
KUALA LUMPUR, 22 Mei 2026 – Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) mendesak pihak polis memberi perhatian serius terhadap beberapa kes gangguan ahlong yang didakwa semakin membimbangkan, termasuk melibatkan penjawat awam, pasangan suami isteri serta seorang wanita dari Johor yang berdepan tekanan berpanjangan walaupun sudah membuat bayaran jauh melebihi jumlah pinjaman asal.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamudin Hashim berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada mangsa ahlong yang bukan sahaja dibebani tuntutan bayaran melampau, malah turut diganggu di rumah, tempat kerja dan premis perniagaan.
Menurut beliau, kes pertama melibatkan seorang penjawat awam yang pada asalnya hanya meminjam lebih RM3,000, namun didakwa telah membayar lebih RM40,000. Mangsa kemudian terus ditekan supaya membayar tambahan RM40,000 lagi melalui pinjaman berangkai atau pinjaman bertindih.
“Masalahnya, gangguan datang kepada keluarga dia, termasuk keluarga mertua. Akhirnya, dia buat laporan polis dan meminta maklum balas daripada pegawai penyiasat,” katanya.
Hishamudin berkata, mangsa telah menghantar beberapa surat di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah bagi mendapatkan maklum balas bertulis daripada pegawai penyiasat, namun mendakwa masih belum menerima jawapan sewajarnya.
Beliau menjelaskan, maklum balas polis amat penting kerana pembukaan kertas siasatan boleh memberi kesan besar kepada keselamatan mangsa. Katanya, sekiranya laporan dibuat tetapi kertas siasatan tidak dibuka, gangguan terhadap mangsa dikhuatiri bertambah buruk.
“Saya minta pegawai penyiasat jangan tidak buka laporan polis. Kertas siasatan dibuka atau tidak bukan kerana ada lead atau tidak, tetapi kerana elemen jenayah itu berlaku atau tidak. Dalam kes ini, apabila pinjaman wang tidak berlesen berlaku, sewajarnya siasatan dibuka,” katanya.
Dalam kes kedua, Hishamudin berkata seorang lelaki dikenali sebagai Daniel dari Seri Kembangan turut mengalami gangguan selepas isterinya meminjam sekitar RM3,500. Walaupun sudah membayar RM4,000, mangsa didakwa masih dituntut membayar sehingga RM40,000.
Katanya, keadaan menjadi lebih serius apabila rumah mangsa didakwa telah dibaling cat sebanyak dua kali, manakala rumah jiran pula turut menjadi sasaran dengan kejadian balingan api.
Sementara itu, kes ketiga melibatkan seorang wanita dikenali sebagai Madam Liew dari Johor yang didakwa meminjam RM80,000, namun telah membayar sehingga RM1.2 juta. Lebih mengejutkan, rumah miliknya yang bernilai kira-kira RM1.6 juta didakwa telah dipindah milik kepada pihak ketiga melalui proses dokumen pindah milik.
“Walaupun sudah bayar RM1.2 juta, ahlong masih minta lagi RM400,000. Sekarang tempat kerja dan tempat perniagaan dia pula diganggu,” katanya.
Hishamudin turut meluahkan kebimbangan apabila ada mangsa mendakwa mereka diberitahu seolah-olah pihak berkuasa tidak boleh mengambil tindakan kerana kes tersebut dianggap sebagai urusan pinjaman. Menurut beliau, pandangan sedemikian tidak tepat kerana gangguan, ugutan dan pemerasan tetap merupakan kesalahan undang-undang.
Beliau berkata, gangguan oleh pemberi pinjam wang atau ejen pemberi pinjam boleh disiasat di bawah Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang, selain turut melibatkan elemen pemerasan di bawah Seksyen 383 Kanun Keseksaan dan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Gangguan itu satu kesalahan. Ia boleh ditangkap, disiasat dan dituduh di mahkamah. Negara kita ada rule of law, jadi tindakan mesti berasaskan undang-undang,” tegasnya.
MHO berharap pihak berkuasa mengambil pendekatan lebih tegas dan proaktif bagi melindungi mangsa ahlong serta memastikan sindiket pinjaman wang tidak berlesen dan ejen kutipan hutang yang menggunakan kekerasan atau ugutan tidak terus berleluasa.
#BeritaAAC #AhlongMakinBerani #MHO #HentikanGangguanAhlong #RuleOfLaw