Month: August 2026

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 — Pengundi di negara ini digesa untuk beralih kepada ‘kuasa ketiga’ dengan menyokong calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang bagi menghentikan percaturan politik yang didakwa kerap memanipulasi mandat rakyat.

​Aktivis masyarakat, Ridzuan Ikhlas berkata, landskap politik tanah air kini menunjukkan trend tidak sihat di mana parti-parti politik sanggup bertelingkah di peringkat akar umbi namun kembali bekerjasama demi membentuk kerajaan dan mengekalkan kuasa.

​Menurut beliau, situasi itu menyaksikan pengundi sentiasa menjadi mangsa permainan politik, manakala masalah serta keluhan sebenar rakyat di peringkat bawah sering diabaikan.

​”Pengundi dijadikan alat untuk memenangkan parti politik. Selepas menang, mereka boleh bergaduh sekejap, kemudian ‘cium mulut’ dan berkawan balik dengan musuh demi kuasa. Akhirnya rakyat di bawah yang menjadi mangsa.

​”Oleh itu, kita perlu ada satu perubahan baharu dalam negara ini. Kita perlu wujudkan kuasa ketiga bagi memastikan suara rakyat benar-benar dibawa ke Parlimen,” katanya dalam satu sidang media selepas Forum Calon Bebas Malaysia 2026, di sini.

​Ridzuan mengulas lanjut, pihaknya bersama barisan aktivis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta golongan profesional seperti peguam dan doktor kini dalam proses membentuk sebuah sekretariat khas.

​Sekretariat tersebut akan berfungsi sebagai satu platform tunggal bagi mengumpulkan, membimbing, dan menyatukan calon-calon bebas yang mahu bertanding di bawah satu payung pada PRU16 kelak.

​Mengulas mengenai sasaran, beliau meletakkan tumpuan awal di beberapa negeri strategik seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.

​”Daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, kita tidak minta banyak. Sekurang-kurangnya beri kita menang 10 kerusi Parlimen sahaja dahulu. Ini memadai untuk menunjukkan kepada rakyat dan ahli politik peranan serta kuasa sebenar calon bebas,” jelasnya.

​Beliau turut menambah bahawa kesedaran mengenai peranan calon bebas perlu ditingkatkan, terutamanya dalam kalangan pengundi muda berusia 18 tahun yang bakal menjadi penentu utama dalam PRU akan datang.

​Orang ramai, aktivis, mahupun individu profesional yang berminat untuk berkhidmat sebagai calon bebas dialu-alukan untuk menghubungi sekretariat berkenaan bagi bergerak secara bersatu.

#CalonBebas2026 #PRU16 #KuasaKetiga #SuaraRakyat #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 — Perbicaraan kes saman sivil oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama 14 individu lain telah memasuki hari kedua.

KES UTAMA• Saman sivil 1MDB terhadap 15 defendan• Prosiding masih berjalan di mahkamah• Fokus kepada penelitian bukti dan hujahan pihak terlibat

SENARAI 15 DEFENDAN

  • Datuk Seri Najib Razak
  • Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin
  • Tan Sri Paduka Ismee Ismail
  • Tan Sri Ong Gim Huat
  • Ashvin Jethanand Valiram
  • Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi
  • Mohd Hazem Abdul Rahman
  • Azmi Tahir
  • Geh Choh Heng
  • Loo Ai Swan (Amerbon)
  • Tang Keng Chee
  • Vincent Beng Huat Koh
  • Radhi Mohammad
  • Kelvin Tan Kay Jin
  • Nik Faisal Ariff Kamil

PERHATIAN MEDIA
Terdapat persoalan dalam kalangan pemerhati mengenai liputan media, khususnya mengapa tumpuan lebih diberikan kepada individu tertentu walaupun kes melibatkan semua 15 defendan.

STATUS KES
Semua defendan masih tertakluk kepada proses perbicaraan. Sebarang dakwaan akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan bukti serta hujahan yang dikemukakan.

KUALA LUMPUR — Ketuan Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari menyoal tindakan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa meraih ‘undi popular’ dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, sambil menyifatkannya sebagai alasan untuk menutup kelemahan dan kekalahan gabungan tersebut.

​Mengulas dakwaan pihak lawan yang mendakwa memperoleh sekitar 250,000 undi berbanding Barisan Nasional (BN) sekitar 227,000 undi, beliau mempertikaikan kaedah matematik yang digunakan oleh PH.

“Saya tidak tahu bagaimana kiraan mereka. Cara konvensional kita jelas — kemenangan dikira mengikut jumlah undi terbanyak di setiap saluran dan peti undi. Bila dicampur semua, calon yang dapat undi terbanyak adalah pemenang.”

“Jadi kiraan matematik atau ‘culaan’ mana yang mereka dapat? Pada saya, itu hanyalah alasan yang memberi persepsi untuk ‘cover’ kekalahan mereka,” tegas beliau dalam satu temubual khas.

Kemenangan Majoriti Jelas

​Dato’ Rosni turut menepis dakwaan tersebut dengan membandingkan kemenangan calon-calon BN yang mencatatkan majoriti besar di beberapa kawasan DUN. Beliau memberi contoh kemenangan beribu-ribu majoriti oleh Dato’ Mohd Faizal Ramli di Linggi dan Dato’ Abdul Razak Said (Pak Amos) di Bagan Pinang.

​Malah, beliau turut memuji kegigihan jentera Wanita UMNO yang berjaya memenangkan calon wanita di Pilah, Puan Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (Eziliza), meskipun memulakan persaingan sebagai calon last minute dan bangkit daripada rekod kekalahan sebelum ini.

