Day: January 20, 2026

KUALA LUMPUR, 20 Jan 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) hari ini membongkar satu lagi kes yang didakwa sebagai muslihat pinjaman perumahan melibatkan sebuah institusi kewangan yang bermula dengan huruf “C”, apabila sepasang warga emas mendakwa telah membayar lebih RM140,000 bagi pinjaman perumahan asal berjumlah hanya RM40,000.

Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, dalam sidang media yang diadakan jam 5.05 petang di Kuala Lumpur, mendedahkan kes membabitkan Puan Purnama a/p Murugan (63) dan suaminya Ramaya a/l Duraisamy (64), penoreh getah dari Ladang Donbi Fasa 2, Sungai Siput, Perak.

Menurut beliau, pasangan tersebut membeli sebuah rumah pada tahun 2000 dengan nilai RM46,800 dan membuat pinjaman perumahan sebanyak RM40,000. Perjanjian jual beli (S&P) menetapkan tempoh pinjaman selama 25 tahun, namun mangsa mendakwa jumlah bayaran yang dikenakan ke atas mereka berubah-ubah dan tidak munasabah.

“Untuk pinjaman RM40,000, mangsa telah membayar sekitar RM126,000 hingga RM146,000 sehingga hari ini, namun pihak bank masih mendakwa terdapat baki dan tempoh bayaran berbaki dua tahun lagi,” katanya.

Dato’ Dr. Kalaivanar menyifatkan keadaan itu sebagai satu bentuk penindasan terhadap golongan berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi mangsa yang bergantung kepada hasil menoreh getah sejak awal pagi demi melunaskan bayaran bulanan.

Beliau turut mengkritik kegagalan pihak berkaitan, termasuk wakil rakyat kawasan dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang didakwa tidak mengambil tindakan berkesan walaupun aduan telah dibuat berulang kali.

Mangsa, Puan Purnama, pula mendakwa beliau dinasihatkan oleh seorang Ahli Parlimen agar tidak “melawan bank” dan hanya menurut arahan pembayaran yang ditetapkan bagi mendapatkan geran rumah.

Dalam perkembangan sama, SBKN memberikan tempoh lima hari kepada pihak bank untuk menyelesaikan isu ini termasuk menyerahkan geran asal rumah kepada mangsa serta memulangkan sebarang lebihan bayaran jika ada.

“Jika dalam tempoh lima hari tiada penyelesaian, SBKN tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran di hadapan bank berkenaan,” tegas Dato’ Dr. Kalaivanar.

#MuslihatBank #MangsaPinjaman!#KeadilanUntukRakyat #BankRakus #PenorehGetahTertindas #SekretariatBahanaKesetiaanNegara #SBKN #IsuPerumahan #BeritaAAC #SuaraRakyat

KUALA LUMPUR , 17 Januari 2026 – UMNO perlu memberi penekanan serius terhadap pemerkasaan sayap digital bagi memastikan parti terus relevan dan dekat dengan generasi muda, selari dengan perubahan landskap politik semasa.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Dato’ Shahanim Mohamad Yusoff berkata, pendekatan politik tradisional seperti ceramah secara fizikal kini tidak lagi berkesan sepenuhnya, khususnya dalam usaha menarik penyertaan golongan muda.

Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya di kawasan yang merangkumi kampung dan bandar, penganjuran ceramah yang menyasarkan kehadiran 50 orang sering kali tidak mencapai sasaran, malah majoriti yang hadir adalah golongan lama dan berusia.

“Sekarang kalau kita panggil ceramah, kita target 50 orang, satu orang pun belum tentu dapat. Paling ramai pun sekitar 20 hingga 30 orang, itu pun orang lama. Di sinilah pentingnya peranan media dan digital,” katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO yang menyentuh keperluan memperkasakan sayap digital parti.

Tambah beliau, golongan muda hari ini mempunyai corak kehidupan dan keutamaan yang berbeza, di mana kekangan masa dan komitmen kerja menyebabkan mereka sukar menghadiri program fizikal.

“Anak-anak muda ini adalah zaman mereka. Mereka pemimpin pelapis dan pewaris masa depan negara. Mereka mungkin tidak datang ke ceramah, tetapi apabila pulang ke rumah, mereka akan melihat dan mengikuti kandungan digital,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dato’ Shahanim menegaskan sokongan penuhnya terhadap usaha UMNO memperkukuhkan sayap digital sebagai medium utama untuk menyampaikan mesej parti, mendekati anak muda serta membina sokongan jangka panjang.

#SayapDigitalUMNO #PolitikDigital #UMNOMuda #AnakMudaPemimpinPelapis #UMNORelevan?#MediaDigital #TransformasiPolitik #BeritaAAC #SuaraUMNO #PolitikMasaDepan