
KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan dengan rasa kecewa dan terkilan susulan ketiadaan kuota jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta barisan Timbalan Menteri, MIC dipuji kerana memilih untuk kekal setia bersama Barisan Nasional (BN).
Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Syed Nazir menegaskan, kesetiaan yang ditunjukkan oleh MIC dan MCA ketika ini adalah bukti kepercayaan mereka terhadap institusi BN, bukannya secara khusus kepada UMNO.
Memetik senario politik semasa, beliau mengakui wujud desas-desus sebelum ini yang mengaitkan MIC dengan perpindahan ke blok Perikatan Nasional (PN) ekoran rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi parti tersebut.
”Dia orang memberi kepercayaan. Yelah kalau orang kata marah, memanglah marah. Rasa kecewa, memanglah rasa kecewa. Kalau kita tengok ada satu konvensyen yang dibuat oleh MIC tempoh hari, di mana dia orang menyuarakan GLC tak dapat, Timbalan Menteri tak dapat,” katanya dalam satu temu bual eksklusif.
Bagaimanapun, Syed Azmi menyifatkan isu pengagihan jawatan tersebut sebagai ketentuan rezeki dan takdir.
”Itu semua kehendak Allah. Kalau itu tempat kamu, tempat kamu lah,” jelas beliau lagi.
Mengulas lanjut mengenai tindakan parti komponen lain seperti Gerakan yang telah keluar lebih awal, Syed Azmi memberikan penghormatan tertinggi kepada pucuk pimpinan MIC kerana tidak mengambil jalan mudah untuk melompat parti, sebaliknya terus mempertahankan solidariti di bawah kepimpinan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
”Saya menghormati keputusan MIC di mana mereka tak keluar lah daripada Barisan Nasional masuk kepada PN. So satu tahniah kita kena beri kepada pucuk pimpinan MIC,” ujarnya menutup bicara.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #BarisanNasional #MICSetia #ZahidHamidi
