Day: January 10, 2026

KUALA LUMPUR – Wan Mahussin menegaskan keputusan DNAA (Dilepas Tanpa Dibebaskan) yang akhirnya membawa kepada NFA (Tiada Tindakan Lanjut) terhadap Yang Amat Berhormat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, perlu diterima secara adil dan berprinsip oleh semua pihak, tanpa dwi-standar politik.

Menurut Wan Mahussin, pertuduhan terhadap Presiden UMNO sejak awal lagi dilihat bermotif politik susulan ketegasan Ahmad Zahid untuk tidak membubarkan UMNO, meskipun tekanan hebat diberikan ketika era kerajaan terdahulu.

“Pertuduhan dibuka sehingga 87 kes, walaupun ketika itu bekas Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri pernah membentangkan bahawa tiada bahan bukti kukuh untuk pendakwaan. Namun, kerana keengganan Presiden UMNO tunduk kepada tekanan politik, pertuduhan tetap diteruskan,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa 40 pertuduhan digugurkan dan baki 47 kes diteruskan, termasuk ketika Perikatan Nasional memerintah di bawah Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika benar ada bukti kukuh, kenapa digugurkan 40 kes? Ini membuktikan isu utama ialah ketiadaan bukti, bukan soal bersalah atau tidak,” jelasnya.

Mengulas isu prima facie, Wan Mahussin menegaskan bahawa keputusan prima facie bukan pengesahan bersalah, sebaliknya hanya membuka ruang kepada perbicaraan penuh.

“Prima facie bukan hukuman. Ia hanya permulaan proses. Jika prima facie menentukan bersalah, maka banyak kes lain sepatutnya selesai lebih awal.

Hakikatnya, mahkamah perlu menilai hujahan pendakwaan dan pembelaan sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya keputusan DNAA dan NFA mencemarkan sistem kehakiman, sambil menegaskan UMNO konsisten menghormati keputusan mahkamah walaupun ketika keputusan tidak memihak kepada parti itu sebelum ini.

“Kita tidak pernah berhimpun di luar mahkamah, kita tidak pernah menuduh hakim tidak adil. Bila keputusan tidak memihak kepada UMNO, kita terima. Maka bila keputusan hari ini memihak kepada Presiden UMNO, ia juga mesti diterima,” tegasnya.

Wan Mahussin turut mengingatkan bahawa kes DNAA dan NFA bukan sesuatu yang luar biasa, memandangkan kes serupa pernah melibatkan tokoh lain seperti Shahidan Kassim dan Lim Guan Eng.

“Kenapa bila melibatkan Presiden UMNO, ia digambarkan seolah-olah paling jahat? Ini jelas naratif politik, bukan soal undang-undang,” katanya lagi.

Beliau menutup kenyataan dengan menyeru semua pihak agar menghormati institusi kehakiman, menerima keputusan mahkamah secara konsisten dan tidak menafikan hak pembelaan dalam sistem perundangan negara.

#BeritaAAC #ZahidHamidi #DNAA #NFA #PemudaUMNO #KeadilanUntukSemua #HormatiMahkamah #UndangUndangNegara #PolitikMalaysia #UMNOBangkit

KUALA LUMPUR – Majlis Ulama UMNO bakal menganjurkan program sulung Multaqoh Ilmuwan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini, yang dijadual berlangsung pada 13 haribulan, bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari di Dewan Tun Dr. Ismail, WTCKL.

Ketua UMNO Bahagian Bangi merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Dato’ Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, penganjuran Multaqoh Ilmuwan ini julung kali diadakan dan tidak terhad kepada perbincangan politik semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada perbahasan ilmiah berteraskan Islam.

Menurut beliau, program ini akan membahaskan sebuah kitab penting bertajuk “Fiqh al-Mizan”, karya Prof. Dr Syeikh Ali Muhyiddin al-Qarah Daghi, yang telah diterjemahkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Nor.

