
KUALA LUMPUR — Usaha penyatuan dan mufakat antara UMNO dan PAS perlu digerakkan dengan penuh keikhlasan serta ditandatangani melalui satu perjanjian rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan akar umbi.
Tokoh Media, Datuk Dahlan Maamor menegaskan bahawa keikhlasan dalam mufakat politik ini amat penting demi memikul tanggungjawab terhadap bangsa Melayu dan agama Islam, berbanding hanya mengejar kepentingan jawatan.
”Bukan hanya keikhlasan, tetapi kita juga perlu beradab dalam membahas tuntutan seperti jumlah kerusi dan kuasa. Yang lebih penting bukannya soal jawatan, sebaliknya mufakat ini mampu mengubah keadaan buruk kepada lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua parti wajar mengukuhkan persamaan dan meminimumkan jurang perbezaan. Perpaduan Melayu sebagai bangsa teras juga dilihat mampu memberi kelebihan besar dalam menerajui politik negara.
DAP Gelisah Dengan Mufakat Melayu
Ulas Dahlan lagi, penyatuan politik Melayu-Islam ini sememangnya menimbulkan keresahan kepada pelbagai pihak, termasuk DAP.
”Mufakat ini menakutkan banyak pihak, termasuk DAP yang kelihatan gelisah. Jika mufakat ini kekal berada dalam keadaan yang baik, saya yakin gabungan PN dan BN mampu melangkah ke Putrajaya pada PRU16 nanti,” tegasnya.
Gesa Perjanjian Rasmi Dimeterai Sebelum PRN Melaka
Bagi memastikan hala tuju gabungan tersebut jelas dan tidak berbeza-beza mengikut negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, atau Melaka, beliau menyokong penuh wujudnya satu dokumen perjanjian bertulis sebagai rujukan utama.
”Perjanjian rasmi ini penting sebagai panduan supaya tidak berlaku kekeliruan di peringkat bawah. Kita berharap kepimpinan tertinggi UMNO dan PAS melihat perkara ini secara serius dan memeterai perjanjian ini secepat mungkin, sekiranya boleh sebelum PRN Melaka,” tambah beliau.
#BeritaAAC #MufakatMelayu #UMNOdanPAS #PolitikMalaysia #PRNMelaka
