
SEREMBAN , 30 Julai 2026 – Lebih 800,000 pengundi di Negeri Sembilan dijangka bakal menyaksikan perubahan kepimpinan negeri menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pemerhati politik, Dr. Norman Sapar menjangkakan Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) berpeluang mencerahkan peluang untuk membentuk kerajaan negeri baharu yang lebih stabil.
Menurut beliau, pemerhatian di lapangan sepanjang tempoh kempen menunjukkan majoriti rakyat mahukan perubahan kepimpinan serta menuntut sebuah kerajaan yang tidak berpolitik sepanjang masa.
”Rakyat mahukan kestabilan. Saya menjangkakan perubahan kepimpinan di Negeri Sembilan akan berlaku, walaupun laluannya mungkin sedikit mencabar berbanding di Johor.
”Namun, saya yakin Negeri Sembilan akan diperintah oleh kerajaan gabungan Barisan Nasional bersama parti-parti daripada Perikatan Nasional bagi membetulkan semula kecelaruan yang berlaku sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam sesi temubual Sembang Kopi.
Mengulas mengenai potensi kerjasama BN dan PN, Dr. Norman menjelaskan bahawa bibit-bibit penyatuan tersebut telah mula kelihatan sejak PRN Johor dan kini diterjemahkan secara berperingkat dalam PRN Negeri Sembilan.
Beliau turut berkongsi pemerhatian sewaktu menghadiri satu majlis di Kampung Teluk, DUN Linggi baru-baru ini, di mana pimpinan daripada BN dan PN dari pelbagai negeri seperti Johor dan Selangor dapat duduk bersama dalam satu meja.
”Perkara seperti inilah yang sebenarnya didahagakan oleh rakyat—penyatuan ummah dan perbincangan hala tuju demi kepentingan bersama. Kerjasama ini dijangka akan menjadi lebih jelas menjelang PRN Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU),” tambah beliau lagi.
Meskipun mungkin tiada kerjasama secara rasmi di atas kertas buat masa ini, beliau optimis pentadbiran baharu Negeri Sembilan kelak akan dijana menerusi gabungan kekuatan kedua-dua parti berkenaan.
#PRNNegeriSembilan #PenyatuanUmmah #PolitikMalaysia #BeritaAAC #SembangKopi
