
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) wajar diberikan peluang untuk terus menerajui pentadbiran Negeri Johor demi memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan politik.
Mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menegaskan, Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman, dan berupaya meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
Beliau mengariskan enam faktor utama mengapa formula pentadbiran BN ketika ini merupakan pilihan terbaik untuk bumi Johor:
Kestabilan Politik & Identiti Bangsa Johor: Kestabilan yang dinikmati membolehkan dasar negeri berjalan lancar, diperkukuhkan lagi dengan semangat kebersamaan ‘Bangsa Johor’ yang menyatukan rakyat pelbagai latar belakang.
Payung Institusi Kesultanan: Kepimpinan serta peranan DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) meletakkan Johor sebagai sebuah negeri yang disegani di peringkat antarabangsa.
Impak Ekonomi & Kebajikan Rakyat: Keupayaan kerajaan negeri menarik pelaburan bertaraf tinggi, membuka peluang pekerjaan, serta penyampaian bantuan kebajikan yang efektif dalam meringankan kos sara hidup.
Prestasi Cemerlang Menteri Besar: Kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi bersama barisan Exco yang profesional, bekerja keras, dan komited menyelesaikan isu-isu rakyat di peringkat akar umbi.
”Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi negeri paling maju di Malaysia. Justeru, kesinambungan kepimpinan yang stabil, berwibawa dan berfokus kepada rakyat adalah penting bagi memastikan agenda kemajuan negeri terus diperkasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerjasama Politik Terpilih & Tegas Dengan Kerajaan Persekutuan
Mengulas mengenai landskap politik masa hadapan, Muqharabbin berpandangan sebarang bentuk kerjasama politik baharu mestilah dibuat secara terpilih. Menurutnya, ia wajib berasaskan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri, bukan sekadar survival politik semata-mata.
Pada masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan negeri untuk terus berani dan tegas dalam menyuarakan hak rakyat Johor kepada Kerajaan Persekutuan, terutamanya melibatkan isu sensitif dan berkepentingan tinggi.
”Kerajaan negeri perlu terus memperjuangkan kepentingan rakyat Johor dengan menyuarakan secara tegas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai isu-isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat, termasuk berkaitan hasil minyak, struktur percukaian serta peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan,” tambah beliau lagi.
#BangsaJohor #MajuJohor #OnnHafiz #BarisanNasional #MediaAAC
