
KUALA LUMPUR – Pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan UMNO digesa supaya tidak tersalah memilih calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, khususnya di kawasan Wilayah Persekutuan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Setiawangsa, Hussen Zulkarai menegaskan bahawa situasi politik PRU amat berbeza berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana jentera parti perlu berdikari di kawasan masing-masing.
Menurut beliau, wujud segelintir ketua bahagian dan pemimpin yang disifatkan ‘tidur’ serta tiada jiwa kepimpinan, namun mula aktif ‘mengerumuni’ dan membodek pimpinan atasan apabila musim pemilihan dan pilihan raya semakin hampir.
”Sekarang ini musim himpit-menghimpit, ‘jilat’ tangan bos. Ada ketua bahagian yang tak buat kerja dan tiada jiwa pemimpin, pasang ‘kaki’ untuk bawa nama mereka kononnya rajin bekerja. Ini semua penipuan,” katanya dalam satu sidang media.
Hussen turut menyeru agar kepimpinan parti memilih calon berkaliber (talent) yang mempunyai rekod perkhidmatan terbukti, ketokohan, serta kemampuan untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan, termasuk penghuni kondominium dan residensi moden yang kian meningkat di ibu kota.
Mengulas lanjut, beliau memuji kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta pimpinan di Bahagian Batu yang disifatkan sentiasa turun padang dan komited menyelesaikan masalah rakyat secara terus tanpa bertangguh.
Beliau menambah, tindakan menyuarakan isu ini secara terbuka dilakukan agar pimpinan atasan mendapat gambaran sebenar mengenai realiti di peringkat akar umbi demi memastikan kelangsungan dan kemenangan BN dalam PRU akan datang.
#BeritaAAC #UMNO #PolitikMalaysia #PRU #Setiawangsa
