
LABU, 27 Julai 2026 – Barisan Nasional (BN) yakin mampu merealisasikan sasaran pelaburan RM30 bilion secara konsisten setiap tahun di Negeri Sembilan sekiranya diberi mandat semula untuk menerajui pentadbiran negeri.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan berkata, sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai memandangkan Malaysia kini menjadi antara destinasi pelaburan utama pilihan pelabur luar di rantau Asia Tenggara berikutan krisis kestabilan di beberapa wilayah lain di dunia.
”Kedudukan Negeri Sembilan amat strategik kerana terletak berhampiran Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik. Justeru, tidak susah untuk kita memasarkan Negeri Sembilan.
”Apa yang kita gariskan dalam manifesto adalah sesuatu yang boleh dicapai dan merupakan kesinambungan kerja-kerja yang tergendala sebelum ini,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tiroi, DUN Labu (N20), hari ini.
Mengulas mengenai fokus pembangunan ekonomi, beliau menekankan kepentingan menarik pelaburan berasaskan teknologi tinggi bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi melebihi RM3,000 sebulan kepada anak tempatan.
”Anak-anak kita majoritinya graduan IPTA dan IPTS, takkan kita mahu mereka bekerja di industri yang menawarkan gaji RM800 hingga RM1,000 sahaja. Kita perlukan industri seperti pembuatan komponen penerbangan dan automotif berteknologi tinggi seperti mana yang pernah kita bawa ke Sendayan TechValley sebelum ini,” tambahnya.
Bagi kawasan yang jauh dari kawasan perbandaran dan pelabuhan pula, beliau menjelaskan pendekatan khusus seperti merancakkan sektor agropelantikan dan agropelancongan akan dilaksanakan mengikut kesesuaian daerah.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada para pengundi awal dalam kalangan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada BN bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan keselamatan negeri terus terjamin.
Mengenai spekulasi pelantikan jawatan Menteri Besar sekiranya BN menang, beliau menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan kemenangan parti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan dengan perkenan Tuanku Canselor/YAM Undang Yang Empat.
#BeritaAAC #TokMat #PRNNSembilan #BarisanNasional #DUNLabu
