
KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh digesa untuk bersikap lebih profesional dan mengambil pendekatan matang dalam menangani isu kekurangan tanah pekuburan Islam di ibu kota, berbanding memilih ‘jalan pintas’ dengan membuat laporan polis.
Hussein Zulkarai dari NGO Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat KL berkata, isu melibatkan tanah kubur bukan sekadar isu rakyat biasa, sebaliknya ia merupakan isu sensitif berkaitan agama yang memerlukan perbincangan skop yang lebih besar.
Menurut beliau, isu tersebut hangat diperkatakan semula selepas Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Ghulam Muzaffar, menyuarakan keraguan dan persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat Islam setempat.
”Kita faham dalam Kuala Lumpur ini tanah pekuburan tidak mencukupi, kita orang Islam faham. Namun, kami melihat perkara ini tidak seharusnya dipanjangkan sehingga ada yang mahu membuat laporan polis.
”Kebiasaannya bila laporan polis dibuat, perkara ini kemungkinan besar selesai di mahkamah. Jadi pandangan kami di sini, kenapa tidak YB Hannah Yeoh meniru atau memikirkan sesuatu seperti yang pernah dilakukan oleh YB Johari Abdul Gani terhadap isu Konvensyen URA (Akta Perancangan Wilayah Persekutuan) sebelum ini?” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata sewaktu isu URA dibangkitkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini, Datuk Seri Johari Abdul Gani telah mengambil pendekatan proaktif dengan memanggil sesi town hall bersama semua penduduk yang mahu hadir.
Langkah itu jelasnya, memberi ruang kepada orang ramai untuk menerangkan situasi, memberikan pandangan, idea, serta mencari keputusan terbaik dan bermanfaat untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Justeru, Hussein mencadangkan agar Hannah Yeoh melaksanakan sesi perjumpaan dan town hall serupa dengan melibatkan semua pengurusi masjid, surau, persatuan penduduk, serta NGO Melayu dan Islam untuk membentangkan dan membincangkan kewajaran isu tanah kubur ini secara telus sebelum membuat keputusan akhir.
”Tak perlulah nak lapor polis atau ambil tindakan. Pada saya YB Hannah Yeoh patut bersikap profesional. Tak sewajarnya seorang menteri, apabila ada aduan atau pertanyaan daripada publik, mengambil pendekatan jalan pintas dengan lapor polis dan biarkan polis siasat. Itu bukan ‘level’ menteri.
”Menteri yang ada sekarang perlu laksanakan pendekatan berbincang. Benda boleh bincang, tak perlu nak panjangkan kerana bila dipanjangkan, ia akan menjadi hal (masalah lebih besar),” tegasnya.
#IsuTanahKubur #HannahYeoh #JohariGani #BeritaAAC #KualaLumpur
