
KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 – Keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan PPBM disifatkan sebagai sesuatu yang sudah dijangka, sekali gus menandakan gabungan Perikatan Nasional (PN) kini tidak lagi relevan dalam landskap politik tanah air.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menegaskan, perkembangan terbaharu itu berkemungkinan besar akan memaksa PPBM untuk bergerak secara sendirian melalui gabungan politik dalam Ikatan Perpaduan Rakyat (IPR) yang diwujudkan oleh parti itu sendiri.
Melihat kepada situasi semasa di mana kem Pakatan Harapan (PH) dan PN sedang bergolak, Gulam memuji kebijaksanaan kepimpinan UMNO di bawah teraju Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (DSZH) yang berjaya memastikan parti kekal tenang dan stabil.
”Percaturan dan permainan seni politiknya terlampau halus yang kembali mengukuhkan kedudukan UMNO dalam kestabilan dan perpaduan parti. Inilah sebenarnya yang wajib diperlukan untuk menempuh peperangan PRN dan akhirnya PRU16 kelak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, ketenangan yang dipamerkan oleh Ahmad Zahid di lapangan—sama ada dalam majlis rasmi kerajaan mahupun program parti—mencerminkan kaliber beliau sebagai seorang pemimpin yang luar biasa, khususnya menerusi strategi “menahan lukah di pergentingan” yang diambil pasca-PRU15.
UMNO Jangan Alpa, Terlalu Seronok
Walau bagaimanapun, Gulam mengingatkan seluruh saf kepimpinan dan ahli UMNO agar tidak terlalu leka dengan krisis yang sedang melanda kem lawan.
Ujarnya, UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) masih mempunyai tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula status quo kegemilangan era pemerintahan BN.
”Majoriti rakyat sudah menyedari yang BN adalah gabungan parti yang kekal konsisten dan berdaya saing. Model politik inklusif dan ‘moderate’ yang dibawa oleh UMNO, MCA, MIC, PBRS, PPP, serta Friends of BN adalah manifestasi terbaik bagi semua kaum di negara ini. Kejayaan memerintah lebih 60 tahun adalah bukti jelas untuk dinilai rakyat menjelang PRN dan PRU16,” jelasnya lagi.
Di akhir kenyataan, beliau menyeru ahli parti untuk menjauhi sikap alpa, ego, dan pentingkan diri sendiri, sebaliknya sentiasa berlapang dada demi kebaikan ummah dan agama Islam berdasarkan konsep ‘Rumah Bangsa’ dan ‘Musyawarah Nasional’ yang diterapkan oleh Presiden parti.
#PolitikMalaysia2026 #UMNOKekalTenang #PercaturanDSZH #BarisanNasional #PraharaPN
