KUALA LUMPUR — Usaha penyatuan dan mufakat antara UMNO dan PAS perlu digerakkan dengan penuh keikhlasan serta ditandatangani melalui satu perjanjian rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan akar umbi.
Tokoh Media, Datuk Dahlan Maamor menegaskan bahawa keikhlasan dalam mufakat politik ini amat penting demi memikul tanggungjawab terhadap bangsa Melayu dan agama Islam, berbanding hanya mengejar kepentingan jawatan.
”Bukan hanya keikhlasan, tetapi kita juga perlu beradab dalam membahas tuntutan seperti jumlah kerusi dan kuasa. Yang lebih penting bukannya soal jawatan, sebaliknya mufakat ini mampu mengubah keadaan buruk kepada lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua parti wajar mengukuhkan persamaan dan meminimumkan jurang perbezaan. Perpaduan Melayu sebagai bangsa teras juga dilihat mampu memberi kelebihan besar dalam menerajui politik negara.
DAP Gelisah Dengan Mufakat Melayu
Ulas Dahlan lagi, penyatuan politik Melayu-Islam ini sememangnya menimbulkan keresahan kepada pelbagai pihak, termasuk DAP.
”Mufakat ini menakutkan banyak pihak, termasuk DAP yang kelihatan gelisah. Jika mufakat ini kekal berada dalam keadaan yang baik, saya yakin gabungan PN dan BN mampu melangkah ke Putrajaya pada PRU16 nanti,” tegasnya.
Gesa Perjanjian Rasmi Dimeterai Sebelum PRN Melaka
Bagi memastikan hala tuju gabungan tersebut jelas dan tidak berbeza-beza mengikut negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, atau Melaka, beliau menyokong penuh wujudnya satu dokumen perjanjian bertulis sebagai rujukan utama.
”Perjanjian rasmi ini penting sebagai panduan supaya tidak berlaku kekeliruan di peringkat bawah. Kita berharap kepimpinan tertinggi UMNO dan PAS melihat perkara ini secara serius dan memeterai perjanjian ini secepat mungkin, sekiranya boleh sebelum PRN Melaka,” tambah beliau.
KUALA LUMPUR , 11 Ogos 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan surat bagi memohon maklum balas rasmi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung aduan pelaburan Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa tidak berdaftar.
Penasihat Undang-undang MHO, Cik May Eva Sofea berkata, langkah itu dibuat susulan aduan daripada 24 orang pelabur yang mendakwa ditipu menerusi skim pelaburan berkonsepkan hotel.
Menurut beliau, kesemua mangsa telah membeli unit kediaman pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran selepas dijanjikan pulangan tanpa perlu menguruskan hartanah berkenaan. Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang keuntungan yang diperoleh seperti yang dijanjikan.
”Pihak kami mengesyaki skim ini tidak berdaftar dan beroperasi tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 3 Akta Skim Kepentingan 2016. Selain itu, pelaburan ini juga dilihat telah memenuhi elemen di bawah Seksyen 4 akta yang sama,” katanya ketika ditemui di Menara Menara Sentral, hari ini.
Tambah beliau, aduan mengenai perkara tersebut telah dikemukakan sejak November 2023, namun selepas hampir setahun, tiada sebarang maklum balas bertulis diterima walaupun difahamkan pihak SSM telah membuka kertas siasatan.
Sehubungan itu, MHO menggesa pihak SSM agar memberikan maklum balas yang sewajarnya demi keadilan para pengadu yang terlibat.
KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO) bersama wakil pengadu dan pelabur skim Guaranteed Rental Return (GRR) hadir ke pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini bagi menyerahkan surat memohon maklum balas bertulis berhubung aduan yang telah dibuat sejak November tahun lalu.
Wakil MHO, Encik Muhammad Falaq memaklumkan bahawa aduan terdahulu dibuat di bawah Seksyen 4 Akta Skim Kepentingan 2016 serta perundangan berkaitan kerana syarikat pemaju disyaki mengendalikan skim pelaburan hartanah berkenaan tanpa pendaftaran atau kebenaran yang sah daripada SSM.
Menurut wakil pelabur, Encik Deva, beliau serta wakil MHO telah pun menyerahkan dokumen berkaitan dan berjumpa dengan pegawai penyiasat SSM pada April lalu. Namun, sehingga kini pihak pengadu masih belum menerima sebarang maklum balas bertulis atau perkembangan rasmi mengenai status siasatan tersebut.
