
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan taktik licik sindiket pemerdagangan manusia yang kini bukan sahaja memperdaya rakyat tempatan ke luar negara, malah mula bertapak dan membuka ‘hub’ operasi scam mereka di dalam Malaysia.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamudin Hashim berkata, trend terbaharu ini amat membimbangkan dan jika tidak dibendung segera, Malaysia berisiko menjadi hub transit pemerdagangan manusia dan pusat penipuan dalam talian (scam online) yang memalukan imej negara.

”Kalau sebelum ini kita sering mendengar kes di Cambodia, Laos, dan Myanmar, kita bimbang satu hari nanti NGO luar negara pula yang akan bercakap tentang Malaysia sebagai pusat scam.
”MHO menyeru pihak berkuasa dan orang awam atau whistleblower (pemberi maklumat) untuk tampil mendedahkan lokasi pusat operasi ini supaya tindakan serbuan segera dapat dilakukan oleh pihak polis,” tegas beliau dalam satu sidang media.
Ditipu Kerja Ke Rusia, Tersangkut Di Poipet
Mengulas mengenai kes terbaharu, Hishamudin berkongsi kisah tragis melibatkan lapan anak muda dari Johor termasuk seorang mangsa berusia 20 tahun, anak kepada seorang wanita bernama Puan Ayu.
Mereka pada mulanya ditawarkan pekerjaan sektor kontena di Rusia dengan gaji lumayan, namun setibanya di sana, mereka dilarikan ke Phnom Penh sebelum dikurung di sebuah scam center di Poipet, Cambodia untuk dieksploitasi sebagai scammer.
Bagi menyelesaikan kes ini, MHO sedang menggerakkan kerjasama erat bersama Task Force Cambodia dan Kementerian Dalam Negeri (MOI) negara tersebut untuk mengesan kedudukan mangsa.
Wang Tebusan Cecah RM100,000, MHO Nasihat Jangan Bayar
Dalam kes kedua melibatkan seorang mangsa lelaki (abang kepada Miss Lee), mangsa yang sebelum ini bekerja sebagai khidmat pelanggan di Cambodia telah diperdaya rakannya untuk ke Bangkok, Thailand atas alasan tawaran kerja lain.
Bagaimanapun, mangsa telah diculik dan dibawa masuk ke kawasan bergolak Myawadi, Myanmar melalui sempadan Mae Sot. Mangsa dipaksa bekerja di pusat scam ‘Heng Seng’ sejak tahun 2024 sehingga kini.
Lebih parah, sindiket tersebut mula menuntut wang tebusan daripada keluarga bermula RM50,000 dan kini meningkat sehingga RM100,000.
”Nasihat MHO kepada keluarga, jangan bayar. Walaupun dibayar, tiada jaminan mangsa akan dilepaskan, malah mereka akan terus ditipu. Mangsa sudah pun berputus asa. Kita kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa Thailand untuk berkomunikasi dengan tentera etnik tempatan termasuk Border Guard Force (BGF) dan Karen Democratic Buddhist Army (KDBA) bagi membawa mangsa pulang,” katanya.
Pulang Sehelai Sepinggang, Dedah Sindiket Mula Masuk Malaysia
Sementara itu, seorang bekas mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Rex, tampil berani berkongsi pengalaman ngerinya selepas berjaya pulang ke tanah air sehelai sepinggang.
Mr. Rex sebelum ini ditipu ke Dubai sebelum dibawa merentasi Bangkok, Golden Triangle, dan berakhir di Tai Chi Lake, Myanmar. Dia dipaksa bekerja dan diugut membayar RM60,000 jika mahu dilepaskan.
Menurut Mr. Rex, tujuan dia hadir ke MHO adalah untuk memberi amaran kepada golongan muda agar tidak mudah terpedaya dengan iklan kerja media sosial, selain mendedahkan maklumat mengejutkan bahawa bekas ‘pasukan’ sindiket tempat dia bekerja di Myanmar kini sudah pun mula beroperasi secara haram di beberapa kawasan di Malaysia.
MHO menegaskan komitmen mereka untuk terus memerangi isu ini dan meminta seluruh rakyat Malaysia menjadi mata dan telinga bagi membersihkan negara daripada cengkaman sindiket antarabangsa ini.
– BERITA AAC
#SangkutScam #HumanTrafficking #KrisisMyanmarCambodia #MHO #BeritaAAC