
KUALA LUMPUR , 5 Julai 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) mempertikaikan kenyataan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung isu pemecatan seorang anggotanya, Sarjan K. Vegeneshwaran, yang didakwa bercanggah dengan keputusan Mahkamah Rayuan.
Aktivis Sosial dari SBKN, Dato’ Dr. Kalaivanar, menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2023 secara sebulat suara telah membatalkan tindakan penamatan perkhidmatan tersebut serta mengesahkan bahawa veteran berkenaan masih sah sebagai anggotanya yang berhak menerima segala gaji serta faedah tertunggak.
”Keputusan mahkamah jelas menyatakan penamatan tersebut tidak sah di sisi undang-undang. Namun, kenyataan TDM baru-baru ini yang mendakwa dakwaan bekas tentera itu ‘tidak berasas’ menimbulkan tanda tanya kerana ia seolah-olah menafikan keputusan tiga hakim Mahkamah Rayuan,” katanya dalam satu sidang media.
Menurut Dr. Kalaivanar, walaupun TDM telah membayar tunggakan gaji dan kos RM10,000 seperti yang diperintahkan, pihak berkenaan didakwa masih menghalang proses pentadbiran prosiding keluar perkhidmatan yang sewajarnya.
Ujar beliau, anggota berkenaan tidak dijemput atau diberikan ruang untuk hadir ke markas bagi urusan penyerahan kad tentera dan penukaran kepada kad pengenalan awam (IC), sekali gus menyukarkannya untuk mendapatkan pekerjaan baharu atau menguruskan faedah pencen.
Sehubungan itu, SBKN memaklumkan pihak mereka sedia mengambil langkah undang-undang seterusnya dengan memulakan prosiding komital (committal proceedings) terhadap individu dan pegawai ATM yang terlibat kerana didakwa gagal mematuhi perintah mahkamah secara menyeluruh.
#BeritaAAC #KeadilanVeteran #AngkatanTenteraMalaysia #TenteraDaratMalaysia #IsuMahkamah #HakAnggota
