
KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2026 – Syarikat Tujuan Khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) disifatkan gagal menjalankan fungsinya sebagai penyelamat Tabung Haji (TH), sebaliknya didakwa merosakkan ekosistem perniagaan dan pelaburan institusi kewangan Islam berkenaan.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Mustafa menyuarakan keprihatinan berkenaan susulan perbahasan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Parlimen semalam, yang menyaksikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim persoal ke mana hilangnya RM9 bilion selepas proses penstrukturan TH dijalankan pada 2018.
Menurut beliau, penstrukturan yang dibuat di bawah pentadbiran bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi penubuhan UJSB kononnya bertujuan menyelamatkan TH menerusi suntikan modal dan pengeluaran sukuk.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa TH hanya menerima RM500 juta tunai dalam proses imbalan penstrukturan berkenaan sehingga ke hari ini.
”UJSB sepatutnya membayar balik semua pinjaman sukuk, namun pendedahan di Parlimen menunjukkan kerajaan tidak menjawab persoalan ke mana hilangnya RM9 bilion yang sepatutnya diterima oleh TH.
”Isu defisit RM4.1 bilion sebelum ini hanyalah perbezaan antara nilai aset dan liabiliti berasaskan kaedah perakaunan Nilai Realisasi Aset (RAV), bukannya kerugian sebenar. Namun tindakan penstrukturan itu bertukar menjadi punca kerugian teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menyentuh mengenai prosiding RCI TH, Gulam Muszaffar mendesak agar kerajaan bertindak secara lock, stock and barrel dan tidak menyembunyikan kelemahan sendiri. Beliau turut menyokong syor agar tempoh siasatan RCI TH dilanjutkan sehingga 2025 bagi mendedahkan dalang sebenar di sebalik kerugian berkenaan demi ketelusan kepada rakyat dan pendeposit.
#BeritaAAC #RCITabungHaji #ManaRM9Bilion #TabungHaji #IsuParlimen
