
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) bersama sekumpulan pengusaha lori dari seluruh negara hari ini mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengkaji semula pemotongan mendadak kuota subsidi diesel yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu.
Aktivis Sosial SBKN, Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan, tindakan mengurangkan subsidi diesel daripada 3,999 liter kepada hanya 1,200 liter sebulan bagi lori berkapasiti 5 dan 10 tan telah menjejaskan rantaian industri logistik negara serta mengancam kelangsungan hidup para pengusaha lori.
Menurut beliau, dengan harga diesel semasa mencecah RM4.67 seliter, jumlah kuota baharu itu hanya membolehkan lori beroperasi sekitar 7 hari sahaja berbanding tempoh biasa iaitu 26 hari sebulan.
”Jika kuota subsidi ini habis, pengusaha terpaksa memakirkan lori mereka. Persoalannya, siapa yang akan membayar ansuran bank untuk lori, rumah, cukai pendapatan, gaji pemandu, dan perbelanjaan sara hidup keluarga serta pendidikan anak-anak mereka?
”Jangan disebabkan kegagalan mengawal ketirisan dan kecurian diesel, pengusaha lori tempatan pula yang menjadi mangsa dan dibebankan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Kesal Menteri Didakwa ‘Kurang Turun Padang’ Di Semenanjung
Dalam kenyataan sama, Dr. Kalaivanar turut meluahkan rasa kesal terhadap Menteri KPDN, YB Datuk Armizan Mohd Ali yang didakwa kurang meluangkan masa untuk turun padang melihat sendiri penderitaan pengusaha lori di kawasan Semenanjung Malaysia, khususnya di Selangor, Wilayah Persekutuan, dan Johor.
Beliau turut memetik nama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan mengingatkan kepimpinan Kerajaan Madani agar tidak melupakan jasa golongan pemandu serta pengusaha lori yang pernah memberikan sokongan padu semasa Pilihan Raya Umum lalu.
Turut hadir memberikan sokongan moral dalam sidang media tersebut adalah barisan pengusaha lori merangkumi pelbagai latar belakang kaum termasuk Encik Hiran Singh, Encik Parwin, Mr. Guna, Encik Hamim, dan Encik Hakim.
Amaran 7 Hari Guna Budi Bicara
Bagi mengelakkan implikasi yang lebih buruk terhadap ekonomi negara—termasuk risiko lumpuhnya sektor pengangkutan barang sekiranya pengusaha bertindak menghentikan operasi secara besar-besaran—SBKN memberikan tempoh selama tujuh (7) hari kepada pihak kementerian untuk tampil dengan jalan penyelesaian.
”Kami bukan berniat mengancam atau memberi amaran keras, tetapi ini adalah rayuan dan tuntutan demi periuk nasi rakyat marhein. Kami mohon budi bicara menteri untuk mengkaji semula perkara ini secara profesional dan mengembalikan kuota subsidi sedia kala demi kesejahteraan bersama,” tambah beliau.
#SubsidiDiesel #PengusahaLoriMerana #KPDN #MenteriTidur #BeritaAAC