Sementara itu, Penasihat Undang-Undang MHO, Cik May Eva Sofea, menegaskan bahawa tempoh hampir setahun adalah munasabah untuk para pengadu mendapatkan jawapan. Beliau turut memberi amaran bahawa sikap acuh tak acuh terhadap kes penipuan sebegini boleh berisiko menjadikan Malaysia sebagai ‘hub penipuan’ dan memberi dampak negatif yang besar kepada masyarakat.
MHO dan para pengadu berharap agar SSM dapat menyegerakan siasatan serta membawa pihak syarikat yang terlibat ke muka pengadilan demi membela nasib mangsa yang telah mengalami kerugian besar.
Memorandum hari ini diserahkan oleh Tuan Izzat, Setiausaha Kerja, MHO.
KUALA LUMPUR — Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan pembentukan kerajaan menerusi gabungan 25 kerusi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membuktikan rakyat semakin selesa dengan kerjasama taktikal antara kedua-dua pihak.
Menerusi sesi temubual Sembang Kopi bersama hos Aizat, Dr Azam Rauzan menyifatkan kejayaan itu sebagai satu petanda positif, namun mengingatkan bahawa cabaran utama gabungan tersebut kini adalah menguruskan kejayaan atau ‘managing success’.
Menurut beliau, kemenangan berimpak tinggi (landslide win) yang dicapai pada 1 Ogos lalu tidak seharusnya membuatkan mana-mana pihak berasa selesa. Sebaliknya, ia memerlukan persefahaman tinggi, toleransi, serta sikap mengetepikan ego dan sifat tamak.
”Ini adalah satu cabaran yang hebat. UMNO, PN, dan BN harus menerima kejayaan ini untuk mengekalkan momentum ‘biru’ agar ia terus merebak ke Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Perak, dan seterusnya menjelang PRU16.
”Perjuangan ini tidak datang mudah jika tiada persefahaman. Kita perlu mengelakkan sifat tamak dan haloba kerana perjuangan mesti berteraskan niat, misi, dan visi yang jelas,” katanya.
Mengulas mengenai pelbagai provokasi dan “batu api” yang timbul selepas PRN, Dr Azam mengesan wujudnya percubaan memecahbelahkan gabungan tersebut sama ada dari luar mahupun dalaman parti sendiri, termasuk kenyataan yang kurang selesa daripada sesetengah tokoh politik.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas usaha mengilhamkan semangat ukhuwah dan konsep ‘Rumah Bangsa’ yang disifatkan semakin rapat dan erat.
”Rakyat tidak mahu lagi politik perkauman yang berasaskan sentiment lain. BN mempunyai trek rekod tersendiri sebagai parti pemerintah selama 62 tahun, manakala PN pula kukuh di kawasan SG4 (State Government 4).
”Matlamat utama adalah satu, iaitu untuk mengalahkan Pakatan Harapan (PH). Jadi di tempat seperti Melaka, kita tidak perlu berebut kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri,” tegasnya lagi.
Beliau menyeru agar semua pihak kekal istiqamah dan mempertahankan azam perjuangan demi memastikan kestabilan politik negara dapat diteruskan.
KLANG, 10 Ogos 2026 — Aktivis Sosial merangkap Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menggesa pihak Petronas Gas Berhad dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk segera menyelesaikan isu pemasangan pengadang jalan di Jalan Sellathevan, Kampung Jawa, yang didakwa menjejaskan laluan penduduk setempat.
Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, tindakan memasang pengadang setinggi 2.1 meter di laluan masuk utama tersebut telah menyukarkan kenderaan penduduk, khususnya pengusaha lori bersaiz tiga tan yang menggantungkan rezeki melalui perkhidmatan pengangkutan.
”Penduduk di sini bukan penceroboh tanah haram, mereka adalah pembayar cukai dan pemilik tanah berstatus geran kekal yang telah menetap lebih puluhan tahun. Paip gas berkenaan pula telah dipasang lebih 40 tahun lalu tanpa sebarang masalah sebelum ini. Mengapa isu ini baru dibangkitkan sekarang?” tegas beliau dalam satu sidang media di lokasi berkenaan.
