
KUALA LUMPUR — Aktivis Sosial dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menyuarakan kekecewaan mendalam terhadap sikap kepimpinan negara yang didakwa lambat mengambil tindakan terhadap memorandum serta keluhan yang diperjuangkan oleh rakyat.
Bercakap dalam satu sidang media selepas Forum Calon Bebas Malaysia 2026, Dr. Kalaivanar mengkritik tindakan kerajaan yang hanya mula memberi perhatian kepada memorandum isu rakyat selepas berbulan-bulan diserahkan di hadapan Parlimen.
Menurut beliau, memorandum yang diserahkan oleh perhimpunan lebih 4,500 rakyat di hadapan Parlimen pada November tahun lalu seolah-olah diabaikan, sebelum pihak kepimpinan tertinggi mula memintanya semula beberapa bulan kemudian menjelang kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN).
”Rakyat dah bagi ‘tamparan’ menerusi undi. Kerajaan baharu nak tersadar bila undi rakyat mula beralih,” tegas beliau.
Selain isu memorandum, Dr. Kalaivanar turut membangkitkan nasib pemandu dan pengusaha lori di seluruh negara yang terjejas ekoran tindakan pembatalan lesen secara menyeluruh. Beliau menyifatkan ketiadaan pertimbangan wajar terhadap punca pendapatan pemandu lori sebagai satu tindakan yang menindas golongan marhaen yang mempunyai tanggungjawab keluarga.
Mengulas lanjut, beliau mengkritik keutamaan pimpinan negara yang didakwa lebih peka dengan isu luar negara berbanding kemelut domestik yang menimpa rakyat sendiri.
”Umpama peribahasa, ‘gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang laut nampak’. Isu rakyat sendiri dan kesusahan pemandu lori dipandang sepi, tetapi hal luar negara pula yang diutamakan,” tambah beliau.
Sidang media tersebut turut menyaksikan gesaan agar kerajaan lebih prihatin dan tidak memandang remeh setiap memorandum serta tuntutan yang dikemukakan oleh pakatan aktivis dan suara akar rumput.
#BeritaAAC #IsuPemanduLori #MemorandumRakyat #SuaraAkarUmbi #DrKalaivanar
