
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2026 – Parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan digesa untuk menghentikan naratif lapuk mencari kesalahan pihak lain, sebaliknya memfokuskan kepada kelebihan calon dan realiti yang dimahukan oleh rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh menegaskan bahawa pendekatan politik matang dan bijaksana amat diperlukan bagi menjamin keharmonian pentadbiran, khususnya dalam menyelesaikan isu-isu sensitif yang melibatkan institusi istana dan undang-undang.
Menurut beliau, keputusan yang diambil oleh UMNO sebelum ini bukanlah tindakan meluru, sebaliknya telah dikaji secara mendalam memandangkan krisis di negeri tersebut telah berlanjutan selama lebih setahun setengah.
”Bagi pandangan saya, kita berpolitik ini tidak payahlah mencari salah sebab kita pun bersama (dalam kerajaan). Seeloknya kita cerita pasal kelebihan calon-calon kita sahaja.
”Untuk kita mentadbir secara bijaksana di Negeri Sembilan ini, ia kena ada toleransi, perbincangan, dan keharmonian untuk menjernihkan apa sahaja yang terjadi. Kebijaksanaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) selama ini adalah mengambil langkah berbincang, bukannya menyelesaikan masalah dengan pertengkaran atau menunjukkan kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan-ucapan pemimpin Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini yang dilihat cuba meletakkan kesalahan kepada kepimpinan UMNO serta membina naratif negatif kononnya parti itu tamak kuasa.
Bukan Agenda Rampas Kuasa
Mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut, beliau menafikan sebarang agenda untuk merampas kuasa secara mutlak di Negeri Sembilan, memandangkan kedudukan kerusi semasa yang sedia maklum.
”Kita tahu kedudukan kita di Negeri Sembilan, kita hanya pegang 14 kerusi dan mereka (PH) mempunyai majoriti di sana. Jadi perkara ini patut dilihat secara terbuka, bukan terus-menerus menggunakan rakyat dan meletakkan naratif negatif seolah-olah kami ini hanya mahu berkuasa,” jelas beliau.
Sambil menyifatkan strategi politik fitnah dan janji manis sebagai perkara yang sudah ‘basi’ di mata rakyat, beliau menyeru agar semua pihak berkempen secara sihat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bidas Isu Pembaziran RM90 Juta & ‘Salah Formula’
Dalam pada itu, beliau turut membidas pihak lawan yang menggunakan isu kos pilihan raya sebanyak RM90 juta sebagai modal untuk menghasut rakyat, menyamakannya dengan situasi yang pernah berlaku di PRN Johor sebelum ini.
”Kononnya kita membazirkan duit rakyat… Kadang-kadang kita pelik, kalau hari ini kita buat pilihan raya (kosnya) RM90 juta, tahun depan pun tetap RM90 juta. Jadi apa yang hendak dihasut kepada rakyat kononnya ia satu kerugian? Sampai tersalah formula.
”Jadi tak perlu hasut-hasut rakyat lagilah, berhentilah,” tegasnya lagi.
Beliau berharap agar mandat penuh diserahkan semula kepada rakyat untuk memilih kepimpinan terbaik tanpa perlu dicemari dengan agenda politik yang tidak sihat.
#PRNNegeriSembilan #PolitikMatang #UMNO #BeritaAAC #IsuSemasa
