta harapan setiap perwakilan,” ujarnya.

PAU2025 dijangka menjadi medan penting bagi UMNO untuk menyatukan suara, memperjelaskan isu-isu besar parti serta mengukuhkan semangat perjuangan dalam kalangan akar umbi.

#PAU2025 #UMNOBangi #Bossku #NajibRazak #TitahAddendum #UMNOSelangor #PolitikMalaysia #SuaraPerwakilan #BeritaAAC #PerjuanganUMNO

KUALA LUMPUR – Parti Progresif Penduduk (PPP) menegaskan keputusan untuk terus bersama Barisan Nasional (BN) bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya berlandaskan pengalaman, kesefahaman serta keperluan mendesak untuk memastikan kestabilan politik negara.

Presiden PPP, Dato’ Dr Loga Balan berkata, dalam landskap politik Malaysia yang semakin tidak menentu, PPP melihat BN sebagai satu-satunya gabungan yang mampu menawarkan tiga elemen utama yang amat diperlukan rakyat iaitu kestabilan politik, keselamatan dan keyakinan terhadap masa depan negara.

“Banyak gabungan politik wujud hari ini, namun persoalannya gabungan mana yang benar-benar boleh menjamin kestabilan, keselamatan serta keyakinan rakyat. Setakat ini, hanya Barisan Nasional yang terbukti mampu menawarkan ketiga-tiga perkara ini,” katanya.

Menurut beliau, hubungan lama PPP bersama BN membentuk asas kesetiakawanan yang kukuh, selain kefahaman mendalam terhadap budaya, pemikiran dan cara kerja gabungan tersebut.

“Kita pernah bekerja lama dengan BN. Kita faham budaya mereka, minda mereka, dan cara mereka mentadbir. Itu satu kekuatan yang tidak boleh dinafikan,” jelasnya.

Dato’ Dr Loga Balan turut mengingatkan bahawa sebahagian besar sistem penting negara hari ini termasuk sistem pendidikan, pengangkutan dan pembangunan infrastruktur adalah hasil dasar serta pentadbiran BN ketika menerajui kerajaan.

“Ketika BN mentadbir, kita lihat kestabilan politik, ekonomi berkembang dengan jelas dan rakyat mempunyai peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik,” katanya lagi.

Beliau menambah, keputusan PPP untuk bersama BN juga selari dengan komitmen parti itu untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia secara langsung di peringkat akar umbi.

“PPP boleh memberi suara kepada rakyat. Kita akan mendengar masalah ahli-ahli dan masyarakat, dan kita akan suarakan isu mereka kepada pihak kerajaan,” katanya.

Dalam masa sama, PPP juga menawarkan kekuatan tambahan kepada BN melalui keahlian parti serta jentera akar umbi yang aktif memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Kepada BN, kita boleh beri kekuatan. Dari segi keahlian, perkhidmatan di akar umbi dan sokongan berterusan untuk memastikan agenda rakyat dapat dilaksanakan,” tegasnya.

Tambah beliau, inilah kepercayaan PPP – berganding bahu bersama BN demi memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terpelihara.

#BeritaAAC #PPP #DatoDrLogaBalan #BarisanNasional #KestabilanPolitik #SuaraRakyat #PolitikMalaysia #AkarUmbi #KeyakinanRakyat #MalaysiaStabil

KUALA LUMPUR – Bahang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 semakin dirasai apabila Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, tampil menggariskan hala tuju tegas yang perlu diambil parti itu demi mengembalikan dominasi UMNO sebagai teras politik negara.

Menurut beliau, fokus utama PAU 2025 bukan sekadar perhimpunan tahunan, sebaliknya perlu menjawab persoalan besar “what’s next” untuk masa depan UMNO dan orang Melayu. Sebagai pemimpin akar umbi, Dr. Azam menegaskan bahawa agenda perpaduan ummah perlu difahami dengan lebih jujur dan menyeluruh.

“Perpaduan ummah itu bukan PAS. Perpaduan ummah itu adalah orang Melayu, dan ia mesti dimulakan oleh UMNO,” tegasnya ketika menjawab soalan wartawan mengenai harapan terhadap PAU 2025.

Beliau turut menyentuh kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, dengan menyatakan bahawa pendekatan yang terlalu berfokus kepada PAS adalah satu kesilapan besar. Menurut Dr. Azam, penyelesaian sebenar kepada perpaduan Melayu ialah dengan pembubaran BERSATU dan kembalinya parti itu ke pangkuan UMNO.

“Magnet kepada orang Melayu itu adalah UMNO. Bila UMNO kembali kuat, PAS sendiri akan datang tunduk dan meminta,” katanya.

Dalam nada lebih kritikal, Dr. Azam turut mempersoalkan kejujuran PAS dalam usaha membentuk Muafakat Nasional, khususnya di empat negeri yang kini dikuasai parti itu. Beliau mempertikaikan sejauh mana PAS benar-benar bersedia memberi ruang yang adil kepada UMNO.

Lebih tegas, beliau menyifatkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sebagai penghalang utama kepada perpaduan ummah akibat sikap dan kenyataan yang dilihat terus menghina serta menyerang UMNO.

“Dalam keadaan PAS masih mengutuk dan menghina UMNO, di manakah kejujuran mereka?” soalnya.

Dr. Azam juga mengingatkan bahawa kerajaan perpaduan tidak bersifat kekal, dan PAU 2025 adalah medan paling penting untuk Presiden UMNO bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menetapkan strategi senyap tetapi berkesan demi kebangkitan parti.

Beliau menegaskan bahawa bukan semua perancangan boleh didedahkan di media sosial, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan disiplin dan kesetiaan kepada parti. Dalam masa sama, beliau menggesa semua ahli UMNO termasuk pemimpin muda agar menghentikan budaya saling menyerang yang hanya melemahkan parti.

“PAU kali ini adalah PAU yang menentukan hala tuju UMNO. Beri sokongan penuh kepada Presiden, Biro Politik dan MKT. Jangan jadikan parti ini bahan drama murahan,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, Dr. Azam menyatakan keyakinan bahawa UMNO akan kembali berkuasa dan menjadi teras politik negara, sambil mengajak seluruh ahli bertemu di PAU 2025 dengan semangat perpaduan dan keikhlasan.

#PAU2025 #UMNOBangkit #PerpaduanMelayu #PolitikMalaysia #BeritaAAC #HalaTujuUMNO #AkarUmbiBersuara #MuafakatAtauRetorik #UMNOTerasNegara #BahangPAU