Day: January 11, 2026

KUALA LUMPUR, 11 Januari 2026 – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijadualkan merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Parti Progresif Penduduk (PPP) yang akan berlangsung pada 18 Januari 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut Presiden PPP, Datuk Dr. Loga Bala Mohan, perhimpunan tersebut dijangka menghimpunkan lebih 3,000 ahli PPP dari seluruh negara, melibatkan perwakilan sayap utama parti termasuk Sayap Pemuda dan Wanita.

Beliau berkata, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menyampaikan ucapan dasar yang dijangka memberi penekanan terhadap kepentingan dan peranan berterusan PPP dalam gabungan Barisan Nasional, sekali gus mencerminkan hubungan strategik antara kedua-dua pihak.

“AGM ini amat signifikan kerana ia berlangsung ketika ahli-ahli PPP masih menantikan keputusan muktamad mengenai pengembalian status PPP sebagai parti komponen Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam sesi kedua perhimpunan, para perwakilan dijangka membahaskan serta mengemukakan 10 resolusi utama yang menyentuh pelbagai isu nasional, termasuk reformasi pendidikan dan sosial, perpaduan nasional, serta isu berkaitan belia.

Antara resolusi paling penting yang bakal dibawa ialah cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan reformasi pendidikan, dengan matlamat memastikan sistem pendidikan negara lebih adil, inklusif dan saksama kepada seluruh rakyat Malaysia.

Perhimpunan ini dilihat sebagai medan penting bagi PPP memperkukuh pendirian politiknya serta menentukan hala tuju parti dalam landskap politik negara yang semakin dinamik.

#AGMPPP2026 #PPPBangkit #ZahidHamidi #BarisanNasional #PolitikMalaysia #RCIPendidikan #ReformasiPendidikan #PerpaduanNasional #SuaraRakyat #BeritaAAC

KLIA2, 10 Januari 2026 – Isu caj baharu yang dikenakan ke atas pemandu teksi, e-hailing dan limousine di KLIA2 mencetuskan kemarahan serta kebimbangan serius apabila ratusan pemandu mendakwa periuk nasi mereka kini berada di ambang kehancuran.

Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, yang juga wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, tampil ke KLIA2 sekitar jam 11.30 malam bagi menyatakan solidariti bersama pemandu-pemandu yang terkesan akibat tindakan konsesi baharu yang dilantik oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut beliau, konsesi pengendalian di KLIA2 kini dipegang oleh Asian Success Resources (ASR) bagi tempoh lapan tahun, dan telah memasuki tahun ketiga operasi. Namun, pemandu-pemandu mendakwa wujud pelaksanaan caj secara mengejut tanpa sebarang notis atau perbincangan bersama persatuan.

“Selama ini, pemandu tidak pernah dikenakan caj RM3 bagi pengambilan token CHI. Tetapi bermula November 2025, ASR mula mengenakan caj RM3, kemudian ditambah pula 8% SST, menjadikan RM3.24 bagi setiap trip – semuanya ditanggung oleh pemandu, bukan penumpang,” katanya.

Lebih mengejutkan, pemandu turut mendakwa mereka telah dikenakan potongan 9% bagi setiap perjalanan, sebelum ditambah lagi dengan SST, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan kewajaran dua bentuk potongan serentak.

Dato’ Dr. Kalaivanar turut mendedahkan bahawa jika seorang pemandu membuat tiga trip sehari, jumlah caj mencecah RM9.72 seorang, dan jika dikalikan dengan lebih 300 pemandu, ASR dianggarkan meraih hampir RM2,916 sehari, atau RM87,480 sebulan.

“Ini bukan soal kecil. Ini soal keadilan sosial. Mereka bukan penjenayah, bukan gangster, mereka hanya mencari rezeki halal dengan membawa penumpang,” tegas beliau.

Susulan tekanan yang semakin memuncak, pemandu-pemandu telah melancarkan tindakan boikot secara aman, serta membuat laporan polis bagi memastikan keselamatan dan mematuhi undang-undang.

Wakil pemandu teksi premier, Kabarudin Maarof, yang telah berkhidmat hampir 28 tahun di KLIA, berkata caj-caj baharu ini amat membebankan dan menekan pemandu, terutama menjelang sesi pembukaan sekolah.

Sementara itu, wakil pemandu limousine, Encik Fadli Abdul Rahman, mendedahkan isu lebih serius melibatkan potongan sehingga 15%, kelewatan bayaran sehingga hampir sebulan serta perjanjian pembayaran yang tidak konsisten.

Hasil perbincangan bersama pihak pengurusan ASR, Dato’ Dr. Kalaivanar memaklumkan bahawa satu pertemuan rasmi dijadualkan pada hari Rabu bagi mencari penyelesaian secara profesional. Atas dasar “give and take”, pemandu bersetuju untuk menghentikan boikot sementara waktu.

Dalam masa sama, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara akan menghantar surat rasmi kepada APAD dan Menteri Pengangkutan bagi menuntut penjelasan dan campur tangan segera.

“Ini bukan isu politik. Ini isu rakyat marhaen. Jika kerajaan serius dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, jangan biarkan mereka yang berada di barisan hadapan industri pelancongan terus dizalimi,” tegas beliau.

#PeriukNasiRakyat #KLIA2 #TeksiTeraniaya #ASR #MAHB #BoikotPemandu #KeadilanSosial #MalaysiaMadani #MarhaenBangkit #BeritaAAC