Day: January 8, 2026

KUALA LUMPUR, 7 Januari 2026 – Isu rentetan peletakan jawatan beberapa tokoh politik kebelakangan ini, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terbaru Datuk Seri Saifuddin Abdullah, mencetuskan spekulasi sama ada wujud gerakan politik baharu atau cubaan ‘tebuk atap’ bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Namun menurut Ridzuan Ikhlas, Sekretariat Ikhlas Malaysia, sebarang usaha untuk menjatuhkan kepimpinan negara ketika ini disifatkan sukar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat semakin kukuh dan matang dalam mengemudi pentadbiran negara.

Beliau menegaskan bahawa walau apa jua percaturan politik dilakukan, Datuk Seri Anwar dijangka terus kekal sebagai Perdana Menteri, malah berpotensi memimpin sehingga penggal kedua.

“Apa yang saya lihat, tebuk atap macam mana pun, Datuk Seri Anwar masih akan kekal sebagai Perdana Menteri. Ramai sudah cuba pelbagai cara untuk menjatuhkan beliau, namun setakat ini gagal,” katanya.

Ridzuan turut mengimbas latar belakang politik Perdana Menteri yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali gus membentuk ketahanan dan kematangan politik Anwar dalam menghadapi tekanan dalaman serta luaran.

Menurutnya lagi, selepas tiga tahun menerajui kerajaan, pergerakan dan pendekatan Perdana Menteri dilihat semakin tersusun, kukuh dan berstrategi dalam menangani isu-isu besar negara.

Dalam masa sama, beliau mengkritik ancaman beberapa parti komponen termasuk DAP yang dikatakan mengugut untuk keluar kerajaan sekiranya isu pengiktirafan UEC tidak diluluskan, serta kenyataan segelintir pihak dalam UMNO yang mahu meninggalkan Kerajaan Perpaduan walaupun Muafakat Nasional masih belum mendapat kelulusan ROS.

“Ini menimbulkan persoalan besar – siapa sebenarnya mahu membela rakyat? Atau semua sibuk dengan agenda politik dan jawatan?” soalnya.

Ridzuan turut menyentuh kegagalan beberapa kerajaan negeri, khususnya di Kedah, yang menurutnya gagal menjana ekonomi sehingga terpaksa menaikkan cukai pintu dan membebankan rakyat.

Beliau mendakwa kegagalan pentadbiran negeri dalam merancang ekonomi menyebabkan rakyat menjadi mangsa, sedangkan wakil rakyat seharusnya berfungsi melindungi dan membela kepentingan rakyat.

“Politik mungkin nampak berjaya, tetapi dari segi ekonomi, rakyat terus terhimpit,” katanya lagi.

Dalam nada lebih tegas, Ridzuan memberi amaran bahawa ketidaktentuan politik yang berpanjangan boleh membawa negara ke arah ketegangan yang lebih serius jika tiada kesatuan nasional dibina.

Beliau menekankan keperluan mewujudkan satu kuasa besar dan bersatu demi kestabilan negara, sambil mengingatkan bahawa kegagalan berbuat demikian boleh membawa implikasi besar kepada masa depan Malaysia.

PolitikMalaysia #TebukAtap #PMX #AnwarIbrahim #KerajaanPerpaduan #KrisisPolitik #BelaRakyat #IsuRakyat #BeritaAAC #PolitikSemasa

KUALA LUMPUR, 8 Januari 2026 – Aktivis sosial terkenal, Dato’ Dr Kalaivanar hari ini meluahkan rasa dukacita dan kekecewaan serius terhadap kegagalan sebahagian menteri serta kementerian menjalankan tugas dalam menyantuni masalah rakyat, khususnya golongan marhaen.

Dalam kenyataan awam yang dikeluarkan petang ini, beliau mendedahkan pengalaman peribadi berurusan dengan beberapa kementerian yang menurutnya langsung tidak profesional, termasuk kegagalan pegawai dan setiausaha politik menjawab panggilan telefon walaupun berkaitan isu rakyat yang mendesak.

“Dulu, 20 tahun lepas, kita telefon kementerian, mereka jawab dan jalankan tugas secara profesional. Hari ini, dari pagi sampai petang telefon tak dijawab. Apa guna lantik pegawai khas dan setiausaha politik?” soalnya.

Dato’ Dr Kalaivanar turut membangkitkan isu serius melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila seorang warga Islam didakwa hidup selama 16 tahun tanpa kad pengenalan, malah lebih mengejutkan apabila sijil kematian telah dikeluarkan walaupun individu tersebut masih hidup.

Walaupun siasatan JPN kemudiannya dijalankan, mangsa dikatakan dipanggil menjalani ujian DNA dengan bayaran RM1,900, sesuatu yang dianggap tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.

“Ini kecuaian JPN. Kenapa mangsa yang tiada identiti, tiada pekerjaan, perlu tanggung RM1,900? Sepatutnya JPN bertanggungjawab sepenuhnya,” tegas beliau.

Mengulas lebih jauh, Dato’ Dr Kalaivanar menegaskan bahawa banyak isu rakyat hanya mendapat perhatian selepas demonstrasi diadakan, sekali gus mencerminkan kegagalan sistem penyampaian kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan penubuhan satu wadah politik baharu dikenali sebagai ‘BARISAN BEBAS BERSATU’, yang akan menghimpunkan individu-individu prihatin, konsisten dan benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), sekiranya diberi keizinan dan sokongan rakyat.

“Menang atau kalah bukan soal besar. Yang penting kita buat kerja. Negara ini terlalu banyak konspirasi, rasuah bermaharajalela. Kita perlukan satu wadah baharu untuk generasi akan datang,” katanya.

Gerakan awal BARISAN BEBAS BERSATU dilaporkan telah bermula di Sabah, dengan sasaran membina alternatif politik yang lebih bersih, berani dan berteraskan kepentingan rakyat marhaen.

#BeritaAAC #RakyatMarhaen #GagalUrusTadbir #JPNMalaysia #SuaraRakyat #LawanRasuah #BarisanBebasBersatu #PolitikBersih #BangkitRakyat #PRUAkanDatang