Tambah beliau lagi, sekatan tersebut turut mengundang risiko keselamatan yang tinggi sekiranya berlaku sebarang kecemasan seperti kebakaran atau bantuan perubatan.
”Sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan, bagaimana ambulans dan jentera bomba mahu lalu? Pengadang 2.1 meter ini bukan sahaja menghalang laluan ekonomi penduduk, malah membahayakan keselamatan lima keluarga yang tinggal di kawasan ini,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa terkilan dengan sikap wakil rakyat tempatan, termasuk ADUN Sentosa dan Ahli Parlimen Kota Raja, yang didakwa tidak memberikan sebarang maklum balas atau tindakan susulan meskipun aduan rasmi telah dikemukakan oleh penduduk sejak 31 Julai lalu.
Antara penyelesaian alternatif yang dicadangkan oleh pihak aktivis dan penduduk adalah:
Meningkatkan ketinggian pengadang kepada sekurang-kurangnya 3.5 meter bagi membolehkan lori bersaiz kecil (bawah had berat 10 tan) lalu lalang.
Membuka laluan rizab alternatif di sebelah kiri atau kanan jalan yang diselenggara bersama oleh pihak PBT dan Petronas Gas Berhad.
Penyerahan kunci palang/pengadang kepada penduduk tempatan dengan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan tiada pencerobohan kenderaan berat luar.
Sehubungan itu, pihak aktivis mengesahkan satu laporan polis telah dibuat dan surat rasmi akan diserahkan kepada pihak PBT serta ibu pejabat Petronas Gas Berhad bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang saksama.
Lebih 40 Tahun Tiada Masalah, Mengapa Baru Sekarang Petronas Gas Pasang Pengadang Jalan?, Dato’ Dr. Kalaivanar Selar Wakil Rakyat
KLANG, 10 Ogos 2026 — Aktivis Sosial merangkap Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menggesa pihak Petronas Gas Berhad dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk segera menyelesaikan isu pemasangan pengadang jalan di Jalan Sellathevan, Kampung Jawa, yang didakwa menjejaskan laluan penduduk setempat.
Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, tindakan memasang pengadang setinggi 2.1 meter di laluan masuk utama tersebut telah menyukarkan kenderaan penduduk, khususnya pengusaha lori bersaiz tiga tan yang menggantungkan rezeki melalui perkhidmatan pengangkutan.
”Penduduk di sini bukan penceroboh tanah haram, mereka adalah pembayar cukai dan pemilik tanah berstatus geran kekal yang telah menetap lebih puluhan tahun. Paip gas berkenaan pula telah dipasang lebih 40 tahun lalu tanpa sebarang masalah sebelum ini. Mengapa isu ini baru dibangkitkan sekarang?” tegas beliau dalam satu sidang media di lokasi berkenaan.
Tambah beliau lagi, sekatan tersebut turut mengundang risiko keselamatan yang tinggi sekiranya berlaku sebarang kecemasan seperti kebakaran atau bantuan perubatan.
”Sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan, bagaimana ambulans dan jentera bomba mahu lalu? Pengadang 2.1 meter ini bukan sahaja menghalang laluan ekonomi penduduk, malah membahayakan keselamatan lima keluarga yang tinggal di kawasan ini,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa terkilan dengan sikap wakil rakyat tempatan, termasuk ADUN Sentosa dan Ahli Parlimen Kota Raja, yang didakwa tidak memberikan sebarang maklum balas atau tindakan susulan meskipun aduan rasmi telah dikemukakan oleh penduduk sejak 31 Julai lalu.
Antara penyelesaian alternatif yang dicadangkan oleh pihak aktivis dan penduduk adalah:
Meningkatkan ketinggian pengadang kepada sekurang-kurangnya 3.5 meter bagi membolehkan lori bersaiz kecil (bawah had berat 10 tan) lalu lalang.
Membuka laluan rizab alternatif di sebelah kiri atau kanan jalan yang diselenggara bersama oleh pihak PBT dan Petronas Gas Berhad.
Penyerahan kunci palang/pengadang kepada penduduk tempatan dengan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan tiada pencerobohan kenderaan berat luar.
Sehubungan itu, pihak aktivis mengesahkan satu laporan polis telah dibuat dan surat rasmi akan diserahkan kepada pihak PBT serta ibu pejabat Petronas Gas Berhad bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang saksama.
