
KUALA LUMPUR — Ketuan Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari menyoal tindakan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa meraih ‘undi popular’ dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, sambil menyifatkannya sebagai alasan untuk menutup kelemahan dan kekalahan gabungan tersebut.
Mengulas dakwaan pihak lawan yang mendakwa memperoleh sekitar 250,000 undi berbanding Barisan Nasional (BN) sekitar 227,000 undi, beliau mempertikaikan kaedah matematik yang digunakan oleh PH.
“Saya tidak tahu bagaimana kiraan mereka. Cara konvensional kita jelas — kemenangan dikira mengikut jumlah undi terbanyak di setiap saluran dan peti undi. Bila dicampur semua, calon yang dapat undi terbanyak adalah pemenang.”
“Jadi kiraan matematik atau ‘culaan’ mana yang mereka dapat? Pada saya, itu hanyalah alasan yang memberi persepsi untuk ‘cover’ kekalahan mereka,” tegas beliau dalam satu temubual khas.
Kemenangan Majoriti Jelas
Dato’ Rosni turut menepis dakwaan tersebut dengan membandingkan kemenangan calon-calon BN yang mencatatkan majoriti besar di beberapa kawasan DUN. Beliau memberi contoh kemenangan beribu-ribu majoriti oleh Dato’ Mohd Faizal Ramli di Linggi dan Dato’ Abdul Razak Said (Pak Amos) di Bagan Pinang.
Malah, beliau turut memuji kegigihan jentera Wanita UMNO yang berjaya memenangkan calon wanita di Pilah, Puan Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (Eziliza), meskipun memulakan persaingan sebagai calon last minute dan bangkit daripada rekod kekalahan sebelum ini.
“Hasil kerja keras jentera Wanita yang turun ke padang tanpa henti bersama kepimpinan tertinggi, kita berjaya membuktikan keupayaan calon-calon yang diketengahkan,” tambahnya.
Ikhtiar Memperkukuh Perpaduan & Peringatan Buat Wakil Rakyat
Walaupun menyambut baik kemenangan BN dan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan, beliau tidak menafikan rasa terkilan dengan keputusan yang melibatkan parti komponen seperti MCA dan MIC. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan komitmen untuk bekerja lebih keras menjelang PRU atau pilihan raya negeri akan datang.
Mengakhiri perkongsian, Dato’ Rosni menitipkan pesanan tegas kepada semua wakil rakyat yang telah dipilih agar melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.
“Saya mohon semua wakil rakyat terpilih, buatlah kerja elok-elok supaya tidak mengecewakan pengundi. Saya yakin dan percaya mereka mampu memberi perkhidmatan terbaik (deliver) sebagai wakil rakyat yang berwibawa,” katanya.
#BeritaAAC #WanitaUMNO #PolitikMalaysia #PRN #UndiPopular
