
SEREMBAN, 24 Julai 2026– Ahli dan penyokong parti Barisan Nasional (BN) kini berada pada tahap keyakinan tertinggi menjelang hari pengundian, berikutan maklum balas positif yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat di Negeri Sembilan.
Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim menyatakan bahawa hasil tinjauan dan gerak kerja turun padang mendapati para pengundi di negeri itu kini semakin sedar akan kepentingan memilih sebuah pentadbiran yang stabil.
Menurut beliau, dapatan di lapangan menunjukkan rakyat merindui serta mahukan pentadbiran Barisan Nasional kembali mengukuhkan pentadbiran di Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, kita dapat lihat pengundi-pengundi pun dah sedar dan mereka sanggup untuk mengundi ‘biru’ kali ini. Mana-mana kita pergi pun, mereka sokong Barisan Nasional kerana mahukan satu pentadbiran yang kekal dan stabil,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Syed Ibrahim, perubahan dapat dirasakan apabila rakyat mula membandingkan suasana pentadbiran terdahulu dengan situasi semasa, sekali gus mahukan perubahan demi menjamin kesejahteraan rakyat di Negeri Sembilan.
Apabila ditanya mengenai peluang kemenangan, beliau optimis bahawa sokongan terhadap BN tidak hanya terhad kepada satu-satu kaum, sebaliknya merangkumi seluruh masyarakat majmuk.
“Daripada pandangan saya selepas turun padang dan berjumpa pelbagai kelompok pengundi, jawapannya memang positif. Gelombang biru ini bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Melayu, malah masyarakat India dan Cina juga memberikan maklum balas yang sangat baik,” jelas beliau lagi.
Beliau berharap agar momentum ‘Gelombang Biru’ ini dapat diterjemahkan kepada kertas undi seterusnya membawa kestabilan politik di Negeri Sembilan.
#BeritaAAC #PRNNSembilan #BarisanNasional #GelombangBiru #PolitikMalaysia