GOMBAK, 8 Ogos 2026 — Kerjasama antara UMNO dan PAS di Selangor berada dalam keadaan kukuh dan tidak menghadapi sebarang masalah biarpun tanpa perbincangan khusus di peringkat negeri.
Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, gerakan kerjasama tersebut telah pun dimulakan selari dengan perkembangan politik di Negeri Sembilan, di mana pimpinan UMNO dan PAS Selangor telah mengadakan pertemuan pusingan awal.
”Kita tiada pusingan perbincangan khusus, tetapi kerjasama telah kita mulakan. Berdasarkan perkembangan di Negeri Sembilan, kita telah menggerakkan ketua-ketua bahagian UMNO seluruh Selangor serta ketua-ketua PAS kawasan untuk mengadakan pertemuan,” katanya.
Menurut beliau, Hubungan di antara kedua-dua parti di Selangor sudah lama terjalin mesra, malah sebelum pelancaran Muafakat Nasional lagi. Sehubungan itu, timbul isu tidak selesa atau kekok untuk bekerjasama.
”Hubungan itu telah lama terjalin. Saya percaya apa jua keputusan politik yang akan diambil oleh pucuk pimpinan selepas ini, di peringkat negeri kita sudah sedia untuk melaksanakannya,” tambah beliau.
GOMBAK , 8 Ogos 2026 – UMNO Bahagian Gombak digesa untuk terus mengukuhkan perpaduan dalaman serta mempergiat usaha menyantuni ahli dan pengundi di peringkat akar umbi bagi memastikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dapat dikembalikan.
Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin menegaskan bahawa walaupun perpaduan di peringkat kepimpinan dan ahli secara fizikalnya tidak mempunyai sebarang masalah, eratan hubungan itu perlu sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
”Pertama sekali, kesatuan dalam kalangan ahli perlu dieratkan. Walaupun secara fizikalnya tiada masalah di peringkat kepimpinan mahupun akar umbi, ia tetap perlu dieratkan lagi.
”Perkara kedua yang paling penting ialah menjadikan usaha menyantuni ahli-ahli yang tegar sebagai keutamaan. Bukan sahaja ahli, malah keluarga mereka juga penting untuk kita santuni,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak, di sini.
Mengulas lanjut mengenai peta politik di Parlimen Gombak yang kini mempunyai lebih 240,000 pengundi, Megat Zulkarnain mendapati terdapat cabaran di kawasan penempatan berpagar (gated area) yang sukar ditembusi.
Justeru, beliau menekankan pentingnya untuk fokus kepada pengundi di kawasan kampung-kampung tradisi yang dianggap sebagai ‘deposit tetap’ (fixed deposit) buat UMNO dan BN.
”Kawasan kampung tradisi ini terdiri daripada pengundi-pengundi tegar Barisan Nasional. Jika kita terus menyantuni mereka secara berterusan, tidak mustahil sokongan akan kembali secara penuh kepada Barisan Nasional di Parlimen Gombak,” tambah beliau lagi.
KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Mustakim meluahkan rasa terkilan dan menyelar tindakan menyekat serta mengalihkan peruntukan kewangan bagi kawasan lima Ahli Parlimen (AP) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut beliau, peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk membiayai program, aktiviti, dan kebajikan rakyat di kawasan berkenaan didakwa telah disalurkan kepada pihak lain yang tidak mempunyai mandat rakyat.
”Lebih parah, peruntukan mereka telah disakau dan diserahkan kepada mereka yang tidak layak dan tidak dipilih oleh rakyat. Ia lebih kepada proksi atau bersifat lantikan politik seperti Setiausaha Politik YAB PM dan Ketua Cabang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menegaskan sokongan penuh terhadap kelima-lima Ahli Parlimen PKR terbabit, Gulam Muszaffar menyatakan bahawa mereka merupakan wakil sah yang berhak menerima peruntukan tersebut demi kesejahteraan konstituensi masing-masing.
Beliau turut menyifatkan tindakan pimpinan kerajaan sebagai sesuatu yang terkeluar daripada norma demokrasi yang sihat dan beretika.
”Ini ‘style’ baru sakau—sakau secara terang-terangan. Peruntukan kepada yang berhak dinafikan dan diserahkan kepada proksi politik demi dendam kesumat serta tindakan intimidasi.
