
KUALA LUMPUR, 26 Jun 2026 – Perikatan Nasional (PN) didakwa kini berada dalam keadaan rapuh dan ‘terbelah tiga’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, susulan pengumuman calon yang dibuat secara berasingan oleh parti-parti komponennya malam tadi.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan situasi yang berlaku dalam kem PN sebagai sesuatu yang pelik dan ‘caca marba’ berbanding kesatuan yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Menurut beliau, tindakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan calon secara bersendirian mencerminkan tiada konsensus dalam gabungan tersebut. Malah, gabungan itu sekadar mempertaruhkan 33 calon daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Wawasan dalam senarai bertanding, yang mencetuskan tanda tanya mengenai strategi PN untuk menarik sokongan masyarakat bukan Melayu.
”Nak tanya, Gerakan tidak berani untuk lawan MCA atau DAP ker yang kerusinya majoriti kaum Cina? Macam mana PN nak wakil masyarakat Cina di DUN jika berjaya tubuh kerajaan dengan majoriti mudah 29 kerusi? Sebenarnya Gerakan sudah lama tahu, PN bagi kerusi bakal ‘kena sembelih’ yang boleh hilang deposit,” katanya.
Mengulas lanjut, Gulam mendakwa Parti Wawasan mengambil keputusan untuk tidak bertanding ekoran rasa kecewa selepas mendakwa kerusi-kerusi idaman mereka telah ‘disailang’ oleh PPBM.
Keadaan menjadi lebih parah apabila konflik dalaman mula meletus di fasa awal kempen, menyaksikan sayap pemuda Bersatu (Armada) dilaporkan mula menyerang kem Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan tuduhan mengamalkan “politik dinosaur”.
Gulam menyelar tindakan Armada tersebut yang dianggap keterlaluan dan seolah-olah terlupa bahawa usia Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri kini sudah mencecah hampir 80 tahun—menyamai usia penubuhan UMNO.
Sambil menegaskan bahawa kestabilan politik di bawah teraju Barisan Nasional sebelum ini wajar dipertahankan demi masa depan Johor, Gulam merumuskan PN kini sudah berpecah kepada tiga faksi utama iaitu PN-PAS, PN-PPBM, dan PN-Wawasan.
”Harta sepencarian sebelum ini telah selesai diagih tetapi masih lagi berebut saki baki. Bagi BN Johor, kepada Allah SWT kita berserah. On x On! Kita kasi ONN!” tegas beliau menutup kenyataan.
#PRNJohor2026 #PolitikJohor #PerikatanNasionalBerpecah #PortalBeritaAAC #KestabilanMasaDepan
