
KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO) bersama wakil pengadu dan pelabur skim Guaranteed Rental Return (GRR) hadir ke pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini bagi menyerahkan surat memohon maklum balas bertulis berhubung aduan yang telah dibuat sejak November tahun lalu.
Wakil MHO, Encik Muhammad Falaq memaklumkan bahawa aduan terdahulu dibuat di bawah Seksyen 4 Akta Skim Kepentingan 2016 serta perundangan berkaitan kerana syarikat pemaju disyaki mengendalikan skim pelaburan hartanah berkenaan tanpa pendaftaran atau kebenaran yang sah daripada SSM.
Menurut wakil pelabur, Encik Deva, beliau serta wakil MHO telah pun menyerahkan dokumen berkaitan dan berjumpa dengan pegawai penyiasat SSM pada April lalu. Namun, sehingga kini pihak pengadu masih belum menerima sebarang maklum balas bertulis atau perkembangan rasmi mengenai status siasatan tersebut.
Sementara itu, Penasihat Undang-Undang MHO, Cik May Eva Sofea, menegaskan bahawa tempoh hampir setahun adalah munasabah untuk para pengadu mendapatkan jawapan. Beliau turut memberi amaran bahawa sikap acuh tak acuh terhadap kes penipuan sebegini boleh berisiko menjadikan Malaysia sebagai ‘hub penipuan’ dan memberi dampak negatif yang besar kepada masyarakat.
MHO dan para pengadu berharap agar SSM dapat menyegerakan siasatan serta membawa pihak syarikat yang terlibat ke muka pengadilan demi membela nasib mangsa yang telah mengalami kerugian besar.
Memorandum hari ini diserahkan oleh Tuan Izzat, Setiausaha Kerja, MHO.
#SkimGRR #IsuPelaburan #MHO #SuruhanjayaSyarikatMalaysia #BeritaAAC
