
KUALA LUMPUR – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini bukanlah satu kejutan besar bagi pemerhati politik, sebaliknya ia merupakan satu percaturan langkah yang sangat strategik dan ‘kena pada masanya’ ketika blok pembangkang sedang berada dalam keadaan paling rapuh.
Meskipun ramalan awal menjangkakan DUN Melaka yang akan dibubarkan terlebih dahulu, keputusan mendahului oleh Johor ini membuktikan kesediaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri yang kini berada pada kedudukan yang sangat kukuh dan dominan untuk memimpin semula.
Strategi ‘Serang Waktu Lemah’
Sebelum pembubaran rasmi diumumkan, ‘angin kencang’ mengenai perkara ini telah pun bertiup, termasuk semasa konvensyen Pakatan Harapan (PH). Pihak lawan dilaporkan sempat memberi gertakan keras agar DUN Johor tidak dibubarkan, malah mengancam akan membubarkan DUN Negeri Sembilan sebagai tindak balas. Isyarat amaran tersebut seolah-olah mendedahkan ketakutan tersirat pihak pembangkang terhadap kekuatan BN Johor. Dalam seni peperangan politik, langkah terbaik adalah menyerang balas di saat pihak lawan sedang mengalami pecahan dalaman.
Aura ‘Bosku’ & Faktor Kejayaan Dato’ Onn Hafiz
Kemenangan besar BN dengan memperoleh 40 kerusi pada PRN Johor 2022 lalu tidak boleh dinafikan berkait rapat dengan momentum serta aura ‘Bosku’ yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak. Walaupun beliau kini berada di penjara, impak dan kerinduan para pengundi serta penyokong tegar terhadap aura beliau dipercayai masih menebal dan bakal menjadi pemacu emosi pengundi dalam PRN kali ini.
Selain itu, prestasi mampan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi, turut menjadi sandaran utama. Corak kepimpinan beliau bukan sahaja disenangi masyarakat Melayu, malah merentas kaum termasuk komuniti Cina dan India. Di bawah pentadbiran beliau, Johor berjaya memacu ekonomi dengan rekod kelulusan pelaburan melebihi RM100 bilion, sekali gus meletakkan Johor sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Fokus Beralih Kepada Kebajikan & Kos Sara Hidup
Bagaimanapun, dinamika PRN kali ini bakal membawa corak pertimbangan yang berbeza buat pengundi. Fokus rakyat Johor kini beralih sepenuhnya kepada isu kemaslahatan domestik dan kebajikan. Isu-isu mendesak seperti kenaikan harga minyak, lonjakan kos barang keperluan, isu pemilikan rumah, serta jaringan pengangkutan awam akan menjadi kayu ukur utama rakyat dalam memilih kerajaan.
Keretakan Blok Pembangkang Beri Kelebihan Mutlak BN
Satu faktor terbesar yang memberi kelebihan kepada sasaran BN untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN adalah perpecahan total di kem pembangkang. PKR kini dilihat goyah akibat pertembungan strategi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Serangan Bersatu yang kini beralih ke kawasan tradisi PKR dijangka akan memecahkan undi asas mereka sendiri, terutamanya di kawasan bandar dan marginal yang sebelum ini dikuasai oleh PH dan DAP.
Situasi di dalam Perikatan Nasional (PN) juga tidak kurang hebatnya apabila hubungan PAS dan Bersatu dilaporkan retak menanti belah, dengan desas-desus kuat mengatakan PAS bakal keluar daripada gabungan tersebut. Sekiranya perkara ini berlaku, sokongan pengundi terhadap Bersatu akan lumpuh sepenuhnya. Senario pecahan undi ini membuka peluang keemasan bagi Barisan Nasional untuk merampas semula kerusi-kerusi yang dahulunya dimenangi pihak lawan dengan majoriti tipis.
#PRNJohor #AuraBosku #PolitikJohor #OnnHafiz
#BeritaAAC
