
KUALA LUMPUR – Pengundi di negara ini, khususnya masyarakat India, digesa agar tidak terus terperangkap dalam “sandiwara politik” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang dijangka bakal berlangsung sekitar September atau Oktober ini.
Amaran keras itu disuarakan oleh Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, dalam satu kenyataan video bersama rakan NGO, Encik Kumaran. Beliau mendakwa terdapat cubaan terancang oleh pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menggunakan sentimen populariti tokoh filem Tamil Nadu bagi meraih sokongan politik domestik.
Menurut Dr. Kalaivanar, strategi tersebut dilihat sebagai kesinambungan taktik PRU-15, di mana naratif dan lagu-lagu ikon perfileman legenda, MGR, digunakan secara agresif untuk membuai emosi para pengundi India ketika itu.
”Pada PRU-15 yang lalu, istilah MGR digunakan, siap dengan tarian dan nyanyian. Semua orang India teruja dan percaya kononnya ada reformasi. Tetapi apa yang kita dapat hari ini? Harga barang naik, hutang negara melambung tinggi, dan janji-janji manifesto seperti isu PTPTN kekal menjadi ‘zero’,” katanya dalam satu kenyataan video bertarikh 9 Jun.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan terbaharu, beliau mempersoalkan tindakan Perdana Menteri menghantar Timbalan Menteri Perpaduan Negara ke Tamil Nadu baru-baru ini semata-mata untuk menyampaikan utusan tahniah kepada pelakon popular, Thalapathy Vijay, yang kini menerajui landskap politik di sana. Beliau juga memandang serong lawatan rasmi Perdana Menteri ke India yang dijadualkan pada September ini, yang didakwa turut merangkumi agenda pertemuan peribadi dengan pelakon berkenaan.
Walaupun tidak menghalang hak mana-mana individu untuk meminati mana-mana artis, Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa masyarakat harus bijak memisahkan antara dunia hiburan luar negara dengan realiti politik tanah air yang menentukan masa depan negara.
”Saya juga peminat tegar MGR sejak tahun 1977. Saya tiada masalah sekiranya Vijay mahu datang ke Malaysia, silakan. Tetapi jangan gunakan nama atau kehadiran Vijay sebagai instrumen politik untuk memperbodohkan orang India di sini. Politik Tamil Nadu tidak sama dengan politik Malaysia. Kita sebuah negara berdaulat dengan potensi tersendiri,” tegas beliau.
Persoal Kedudukan Ekonomi dan Dana MITRA
Dalam pada itu, Dr. Kalaivanar turut menzahirkan rasa kesal terhadap status kebajikan masyarakat India di bawah pentadbiran semasa. Beliau mendakwa status peruntukan geran di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang bernilai jutaan ringgit masih gagal memberikan impak yang telus kepada kumpulan sasar.
Malah, beliau mendakwa sektor ekonomi mikro yang dahulunya dikuasai komuniti tempatan kini semakin terjejas dan diambil alih oleh warga asing dari Bangladesh, Nepal, dan Pakistan akibat kelonggaran dasar kerajaan tempatan.
”Ekonomi masyarakat India semakin hari semakin teruk. Malah komuniti lain seperti Rohingya kini sudah berani mencabar kawasan tempatan seperti di Selayang. Jangan sampai kita syok sendiri melayan ‘drama Vijay’, akhirnya masa depan anak cucu kita tergadai.”
Di akhir kenyataannya, beliau menasihati para pengundi marhaen agar tidak lagi menjadi ‘hamba’ kepada bantuan politik bermusim yang hanya hadir lima tahun sekali, seperti agihan barangan keperluan asas pokok.
”Siapa yang bekerja, pilihlah mereka. Walaupun pihak pembangkang (Perikatan Nasional) juga dilihat berada dalam keadaan kucar-kacir, buatlah pilihan secara matang dengan minda yang rasional, bukan bersandarkan emosi hiburan,” katanya.
#BeritaAAC #PRU16 #PolitikMalaysia #ThalapathyVijay #DatoDrKalaivanar
