
LABU , 30 Julai 2026 – Sokongan pengundi terhadap sokongan ‘Gelombang Biru’ dilihat semakin kukuh menjelang hari pembuangan suara pada 1 Ogos ini, khususnya di Negeri Sembilan.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan berkata, beliau yakin keyakinan rakyat terhadap Gelombang Biru akan membawa perubahan dan perbezaan yang besar di negeri berkenaan.
”Setakat ini, kita mendapati sokongan terhadap Gelombangbiru sangat bagus dan rakyat lebih yakin pada masa ini. Saya percaya menjelang 1 Ogos nanti, kepercayaan ini akan membawa perbezaan besar kepada masyarakat di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Mengulas mengenai sokongan komuniti India, Loga Bala mengakui sebahagian besar pengundi kaum itu telah menyatakan pendirian, namun meluahkan rasa terkilan berhubung isu kenyataan sensitif yang melibatkan Perdana Menteri (PMX) baru-baru ini.
Menurut beliau, meskipun PMX telah memohon maaf dan berjanji untuk mengambil alih serta menguruskan isu berkaitan kaum India, komuniti tersebut masih merasakan sensitiviti mereka telah disentuh.
”Satu masa cakap benda sensitif, lepas itu minta maaf dan buat perkara lain… ini bukan perkara yang baik untuk kita. Kami rakyat Malaysia ada hak dalam Perlembagaan dan tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian.
”Kalau betul permohonan maaf itu, tunjukkan keikhlasan. Tunjukkan apa yang nak dibuat. Walaupun kita boleh maafkan, tetapi perkara itu masih menyakitkan hati kami,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru para pengundi di Negeri Sembilan agar menilai dan membuat pilihan berasaskan kepakaran calon yang mampu memajukan negeri serta negara pada hari pengundian nanti.
#BeritaAAC #GelombangBiru #PRNNegeriSembilan #PPPMalaysia #SuaraRakyat #BarisanNasional #PerikatanNasional
