
SEREMBAN, 30 Julai 2026 – Wanita Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menegaskan bahawa ikral yang dilancarkan oleh sayap itu baru-baru ini merupakan kesinambungan kepada manifesto utama BN bagi memastikan suara dan hak wanita terus diperkasakan sekiranya diberi mandat memimpin kerajaan negeri.
Ketua Wanita BN Negeri Sembilan, Dato’ Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, Wanita BN mengambil inisiatif untuk menghuraikan manifesto berkenaan secara terperinci agar peranan wanita dapat diselaraskan sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan.
”Kami mahu bersama-sama menjadi sebahagian daripada kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab dan merealisasikan manifesto BN kepada wanita di Negeri Sembilan, terutamanya golongan wanita muda,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Ikral Wanita Negeri Sembilan hari ini.
Mengulas mengenai isu kuota pencalonan wanita yang dilihat masih belum mencapai sasaran 30 peratus berbanding jumlah pengundi wanita yang tinggi di Negeri Sembilan, beliau mengakui wujud kekangan tertentu.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kepimpinan BN telah menilai pelbagai aspek dengan mengetengahkan gabungan calon muda, calon kawasan pedalaman/kampung, serta calon daripada parti komponen seperti MCA.
”Memang jika dihitung mengikut 36 kerusi DUN, jumlahnya belum mencukupi. Namun kepimpinan telah menilai bahawa penglibatan wanita tidak hanya terbatas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tetapi juga dalam jawatan-jawatan penting pentadbiran yang lain,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Bibi Sharliza turut membidas tindakan pihak tertentu yang cuba memainkan isu-isu sensitif seperti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji menjelang hari pengundian.
Beliau menggesa agar semua pihak menghentikan politik fitnah dan bersaing secara berhemah serta beradab.
”Hentikanlah propaganda dan fitnah ini. Kita mahu menang secara baik dan beradab. Kenapa isu-isu sebegini hanya dibangkitkan semasa kempen pilihan raya? Sepatutnya selepas PRN kelak, bentangkanlah sahaja di Parlimen,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan tinggi terhadap rekor perkhidmatan BN yang mempunyai pengalaman luas dalam mentadbir, selain terbukti sentiasa memberi kepercayaan kepada kepimpinan wanita di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
WanitaBNNegeriSembilan
#PRNNegeriSembilan #BibiSharliza #ManifestoBN #BeritaAAC