“Kitab ini membincangkan kaedah pertimbangan dan keseimbangan dalam Islam, khususnya dalam konteks pemerintahan dan pengurusan politik mengikut pendekatan syariah,” katanya ketika menjawab soalan wartawan berhubung perkembangan terkini Majlis Ulama UMNO.

Tambah beliau, penyertaan program ini dibuka kepada semua lapisan masyarakat dan setakat ini telah menerima pendaftaran, namun masih terbuka kepada orang ramai yang ingin mengikuti perbahasan secara langsung bersama para ilmuwan yang dijemput.

Dua tokoh ilmuwan utama dijadualkan menjadi ahli panel, iaitu Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Nor, serta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Dato’ Dr Mohd Zaidi menegaskan, penganjuran Multaqoh Ilmuwan ini amat relevan dalam suasana semasa, khususnya ketika wujud dakwaan dan persepsi yang mempertikai kedudukan UMNO sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

“Di tengah kekalutan dakwaan kononnya hanya pihak tertentu sahaja pejuang Islam, sedangkan UMNO dilabel bukan parti Islam, perbahasan Fiqh al-Mizan ini memberi jawapan bagaimana Islam sebenar mengurus pemerintahan dan politik secara seimbang,” jelasnya.

Beliau turut menyeru umat Islam dan pencinta ilmu agar hadir bagi mendapatkan kefahaman yang lebih jelas terhadap isu-isu berkaitan Islam dan politik berdasarkan neraca ilmu, bukan sentimen semata-mata.

“Jika ada kekeliruan atau persoalan mengenai Islam dalam politik, maka inilah platform terbaik untuk kita mendapatkan jawapannya secara ilmiah,” katanya.

#MultaqohIlmuwan #MajlisUlamaUMNO #PAU2025 #FiqhAlMizan #IslamDanPolitik #PolitikIslam #UMNOBelaIslam #WacanaIlmiah #MuftiWilayah #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengesahkan status kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada DNAA (Discharge Not Amounting to Acquittal) kepada NFA (No Further Action) disifatkan sebagai bukti kebenaran akhirnya terserlah, kata Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan.

Mengulas pertanyaan wartawan berhubung perkembangan tersebut, Dr. Azam menegaskan bahawa keputusan itu bukan sekadar isu perundangan, sebaliknya membuktikan takdir dan keadilan Allah SWT.

“Takdir Allah itu benar. Akhirnya yang batil akan tenggelam, yang hak akan timbul,” katanya.

Beliau berkata, sebagai umat Islam, keputusan yang dibuat oleh AGC itu wajar diterima dengan hati terbuka, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan sistem kehakiman negara yang masih diyakini bersifat adil dan saksama.

Dalam masa sama, Dr. Azam menyentuh soal kifarah dan doa orang teraniaya, sambil menyatakan keyakinannya bahawa terdapat unsur penganayaan terhadap Presiden UMNO itu pada suatu ketika dahulu.

“Doa orang teraniaya itu dimakbulkan Allah. Dalam kisah ini, saya berani mengatakan ada unsur-unsur penganayaan apabila Datuk Seri Zahid memilih untuk tidak membubarkan UMNO,” ujarnya.

Menurut beliau, keteguhan Zahid mempertahankan UMNO menjadi faktor penting kelangsungan parti itu sehingga hari ini, termasuk kepimpinan Pemuda UMNO dan penganjuran Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Kalau UMNO dibubarkan, tak ada UMNO hari ini, tak ada PAU, tak ada kepimpinan muda. Hero kami, hero orang Melayu dan hero UMNO ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya lagi.

Dr. Azam turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri itu sambil menegaskan pendiriannya bahawa sistem kehakiman Malaysia kekal antara yang terbaik dan masih terunggul.

“Apa nak kata pun katalah. Bagi saya, sistem kehakiman kita masih saksama,” katanya mengakhiri kenyataan.

#ZahidHamidi #NFA #KeadilanTerbukti #UMNOBangkit #TakdirAllah #YangHakTimbul #BeritaAAC #PolitikMalaysia #UMNOPertahankan #IsuSemasa