
KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 — Pengundi di negara ini digesa untuk beralih kepada ‘kuasa ketiga’ dengan menyokong calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang bagi menghentikan percaturan politik yang didakwa kerap memanipulasi mandat rakyat.
Aktivis masyarakat, Ridzuan Ikhlas berkata, landskap politik tanah air kini menunjukkan trend tidak sihat di mana parti-parti politik sanggup bertelingkah di peringkat akar umbi namun kembali bekerjasama demi membentuk kerajaan dan mengekalkan kuasa.
Menurut beliau, situasi itu menyaksikan pengundi sentiasa menjadi mangsa permainan politik, manakala masalah serta keluhan sebenar rakyat di peringkat bawah sering diabaikan.
”Pengundi dijadikan alat untuk memenangkan parti politik. Selepas menang, mereka boleh bergaduh sekejap, kemudian ‘cium mulut’ dan berkawan balik dengan musuh demi kuasa. Akhirnya rakyat di bawah yang menjadi mangsa.
”Oleh itu, kita perlu ada satu perubahan baharu dalam negara ini. Kita perlu wujudkan kuasa ketiga bagi memastikan suara rakyat benar-benar dibawa ke Parlimen,” katanya dalam satu sidang media selepas Forum Calon Bebas Malaysia 2026, di sini.
Ridzuan mengulas lanjut, pihaknya bersama barisan aktivis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta golongan profesional seperti peguam dan doktor kini dalam proses membentuk sebuah sekretariat khas.
Sekretariat tersebut akan berfungsi sebagai satu platform tunggal bagi mengumpulkan, membimbing, dan menyatukan calon-calon bebas yang mahu bertanding di bawah satu payung pada PRU16 kelak.
Mengulas mengenai sasaran, beliau meletakkan tumpuan awal di beberapa negeri strategik seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.
”Daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, kita tidak minta banyak. Sekurang-kurangnya beri kita menang 10 kerusi Parlimen sahaja dahulu. Ini memadai untuk menunjukkan kepada rakyat dan ahli politik peranan serta kuasa sebenar calon bebas,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa kesedaran mengenai peranan calon bebas perlu ditingkatkan, terutamanya dalam kalangan pengundi muda berusia 18 tahun yang bakal menjadi penentu utama dalam PRU akan datang.
Orang ramai, aktivis, mahupun individu profesional yang berminat untuk berkhidmat sebagai calon bebas dialu-alukan untuk menghubungi sekretariat berkenaan bagi bergerak secara bersatu.
#CalonBebas2026 #PRU16 #KuasaKetiga #SuaraRakyat #BeritaAAC
