
AMPANG – UMNO Bahagian Ampang menegaskan kesediaan sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam Pilihan Raya, termasuk bersedia bertarung habis-habisan sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak lagi berada di dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua UMNO Bahagian Ampang, Mohamed Nadzim Ibrahim berkata, jentera parti di peringkat akar umbi termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah pun digerakkan dan berada dalam mod bersiap sedia pada bila-bila masa sekiranya diarahkan oleh pucuk pimpinan.
Mengulas mengenai dinamika politik tempatan, beliau melihat situasi semasa memberikan kelebihan kepada UMNO, khususnya melibatkan isu kedudukan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang merupakan Ahli Parlimen Pandan—kawasan yang berjiran dengan Ampang.
Menurut Mohamed Nadzim, spekulasi perpindahan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke kawasan tersebut dilihat bakal mencetuskan pertembungan sengit, selain mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah buntu untuk menentukan kerusi yang sesuai buat Tengku Zafrul.
”Satu pertembungan akan berlaku di antara Zafrul dengan Rafizi. Sebelum ini, Zafrul masuk ke sini (Ampang). Jadi PKR ini tak tahu nak letak Zafrul ini kat mana, nak lawan dengan siapa dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, situasi dalaman PKR juga dilihat mempunyai dinamika tersendiri apabila mendakwa wujudnya perbezaan kem di antara pemimpin utama mereka.
”Kena pula, saya difahamkan YB Rodziah (Ahli Parlimen Ampang) ini bukan bersama dengan kem Anwar, tetapi bersama dengan Rafizi. Jadi pandangan saya, sekiranya kami bukan lagi dalam Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional akan bertanding dalam macam mana sekalipun. Bring it on lah! Apa-apa pun kita akan lawan,” tegas beliau.
Mohamed Nadzim turut menambah bahawa UMNO Ampang tidak pernah gentar menghadapi saingan politik kerana parti itu telah lama menaburkan khidmat bakti kepada masyarakat setempat, biarpun ketika berada dalam fasa dinamika politik yang berubah-ubah.
”Empat hingga lima tahun walaupun dalam Kerajaan Perpaduan, kami ada fungsi kami sebagai UMNO. Jadi whatever it is, kami bersedialah. Insya-Allah, jentera pun dah ready,” katanya lagi.
#PolitikMalaysia #UMNOAmpang #RafiziRamli #TengkuZafrul #BeritaAAC
