Day: January 17, 2026

KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Kehadiran Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) ke Perhimpunan Agung UMNO Pemuda bukanlah satu isyarat politik yang tersirat, sebaliknya mesej yang jelas dan terbuka mengenai keperluan UMNO serta Barisan Nasional (BN) untuk mengukuhkan kembali sokongan rakyat dari pelbagai lapisan.

Menurut Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar, kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO dan bekas Menteri Persekutuan itu perlu dilihat secara positif, khususnya dalam konteks landskap politik semasa yang mencabar.

“Ini bukan perkara tersirat, tetapi tersurat. Jelas menunjukkan UMNO dan Barisan Nasional memerlukan sokongan daripada pelbagai sudut,” katanya ketika diminta mengulas kehadiran KJ ke perhimpunan tersebut.

Dr. Norman menegaskan bahawa KJ merupakan tokoh yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda dan pengundi atas pagar, hasil pengalaman serta kedudukan beliau sebelum ini dalam parti dan kerajaan.

Dalam situasi politik semasa, katanya, UMNO tidak mempunyai pilihan selain memperluaskan saf kepimpinan dengan melibatkan tokoh-tokoh yang berupaya mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap parti.

“Nak tak nak, UMNO perlu meramaikan pemimpin-pemimpin yang boleh mengembalikan sokongan kepada parti, bukan sahaja dalam kalangan ahli, tetapi rakyat daripada pelbagai peringkat dan golongan,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kehadiran KJ akan memberi impak positif terhadap persepsi rakyat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan sokongan terhadap UMNO dan BN menjelang pilihan raya akan datang.

“Saya yakin kehadiran KJ ini akan memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional,” tambahnya.

#BeritaAAC #PAUPemudaUMNO #KhairyJamaluddin #KJUMNO #PolitikMalaysia #UMNOBangkit #BarisanNasional #SuaraPemuda #PilihanRayaMalaysia #AgendaPemulihanUMNO

KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Dato’ Sri RS Thanenthiran menyifatkan Ucapan Dasar Presiden UMNO sebagai satu ucapan yang menyeluruh, matang dan membawa harapan baharu kepada landskap politik negara, khususnya dalam usaha menyatukan kembali orang Melayu di bawah satu wadah bersama.

Menurut beliau, ucapan yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jelas memperlihatkan kesedaran politik baharu yang menuntut pendekatan lebih terbuka, realistik serta meninggalkan politik dendam dan perpecahan lama.

“Ini satu wadah baharu, satu permulaan baharu. UMNO dibawa ke satu titik kesedaran politik yang lebih matang, di mana perbezaan pandangan diraikan dan satu ‘jenama politik baharu’ perlu mengambil tempat utama,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan ‘tangan terbuka’ yang diketengahkan oleh Presiden UMNO, termasuk kesediaan menerima kembali bekas ahli yang pernah meninggalkan parti, adalah langkah penting dalam membina semula kekuatan politik Melayu.

Dato’ Sri RS Thanenthiran turut menegaskan bahawa konsep UMNO sebagai Rumah Bangsa atau Rumah Landasan Melayu perlu disokong semua pihak kerana penyatuan Melayu merupakan kunci utama untuk memastikan Malaysia dapat bergerak lebih maju ke hadapan.

“Saya percaya penyatuan Melayu ini sangat penting. Jika Melayu bersatu, negara akan lebih stabil dan mampu bergerak ke hadapan dengan lebih kukuh,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan menyatakan kekagumannya terhadap ketabahan Najib yang terus berusaha memohon ihsan serta belas kasihan daripada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berpendapat, Datuk Seri Najib merupakan seorang tokoh yang telah banyak berjasa kepada negara dan wajar diberikan peluang serta kebebasan untuk kembali bersama keluarga dan berkhidmat kepada negara dalam kapasiti yang sesuai.

“Kita harap kali ini benar-benar ada keadilan dan ihsan. Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal kemanusiaan dan penghargaan kepada jasa,” katanya.

#UcapanPresidenUMNO #RumahBangsa #PenyatuanMelayu #PolitikBaharu #UMNOBangkit #ZahidHamidi #RSThanenthiran #Bossku #NajibRazak #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – UMNO menegaskan pendirian tegas untuk tidak berkompromi dengan sebarang tuntutan DAP yang disifatkan boleh menggugat kedudukan dan kepentingan orang Melayu, kata Wakil UMNO Selangor, Datuk Hasnal Rezua Merican.

Berucap penuh bersemangat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, Hasnal mengakui wujudnya kemarahan akar umbi terhadap DAP, namun menegaskan UMNO kekal sebagai benteng ampuh dalam kerajaan bagi mengekang agenda parti tersebut.

