
KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, membuat pendedahan berani berhubung tindakan sebuah institusi perbankan terkemuka, Public Bank, yang didakwa melelong rumah peminjam tanpa sebarang pengetahuan atau notis rasmi kepada pemilik.
Dalam satu sidang media dan demonstrasi aman yang diadakan di hadapan Menara Public Bank hari ini, beliau mendakwa institusi berkenaan mengamalkan birokrasi tegar dan tidak bertolak ansur sehingga mendedahkan peminjam daripada golongan B40 kepada risiko kehilangan kediaman.
”Rumah peminjam telah dilelong dan bidaan berjaya dilakukan tanpa sebarang notis sah atau makluman surat peguam yang mewakili pihak bank. Peminjam langsung tidak dipanggil ke mahkamah, namun prosedur lelongan tetap diteruskan,” tegas beliau.
Menurut dakwaan salah seorang mangsa, Puan Saraswathi dari Ipoh, rumah beliau yang dibeli pada tahun 2017 telah dilelong pada tahun 2025. Beliau hanya menyedari kediamannya bertukar milik selepas dimaklumkan oleh pembida yang menang. Lebih mengejutkan, transaksi potongan bulanan secara auto-debit dari akaunnya masih berterusan sehingga bulan Julai 2026 walaupun status rumah tersebut telah dilelong.
Satu lagi kes melibatkan peminjam bernama Kumaresan yang mana ibunya, Dewi, memohon bantuan kelulusan pembiayaan menerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Walaupun permohonan tersebut didakwa telah diluluskan di peringkat pusat, pihak bank didakwa masih enggan menerima pembiayaan semula tersebut dan tetap meneruskan proses lelongan.
Dato’ Dr. Kalaivanar menyeru agar Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) segera menubuhkan unit khas bagi menangani kelemahan birokrasi perbankan serta memberikan justifikasi yang adil kepada mangsa-mangsa yang teraniaya. Beliau juga menegaskan agar pihak berkuasa tidak membiarkan isu kebajikan rakyat marhaen terus diabaikan.
#SkandalPublicBank #LelongTanpaNotis #MangsaBirokrasiBank #MenteriKewanganBangun #KeadilanMasyarakat
