
BENUT, PONTIAN 26 Jun 2026 – Keutuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat akar umbi terus berdepan ujian besar apabila sekumpulan besar ahli-ahli muda parti itu di kawasan Benut dan Pontian mengumumkan keluar parti untuk menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Keputusan tersebut dibuat secara sukarela menerusi satu majlis penyerahan borang keahlian UMNO yang diserahkan kepada Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, baru-baru ini.

Menurut salah seorang bekas pemimpin muda Bersatu yang juga bekas Ketua Armada Bersatu Bahagian Pontian, tindakan itu telah lama direncanakan berikutan pelbagai pergolakan dan ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kepimpinan Bersatu sendiri.
”Kami golongan muda di Pontian berasa agak berkecamuk dengan keadaan (dalam Bersatu). Sehinggalah tertubuhnya NGO seperti Reset dan Wawasan Negara, kami melihat arah tuju parti semakin cacamrba, ditambah pula dengan putusnya hubungan antara Bersatu dengan PAS.”

”Kami melihat kestabilan itu tiada lagi. Sebaliknya demi UMNO dan BN Johor, serta demi Menteri Besar Johor, kami anak-anak muda dan bekas-bekas Armada Pontian mengambil keputusan matang untuk kembali menyokong UMNO bagi memastikan kestabilan politik negara terus kekal,” katanya dalam satu temubual.
Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ucapannya menzahirkan rasa penghargaan yang tinggi atas solidariti dan keberanian anak-anak muda terbabit yang memilih untuk kembali memartabatkan perjuangan agama, bangsa, dan tanah air (ABATA) bersama UMNO.

Beliau turut menegaskan bahawa sebahagian besar gerak kerja pembangunan di kawasan tersebut, termasuk kemudahan jalan raya, klinik, serta sekolah, adalah hasil usaha dan sumbangan berterusan daripada kepimpinan UMNO sebelum ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N53 Benut, Dato’ Mohd Sumali Reduan, yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dengan ketiadaan calon daripada PAS di DUN Benut dan DUN Pulai Sebatang, kepimpinan UMNO Johor menaruh keyakinan tinggi bahawa undi masyarakat Melayu tidak akan berpecah, sekali gus mampu menjamin kemenangan mutlak bagi kedua-dua calon BN pada 11 Julai ini.
#PRNJohor #PolitikMalaysia #UMNOJohor #BarisanNasional #AnakMudaBangkit
