Day: January 24, 2026

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar mendakwa isu kerosakan berulang sistem Aerotren bukan sahaja mencerminkan kegagalan pengurusan, malah membuktikan tahap profesionalisme menteri-menteri di bawah Kerajaan Madani, khususnya daripada DAP, berada pada tahap yang membimbangkan.

Menurut beliau, kerosakan Aerotren yang berulang kali berlaku telah mengakibatkan kerugian besar melibatkan dana awam, dengan perbelanjaan mencecah hampir setengah juta ringgit, wang yang disifatkannya sebagai “duit rakyat”.

“Ini adalah sejarah paling memalukan dalam Malaysia. Menteri paling angkuh yang pernah kita lihat adalah di bawah kerajaan Madani, khususnya daripada DAP,” katanya ketika mengulas pertanyaan wartawan berhubung isu Aerotren yang sering mengalami kerosakan.

Dato’ Dr Kalaivanar turut mendakwa beberapa memorandum yang dihantar kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pengangkutan langsung tidak diberi perhatian, termasuk memorandum berkaitan isu lori dan pengangkutan awam.

Beliau secara terbuka menamakan Nga Kor Ming dan Anthony Loke sebagai menteri yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan, sambil mempersoalkan sikap berdiam diri kedua-dua pemimpin tersebut terhadap isu yang menjejaskan kepentingan rakyat.

“Kalau dulu DAP ada maruah. Isu kecil pun pemimpin mereka sanggup letak jawatan. Hari ini, walaupun ratusan ribu duit rakyat hangus, mereka masih berpegang pada jawatan,” katanya lagi.

Tambah beliau, kegagalan menjawab memorandum dan isu berlarutan ini mencerminkan keangkuhan serta sikap tidak bertanggungjawab menteri-menteri terlibat, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap makna sebenar konsep ‘Madani’ yang sering dilaungkan kerajaan.

Dato’ Dr Kalaivanar menegaskan, jalan paling mudah dan bermaruah adalah dengan meletakkan jawatan bagi memberi peluang kepada individu lain yang lebih layak dan profesional untuk memikul amanah rakyat.

#BeritaAAC #IsuAerotren #DuitRakyat #KerajaanMadani #DAP #LetakJawatan #SuaraRakyat #Ketirisan #MalaysiaTerkini #BeritaPanas

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) disifatkan berada pada landasan tepat untuk kembali menjadi wadah politik utama negara susulan kejayaan membawa semula Parti Progresif Penduduk (PPP) sebagai komponen rasmi gabungan itu.

Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, berkata perkembangan tersebut membuktikan kepimpinan BN di bawah Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semakin kukuh dan berkesan.

“Pertama sekali saya ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden kita kerana berjaya membawa balik PPP. Kini BN mempunyai lima parti komponen dan ini satu permulaan yang baik dalam membentuk semula kekuatan gabungan ini,” katanya ketika mengulas isu penjenamaan semula BN.

Mengulas kenyataan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa menerima MIC sebagai komponen mereka, Dr Azam menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan sekadar percubaan untuk mencetuskan kekeliruan politik.

“Bagi saya, ini ibarat orang berangan. Belum jatuh talak, mahkamah belum buat keputusan, tapi sudah pergi meminang di tempat lain. Hakikatnya, imej BN dan UMNO kini semakin kuat sebagai wadah perpaduan bangsa,” ujarnya.

Menurut beliau, segala isu dalaman MIC telah diselesaikan oleh kepimpinan tertinggi BN dan perkara itu seharusnya dihormati oleh semua pihak.

“Saya pegang satu sahaja – bila Presiden BN kata isu MIC sudah selesai, maka itu yang kita ambil. Kenyataan lain hanyalah hasad dengki untuk memecah-belahkan Barisan Nasional,” katanya lagi.

Dr Azam turut menegaskan BN tidak boleh lagi bersikap pasif dan perlu bergerak agresif dari sekarang dalam membina naratif politik yang kukuh menjelang kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita tak boleh tunggu sampai bubar baru nak gerak. Masa adalah penentu kejayaan atau kegagalan dalam politik. Solidariti, kesatuan dan semangat persefahaman dalam BN mesti dibetulkan dan diperkukuh dari sekarang,” katanya.

Beliau optimis pendekatan inklusif BN, termasuk menerima parti-parti ‘Friends of Barisan Nasional’, akan menarik lebih banyak sokongan termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Lagi ramai yang bersama BN, lagi baik. Percayalah, dengan niat memastikan negara ini terus maju, Barisan Nasional akan kembali menjadi teraju utama pentadbiran negara,” katanya.

#BeritaAAC #PolitikMalaysia #BarisanNasional!#UMNO #PPP #MIC #PRU16 #SolidaritiBN #IsuSemasa #PolitikTerkini

KUALA LUMPUR, 23 Januari 2026 – Penangguhan pembentangan Urban Renewal Act (URA) dibuat bagi memastikan rang undang-undang tersebut lebih menyeluruh, inklusif dan benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat sebelum dibentangkan semula di Parlimen.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penangguhan itu bertujuan memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk meneliti serta memasukkan 14 saranan utama yang telah dibincangkan dan dikonvensyenkan dalam satu konvensyen anjuran UMNO Wilayah.

Konvensyen tersebut disertai oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli profesional, serta individu-individu yang komited untuk memperkukuhkan pelaksanaan dan hala tuju Urban Renewal Act agar ia lebih adil, telus dan berpaksikan kebajikan rakyat.

Langkah ini dilihat sebagai pendekatan proaktif bagi mengelakkan sebarang kelemahan atau bantahan awam, khususnya dalam isu pembaharuan bandar yang melibatkan hak pemilik hartanah, komuniti setempat serta masa depan pembangunan bandar.

URA dijangka akan dibentangkan semula dalam sidang Parlimen akan datang, selepas semua saranan tersebut diperhalusi dan dipertimbangkan secara menyeluruh oleh pihak berkaitan.

Penangguhan ini sekaligus mencerminkan komitmen kerajaan dan pembuat dasar untuk memastikan setiap undang-undang yang digubal benar-benar melalui proses libat urus awam sebelum dikuatkuasakan.

#URA #UrbanRenewalAct #IsuRakyat #PembangunanBandar #HakPemilik #NGOBersuara #UMNOWilayah #ParlimenMalaysia #BeritaAAC #SuaraRakyat