
SEREMBAN, 30 Julai 2026 — Amalan ‘politik wang’ atau pemberian dana ketika musim kempen PRN di Negeri Sembilan disifatkan hanya memberikan impak yang sangat minima dan tidak lagi mampu mempengaruhi pendirian majoriti pengundi.
Bercakap dalam program Sembang Kopi, Dr. Norman Sapar menegaskan bahawa strategi pemberian wang oleh pihak lawan kebanyakannya hanya berkesan dalam kalangan penyokong tegar mereka sendiri, bukannya pengundi atas pagar atau pengundi yang mahu membuat perubahan.
”Kalau kita lihat video-video viral yang tular, rata-rata yang menerima (pemberian) itu adalah dalam kalangan penyokong mereka sendiri.
”Namun, bagi mereka yang bukan penyokong dan mereka yang sedang berkobar-kobar untuk mengetepikan Pakatan Harapan (PH), amalan ini sememangnya tidak akan mempengaruhi pilihan mereka,” katanya.
Menurut beliau, sentimen penolakan terhadap PH di mana-mana kawasan kempen ketika ini adalah berpunca daripada kegagalan mengotakan janji-janji manis yang pernah ditaburkan sebelum ini.
Jelas Dr. Norman, penilaian pengundi bukan hanya berlaku dalam tempoh kempen semata-mata, sebaliknya telah bermula sejak pihak berkenaan memegang tampuk pemerintahan.
”Rakyat sentiasa menilai apa yang diucapkan dan apa yang tidak dikotakan sehinggalah DUN dibubarkan. Jadi, mereka (PH) akan menerima ‘hukuman’ daripada rakyat atas janji-janji tersebut.
”Soal duit, memang tiada siapa yang menolak. Namun dari segi impak kepada keputusan undi, saya rasa kesan ‘politik wang’ ini sangat minima — mungkin sekitar 5 hingga 10 peratus sahaja. Selebihnya, rakyat tetap dengan pendirian mereka untuk menolak,” tegas beliau.
#BeritaAAC #SembangKopi #PolitikWang #PRNNegeriSembilan #BarisanNasional #PerikatanNasional #BNPN
