
KUALA LUMPUR – Aktivis sosial terkenal yang juga wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, tampil membongkar isu penindasan dan ugutan jenayah yang dihadapi oleh seorang beliawanis, Cik Shalini, 25, yang cuba mengusahakan projek pertanian di bawah pencawang kabel voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Dalam satu kenyataan video tegas yang dikeluarkan tepat jam 5 petang tadi, Dato’ Dr. Kalaivanar menyelar tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, YB Gunaraj, serta pihak pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah Tamil yang didakwa cuba memutarbelitkan fakta demi meraih simpati masyarakat.
Langsung Tidak Kaitkan Sekolah Tamil
Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa dalam kenyataan awalnya sebelum ini, beliau sama sekali tidak pernah menyebut atau mengaitkan nama mana-mana sekolah Tamil mahupun pengerusi PIBG.
”Saya bercakap mesti ada fakta. Isu yang saya tampilkan ialah mengenai Cik Shalini, seorang beliawanis yang mengeluarkan belanja RM5,000 hingga RM6,000 untuk melantik juruukur dan menyediakan draf pelan tapak semaian (nursery).
”Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta TNB telah menyemak dan memberi laluan kerana status tanah tersebut adalah tanah kerajaan yang terbiar, semak samun, dan tiada halangan,” katanya.
Mangsa Didakwa Diugut Samseng, ADUN Didakwa ‘Putar Belit’
Isu menjadi tegang apabila mangsa, Cik Shalini, mendakwa mula diganggu dan diugut oleh individu yang disifatkan sebagai ‘samseng’. Mangsa juga mendakwa YB Gunaraj telah memberikan kenyataan palsu dan cuba berlagak seperti ‘hero’ di media sosial kononnya tanah tersebut telah dipohon awal untuk tapak parkir sekolah, sedangkan semakan sistem PTG membuktikan tanah itu kosong tanpa sebarang permohonan pihak lain.
Cik Shalini yang turut hadir dalam sidang media itu menzahirkan rasa kecewa dan menangis memikirkan modalnya yang sudah habis hangus.
”Masa saya pergi pejabat ADUN, YB Gunaraj cakap dia tak tahu apa-apa dan mendakwa namanya hanya dijual oleh pihak tertentu. Tapi tiba-tiba semalam dia buat video lain pula. Dia tipu saya,” dakwa Shalini.
Dato’ Dr. Kalaivanar turut mempersoalkan kredibiliti ADUN tersebut. “Kalau betul ada kuasa sebagai ADUN, takkan isu parkir sekolah ambil masa sampai 2 hingga 3 tahun tak selesai? Kenapa baru sekarang bila beliawanis ini nak usahakan tanah terbiar, baru nak bising?” bidasnya lagi.
Gesa Bukit Aman & Imigresen Bertindak
Rentetan daripada laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mendesak pihak polis membuka kertas siasatan dengan telus tanpa mempedulikan jawatan individu yang terlibat. Dato’ Dr. Kalaivanar memberi amaran akan membawa memorandum terus kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman sekiranya tiada tindakan drastik diambil.
Selain isu ugutan, beliau turut mendedahkan dalang atau ‘samseng’ yang mengancam beliawanis tersebut turut dipercayai memonopoli tanah TOL di kawasan Johan Setia, Jalan Banting untuk disewakan secara haram kepada warga asing (PATI).
Beliau meminta Pengarah Penguatkuasa Imigresen, Dato’ Lokman, untuk segera turun padang bagi menggempur kawasan pertanian di Johan Setia sebelum isu lambakan warga asing di situ menjadi tidak terkawal seperti isu penempatan Rohingya.
#BeritaAAC #KeadilanUntukShalini #DatoKalaivanar #IsuTanahTNB #SamsengTanah
