
KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 — Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menggesa pihak Petronas Gas Berhad (PGB) dan Kerajaan Pusat untuk campur tangan secara rasmi berhubung isu pemasangan struktur pengadang di laluan akses utama penduduk di Mukim 6317, Lot 3472, Kampung Jawa, Klang.
Dalam satu sidang media yang diadakan petang tadi, Dato’ Dr. Kalaivanar memaklumkan bahawa tindakan PGB memasangkan pengadang setinggi 2.1 meter dengan had berat 3 ton berhampiran rizab saluran paip gas telah menyukarkan pergerakan penduduk tempatan, terutamanya bagi aktiviti pengangkutan lori persendirian dan kenderaan berat.
Menurut beliau, terdapat kira-kira lima keluarga yang menetap secara sah di atas tanah hak milik kekal (geran kekal) di kawasan berkenaan sejak puluhan tahun lalu. Salah seorang penduduk terjejas, Somu a/l Karuppiah, yang mengendalikan perkhidmatan lori, kini berhadapan kesukaran untuk meletakkan kenderaannya di atas tanah miliknya sendiri seluas dua ekor akibat sekatan laluan tersebut.
”Kita tidak membantah usaha Petronas Gas Berhad untuk menjaga keselamatan laluan paip bawah tanah. Namun, sebarang tindakan atau kajian teknikal perlulah mengambil kira kebajikan penduduk yang telah menetap secara sah di situ selama lebih 40 tahun,” kata beliau.
Beliau turut mempersoalkan aspek keselamatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan di kawasan penempatan berkenaan.
”Sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan membabitkan penduduk, bagaimana jentera bomba atau ambulans bersaiz besar dapat melintasi pengadang setinggi 2.1 meter tersebut?” tambahnya lagi.
Ekoran isu itu, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara telah menyerahkan satu memorandum rasmi menerusi e-mel dan serahan tangan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengurusan Tertinggi Petronas Gas Berhad, serta laporan polis di Balai Polis Sri Muda, Shah Alam. Pihak NGO berkenaan turut mencadangkan dua penyelesaian alternatif, antaranya menaikkan ketinggian pengadang kepada 3.5 meter berserta kunci khas bagi kawalan akses kecemasan atau menyediakan laluan laluan alternatif yang selamat.
Dato’ Dr. Kalaivanar turut melepaskan kritikan keras terhadap wakil rakyat tempatan, termasuk Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu, serta ADUN Sentosa, kerana didakwa gagal turun padang dan menyuarakan keluhan masyarakat marhen di kawasan berkenaan.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) di kawasan Parlimen Kota Raja dan DUN Sentosa sekiranya isu-isu kebajikan rakyat di kawasan itu terus diabaikan oleh wakil rakyat sedia ada.
#BeritaAAC #IsuRakyatKotaRaja #DatoDrKalaivanar #PetronasGasBerhad #KlangKampungJawa