”Sekali gus, tindakan sakau ini akan menyebabkan rakyat di kawasan terkesan menjadi mangsa,” tegas beliau lagi.
Isu ini timbul berikutan tindakan lima Ahli Parlimen PKR yang menyuarakan kekecewaan serta bantahan terbuka berhubung penyaluran dana kawasan Parlimen mereka semalam.
KUALA LUMPUR — UMNO Bahagian Batu menempelak sikap Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang didakwa berterusan mempertikaikan laporan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung isu pilihan raya tempatan bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, menyifatkan tindakan wakil rakyat DAP itu sebagai “kedegilan melampau” dan mencerminkan sikap kiasu demi melunaskan agenda politik parti berkenaan.
Beliau menyoal tindakan Lip Eng yang masih tidak berpuas hati dengan kajian yang dimohon sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, yang merumuskan tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya tempatan di ibu negara.
”Ini dinamakan perangai kiasu tahap melampau. DAP bersikap hipokrit dan double standard — bagi jawatan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP), mereka boleh melantik ahli parti sendiri tanpa sebarang pemilihan. Tetapi untuk jawatan Datuk Bandar dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, mereka berkeras mahu ia dipilih oleh warga KL,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gulam turut mencabar Lip Eng membuktikan komitmennya terhadap amalan demokrasi dengan menggesa kementerian memansuhkan jawatan MPPWP. Beliau mendakwa ramai dalam kalangan ahli MPPWP yang dilantik tidak berfungsi dan sekadar “makan elaun buta” menggunakan dana rakyat, selain wujud perselisihan faham antara ahli majlis dan Ahli Parlimen tempatan.
Mengulas lanjut, Gulam menyindir ketegangan dalaman parti itu dan mempersoalkan sama ada pertikaian berkenaan menandakan perbalahan antara Lip Eng dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, yang kedua-duanya daripada DAP.
”Dalam hal ini, adakah Lip Eng tidak sebulu dengan Hannah Yeoh sedangkan mereka dari kem politik yang sama? Cadangkan sahaja pada Konvensyen DAP minggu depan untuk pecat beliau dan ganti dengan diri sendiri sebagai Menteri,” katanya.
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2026 – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, digesa agar menghormati kewibawaan akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tidak menolak dapatan kajian berhubung Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PRKT) hanya disebabkan ia tidak selari dengan agenda politiknya.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Hajah Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, pendirian Lim yang mempertikaikan laporan kebolehlaksanaan PRKT bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperlihatkan kecenderungan memilih kesimpulan politik berbanding menghormati proses penyelidikan berasaskan fakta.
”Sesebuah dapatan penyelidikan tidak boleh ditolak hanya kerana kesimpulannya tidak memenuhi kehendak atau cita rasa politik mana-mana pihak.
”Kajian ini bukannya disediakan secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dijalankan sejak Disember 2025 atas mandat kerajaan bagi menilai pelbagai dimensi perundangan, pentadbiran, kewangan dan implikasi dasar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bibi Sunita menegaskan, sebarang pandangan terhadap kajian akademik sepatutnya dijawab melalui wacana ilmiah, semakan rakan sebaya (peer review), atau kritikan metodologi — bukannya penolakan secara politik sekiranya tidak mampu membuktikan kelemahan kajian tersebut dari sudut ilmiah.
Tambah beliau, pelaksanaan pilihan raya tempatan bukanlah keutamaan rakyat pada masa ini yang lebih terbeban dengan isu kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah, pengangkutan awam, keselamatan bandar serta ancaman banjir kilat.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa menambah satu lagi lapisan pilihan raya akan membawa implikasi besar termasuk peningkatan kos pembayar cukai, memanjangkan suhu politik ke peringkat tempatan, serta mengalihkan fokus PBT daripada penyampaian perkhidmatan asas.
”Sebaliknya, apa yang lebih diperlukan ialah memperkukuhkan sistem sedia ada melalui reformasi pentadbiran seperti meningkatkan ketelusan, audit prestasi, serta memastikan pelantikan ahli majlis dibuat berdasarkan kompetensi dan kepakaran,” jelas beliau.
Beliau menegaskan, pembinaan dasar negara perlu berteraskan fakta dan bukti empirikal yang kukuh demi kepentingan nasional, bukannya dipengaruhi oleh tekanan atau kepentingan politik parti tertentu.