
KUALA LUMPUR — Golongan muda khususnya Generasi Z (Gen Z) kini dilihat semakin matang dan berupaya membuat penilaian objektif terhadap senario politik negara, bukannya lagi sekadar terpengaruh dengan persepsi keji atau kebencian.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari berkata, perubahan trend tersebut jelas kelihatan di platform media sosial seperti Threads, di mana anak muda mula menzahirkan sokongan secara terbuka terhadap ‘gelombang biru’ (Barisan Nasional).
Menurut beliau, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya lalu adalah disebabkan golongan Gen Z pada ketika itu dirosakkan dengan persepsi negatif serta momokan kebencian yang ditanam oleh pihak lawan.
”Dulu mereka tidak ada peluang untuk menilai kedua-dua pihak (kedua-dua belah). Mereka hanya ditanam dengan kebencian dan persepsi negatif terhadap Barisan Nasional.
”Namun hari ini, selepas melalui fasa pentadbiran yang berbeza, mereka boleh buat penilaian dan perbandingan sendiri. Ternyata pada pandangan mereka, dasar-dasar Barisan Nasional terdahulu adalah jauh lebih baik,” katanya.
Dato’ Rosni menegaskan bahawa Gen Z merupakan golongan yang bijak membaca peluang dan sentiasa dahagakan masa depan yang lebih meyakinkan.
Jelas beliau, peralihan sokongan ini didorong oleh keinginan anak muda yang mahukan kestabilan politik, jaminan peluang pekerjaan, serta masa depan yang lebih terjamin.
”Kita jangan menganggap remeh (underestimate) kemampuan Gen Z. Mereka membaca dan pandai menilai apa yang terbaik untuk masa depan mereka,” tambah beliau lagi.
#BeritaAAC #GenZGelombangBiru #WanitaUMNO #PolitikMalaysia #SuaraAnakMuda