“Hasil kerja keras jentera Wanita yang turun ke padang tanpa henti bersama kepimpinan tertinggi, kita berjaya membuktikan keupayaan calon-calon yang diketengahkan,” tambahnya.

Ikhtiar Memperkukuh Perpaduan & Peringatan Buat Wakil Rakyat

​Walaupun menyambut baik kemenangan BN dan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan, beliau tidak menafikan rasa terkilan dengan keputusan yang melibatkan parti komponen seperti MCA dan MIC. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan komitmen untuk bekerja lebih keras menjelang PRU atau pilihan raya negeri akan datang.

​Mengakhiri perkongsian, Dato’ Rosni menitipkan pesanan tegas kepada semua wakil rakyat yang telah dipilih agar melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

“Saya mohon semua wakil rakyat terpilih, buatlah kerja elok-elok supaya tidak mengecewakan pengundi. Saya yakin dan percaya mereka mampu memberi perkhidmatan terbaik (deliver) sebagai wakil rakyat yang berwibawa,” katanya.

#BeritaAAC #WanitaUMNO #PolitikMalaysia #PRN #UndiPopular

KUALA LUMPUR — Golongan muda khususnya Generasi Z (Gen Z) kini dilihat semakin matang dan berupaya membuat penilaian objektif terhadap senario politik negara, bukannya lagi sekadar terpengaruh dengan persepsi keji atau kebencian.

​Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari berkata, perubahan trend tersebut jelas kelihatan di platform media sosial seperti Threads, di mana anak muda mula menzahirkan sokongan secara terbuka terhadap ‘gelombang biru’ (Barisan Nasional).

​Menurut beliau, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya lalu adalah disebabkan golongan Gen Z pada ketika itu dirosakkan dengan persepsi negatif serta momokan kebencian yang ditanam oleh pihak lawan.

​”Dulu mereka tidak ada peluang untuk menilai kedua-dua pihak (kedua-dua belah). Mereka hanya ditanam dengan kebencian dan persepsi negatif terhadap Barisan Nasional.

​”Namun hari ini, selepas melalui fasa pentadbiran yang berbeza, mereka boleh buat penilaian dan perbandingan sendiri. Ternyata pada pandangan mereka, dasar-dasar Barisan Nasional terdahulu adalah jauh lebih baik,” katanya.

​Dato’ Rosni menegaskan bahawa Gen Z merupakan golongan yang bijak membaca peluang dan sentiasa dahagakan masa depan yang lebih meyakinkan.

​Jelas beliau, peralihan sokongan ini didorong oleh keinginan anak muda yang mahukan kestabilan politik, jaminan peluang pekerjaan, serta masa depan yang lebih terjamin.

​”Kita jangan menganggap remeh (underestimate) kemampuan Gen Z. Mereka membaca dan pandai menilai apa yang terbaik untuk masa depan mereka,” tambah beliau lagi.

#BeritaAAC #GenZGelombangBiru #WanitaUMNO #PolitikMalaysia #SuaraAnakMuda

KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2026 — Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu menyatakan komitmen dan kesediaan penuh untuk merampas semula kerusi Parlimen Batu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

​Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar berkata, jentera Barisan Nasional yang merangkumi parti komponen seperti UMNO, IPM, Makkal Sakti, dan PPP telah memulakan gerak kerja serta program turun padang menerusi sesi ‘walkabout’ di sekitar UTC Sentul, di sini.

​Menurut beliau, selain beramah mesra bersama masyarakat setempat, program tersebut turut menyaksikan pengedaran kira-kira 4,000 ‘Pack Sajian Kasih’ sebagai tanda kesyukuran dan sumbangan ikhlas kepada warga Parlimen Batu.

​”Hari ini kita buat sesi walkabout peringkat Barisan Nasional Parlimen Batu bersama rakan parti komponen. Kebetulan semalam gelombang biru telah menang di Negeri Sembilan, jadi sambil mengedarkan sumbangan ini, kita mengambil kesempatan untuk mensyukuri nikmat rezeki dan berkongsi bersama masyarakat,” katanya ketika ditemui media.

Ingat Pesan: “Menang Pertempuran, Belum Menang Perang”

​Ulas Gulam Muszaffar lagi, kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya kecil atau negeri sebelum ini tidak seharusnya menjadikan jentera BN bersifat mendongak diri atau mendabik dada.

“We just won the battle, but we didn’t win the war. Kita masih ada lagi beberapa pilihan raya sebelum PRU16. Apapun kemenangan adalah nikmat daripada Allah SWT yang perlu kita jaga dan pertahankan dengan rendah hati,” tegas beliau.

Buka Pintu Kerjasama Bersama Perikatan Nasional & PAS

​Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan perancangan untuk mengukuhkan lagi landskap politik di kawasan berkenaan dengan membuka ruang kerjasama di peringkat akar umbi bersama rakan-rakan parti lain, termasuk Perikatan Nasional (PN), PAS, Parti Warisan, dan Gerakan.

​Langkah ini bertujuan untuk memastikan permuafakatan politik yang lebih teguh demi kebaikan warga Batu secara keseluruhannya.

​Mengakhiri kenyataannya, beliau menzahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional kini bersedia sepenuhnya untuk kembali berkhidmat dan membawa perubahan di kawasan berkenaan.

“Barisan Nasional is back! ulasnya mengakhiri sidang media.

#BeritaAAC #BNisBack #UMNOBatu #ParlimenBatu #PRU16