“Kita telah bermusuhan dengan DAP ini lama. Hari ini, DAP masih membuat tuntutan untuk memenuhi dan menjustifikasikan kedudukannya sebagai parti Cina dan India terbesar di negara ini. Dia terpaksa buat,” katanya disambut sorakan perwakilan.

Menurut beliau, setiap tuntutan yang dikemukakan DAP bukan petanda kegagalan UMNO, sebaliknya membuktikan peranan parti itu sebagai pengimbang dan pelindung kepentingan Melayu dalam kerajaan.

“Kita akan respon. Bukan bermakna bila DAP buat tuntutan, UMNO sudah gagal. Tugas UMNO ialah menjadi benteng dalam kerajaan. Kita tidak akan memberi laluan,” tegasnya.

Hasnal turut menolak keras label “UMDAP” yang sering dilemparkan terhadap UMNO, dengan menyenaraikan beberapa tuntutan DAP yang berjaya disekat oleh parti itu.

“Bila DAP minta pilihan raya PBT, kita tidak izinkan. Bila mereka minta tapak kampung baru Cina digazetkan sebagai tapak warisan UNESCO, kita tak benarkan,” katanya.

Beliau turut mengimbas penentangan UMNO terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) yang didakwa berat sebelah kepada pemaju dan tidak melindungi kepentingan penduduk Melayu bandar.

“Kita bantah, kita buat konvensyen, kita bergasak sampai RUU itu ditarik balik. Itu kerja UMNO,” katanya dengan nada tegas.

Isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) juga menjadi antara fokus ucapan apabila Hasnal mendakwa tuntutan sebenar DAP adalah untuk menyamakan UEC dengan SPM dan STPM.

“Itu tidak akan dibenarkan. Tidak ada satu pun tuntutan DAP yang berjaya. Selagi UMNO menjadi benteng dalam kerajaan, DAP tidak akan dapat capai agenda mereka,” ujarnya.

Ucapan tersebut jelas mencerminkan pendirian tegas UMNO dalam mempertahankan agenda Melayu, sekali gus memperkukuh naratif parti itu sebagai pelindung utama kepentingan bangsa dalam landskap politik kerajaan campuran hari ini.

#PAU2025 #UMNOBentengMelayu #HasnalRezua #TolakAgendaDAP #UMNOTegas #PertahanHakMelayu #PolitikMalaysia!#BeritaAAC #SuaraPerwakilan #UMNOdalamKerajaan

KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Ucapan Dasar Presiden UMNO yang disampaikan pagi ini disifatkan ringkas namun sarat dengan mesej mendalam, khususnya berkaitan usaha memperkukuh penyatuan dan membina semula UMNO sebagai wadah utama perpaduan orang Melayu.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor merangkap Ketua Pemuda UMNO Sungai Besar, Dato’ Mohd Imran, berkata ucapan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden UMNO itu membuka ruang yang luas untuk seluruh ahli parti menelusuri hala tuju baharu UMNO dalam mendepani dinamika politik semasa.

“Ucapan dasar kali ini walaupun ringkas, namun isi kandungannya sangat mendalam, terutamanya berkaitan penyatuan dan usaha membuka pintu seluas-luasnya untuk membina semula rumah UMNO sebagai pusat penyatuan orang Melayu,” katanya.

Menurut beliau, mesej tersebut amat penting dalam memastikan UMNO terus relevan sebagai sebuah parti politik yang bukan sahaja berfungsi sebagai organisasi parti, tetapi juga sebagai organisasi yang mentadbir dan memegang amanah kuasa dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

Dato’ Mohd Imran turut menyatakan keyakinan bahawa perkara-perkara utama yang dibangkitkan dalam ucapan dasar itu akan dibahaskan secara menyeluruh oleh para perwakilan sepanjang persidangan berlangsung.

Beliau berharap perbahasan yang akan berlangsung, khususnya daripada sayap Pemuda UMNO Selangor dan Pemuda UMNO Sungai Besar, mampu melahirkan idea-idea bernas serta pandangan strategik bagi memperkukuhkan lagi pendirian dan ketetapan parti.

“Harapan saya agar perbahasan kali ini dapat membuahkan buah fikiran yang konstruktif untuk mengembangkan lagi inti pati Ucapan Dasar Presiden, bukan sahaja dalam konteks parti, tetapi juga dalam konteks pentadbiran dan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya lagi.

Ucapan dasar Presiden UMNO dilihat sebagai isyarat jelas bahawa parti itu kini berada dalam fasa pembaharuan dan konsolidasi, sejajar dengan cabaran politik semasa dan keperluan untuk memperkukuh sokongan akar umbi.

#UMNOPembaharuan #RumahUMNO #PenyatuanMelayu #PemudaUMNO #PAU2025 #UMNOSelangor #PolitikSemasa #BangkitBersatu #BeritaAAC #SuaraPemuda